Selasa, 1 September 2009

MAJLIS BERBUKA PUASA & PENYAMPAIAN ZAKAT DI SURAU AN-NUR KAMPUNG LAUT PAPAR‏






Kemakmuran Malaysia Jadi Kayu Pengukur Keamanan Global - Rahim

PAPAR: Kemakmuran Malaysia yang sekian lama dipupuk oleh segenap lapisan rakyat dan pemimpin yang silih berganti menjadi kayu pengukur yang tiada tolok bandingnya oleh kebanyakan negara di dunia khususnya negara ketiga dan sedang membangun. Oleh itu sebagai rakyat bertanggungjawab setiap anggota masyarakat perlu memelihara dan mempertahankan keadaan ini dan diperturunkan kepada generasi rakyat Malaysia di masa akan datang. Demikian kata Wakil Rakyat Pantai Manis, Datuk Rahim Ismail semasa menghadiri Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Zakat Fitrah anjuran Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan (YSZPS) di Surau An-Bur Kampung Laut semalam. "Mengisi dan mempertahan kemerdekaan negara pada masa ini dan akan datang bukannya tanggungjawab mudah dan terletak semata-mata di bahu pemerintah tetapi juga menjadi amanah kita semua. Amalan dan kewajiban bermasyarakat dan beribadat dalam bulan Ramadhan perlu diteruskan sepanjang masa, jangan sampai kita berputih mata jika asyik bertelagah kedaulatan negara akan runtuh sepertimana negara-negara yang dicerobohi di mana untuk beribadat di bulan Ramadhan serta berkumpul di masjid, nyawa menjadi pertaruhan", tambahnya Rahim dengan tawaduknya.

Sempena majlis itu juga, Rahim yang juga Ketua Umno Bahagian Papar turut menyampaikan sumbangan dana oleh YSZPS kepada Surau An-Nur. Seramai lebih 60 orang fakir, warga emas, ibu tunggal, OKU dan anak yatim turut menerima wang zakat fitrah dalam majlis tersebut. Turut hadir Pegawai Daerah Papar, Iman Ali; Ketua Pentadbir YSZPS, Zulkhairi Haji Ismail; Pengerusi JKKK, Hamdan Haji Matarip; Ketua Kampung, Haji Matasan Awang Lampoh; Pegawai Kanan YSZPS Haji Gulam Hapil; Pegawai Operasi YSZPS Papar, Mohd Fairuz Bin Haji Mohd Yussof; Pegawai Pembangunan Masyarakat Pantai Manis, Haji Awang Tuah serta warga YSZPS dan penduduk setempat. Rombongan YSZPS juga turut menunaikan solat Isyak dan Tarawikh berjemaah bersama ahli kariah Kampung Laut.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan