Selasa, 15 September 2009

KPSB DAN YSZPS GABUNG TENAGA ANJUR CSR







KPSB Dan YS Raikan Masyarakat Kimanis.

 

PAPAR: Seramai lebihkurang 250 orang penduduk sekitar Kg Brunei Kimanis diceriakan dalam Majlis Berbuka Puasa anjuran Kimanis Power Sdn Bhd (KPSB) dan Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan (YSZPS) di Masjid Imam Abdullah di Kg Brunei Kimanis semalam. Dalam majlis itu seramai 100 orang warga emas, anak yatim, ibu tunggal dan orang kurang upaya menerima sumbangan duit raya dan wang zakat yang disampaikan oleh Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif KPSB, M. Ali Hashim Mohammed.


Semasa menyampaikan ucapannya, M. Ali menyatakan bahawa KPSB merupakan sebuah syarikat usahasama Petronas dan Kumpulan Yayasan Sabah yang dalam rangka pembangunan sebuah pembekal tenaga yang diperbaharui berpusat di Kimanis sendiri. "Sebagai sebuah syarikat milik Petronas dan Yayasan Sabah, adalah menjadi harapan kami agar dalam tempoh berterusan semua masyarakat sekitar Kimanis dan kawasan berdekatan akan mendapat manfaat daripada pelbagai program CSR ataupun tanggungjawab sosial korporat syarikat yang sedang direncana dan bakal dilaksana secara berkala", tambah M. Ali.


Dalam ucapan aluannya, Pengerusi JKKK Kg Brunei, Haji Wahab Ajak menyatakan rasa kesyukuran dan keceriaan mewakili masyarakat kampung atas kehadiran seramai 30 orang ahli rombongan KPSB dan YSZPS sekaligus menyumbang kepada golongan memerlukan sempena sambutan Syawal yang bakal menjelang. "Mewakili penduduk Kg Brunei, kami merasa terharu atas kehadiran dan penganjuran program yang julung kalinya diadakan di kampung ini oleh syarikat utama negara dan negeri yang membuktikan wujudnya pembangunan seimbang antara fizikal dan sosial yang melimpahi penduduk setempat", kata Haji Wahab lagi.


Sementara itu semasa diwawancara Ketua Pentadbir YSZPS, Zulkhairi Haji Ismail memberitahu wartawan bahawa pada masa-masa akan datang di samping program-program sedia ada, YSZPS dan KPSB akan melaksana pelbagai program CSR berbentuk nilaitambah meliputi pendidikan, pembangunan komuniti, pembangunan kerjaya, pusat sumber, sukaneka, gotong-royong, keusahawanan mengikut keperluan semasa dan sudah tentunya akan melibatkan wakil-wakil rakyat dan pemimpin tempatan. "Penglibatan secara menyeluruh dalam penganjuran program seumpamanya kelak diharap mampu mewujudkan sebuah kerjasama dan persefahaman mantap sekaligus membawa kesan berganda kepada usaha peningkatan pembangunan komuniti setempat"ujar Zulkhairi.


Dalam majlis itu juga YSZPS menyampaikan peralatan masjid kepada pengurusan masjid manakala KPSB menyumbang kepada tabung masjid. Sebuah ceramah bertajuk 'Keistimewaan Ramadhan' turut disampaikan oleh Ustaz Khairuddin Yusupalla dalam program itu.


Antara yang turut hadir dalam program itu Ketua Perkhidmatan Sosial KPSB, Jainudin Haji Jabidin; Penasihat Undang-undang KPSB,  Asnol Affendi; Pengurus Kanan Projek KPSB, Anuar Sahat; Pegawai Tadbir Kanan YSZPS, Gulam Hassan Hapil; Pegawai Operasi YSZPS Papar, Mohd Fairuz B Hj Mohd Yussof; Ketua Unit Penyelidikan, Peter Jonnie Peter; Penyelia Pendidikan Daerah Papar merangkap Naib Ketua Pemuda Papar, Rosli Ibrahim; Imam Masjid, Haji Abdullah Daud dan warga YSZPS/KPSB yang lain.


Rombongan YSZPS/KPSB bersama masyarakat Kg Brunei sehinggalah tamat solat sunat tarawih.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan