Sabtu, 24 Oktober 2009

MAJLIS MERAIKAN JEMAAH HAJI DARI DAERAH PAPAR 2009










Tunjukkan Kepada Dunia Luar Tingkah Terpuji Jemaah Malaysia - RAHIM

PAPAR: Seramai 58 orang bakal Haji daerah papar telah diraikan oleh Wakil Rakyat N22, Pantai Manis, Datuk Haji Abdul Rahim Ismail dalam Majlis Meraikan Bakal-Bakal Haji Daerah Papar Kali Ke 18 (2009) di Rumah Rehat Papar kemarin. Dalam majlis itu, Rahim menyeru dan menasihati para jeaah Haji Malaysia khususnya dari papar agar mempertingkat didisiplin dan tahap kesihatan serta mematuhi segala arahan dan petunjuk rukun haji yang telah ditetapkan agar mereka beroleh Haji Mabrur dan selesa semasa berada di Mekah. "Sebagai jemaah Haji Malaysia, bakal-bakal Haji merupakan duta bermusim bagi bagi negara Malaysia dan ini sudah tentu menggambarkan sedikit-sebanyak akan perilaku bangsa Malaysia. Tunjukkanlah keperibadian terpuji rakyat Malaysia di Tanah Suci kerana di samping beribadat, jemaah Malaysia juga pembawa panji-panji negara yang selama ini dikenali sebagai jemaah Haji yang terbaik setiap kali musim Haji", nasihat Rahim lagi.

Dalam majlis itu juga, Rahim yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia turut menyampaikan sumbangan peribadi berupa wang poket dan kad telefon yang bernilai RM250 kepada semua jemaah Haji. Manakala Kumpulan Yayasan Sabah, Zon Pedalaman Selatan (YSZPS), menyumbang sepasang kain dan sejadah kepada mereka.

Turut hadir dalam majlis itu Ketua Pentadbir YSZPS, Zulkhairi Haji Ismail; Pemimpin Kemajuan Rakyat Pantai Manis, Amri Haji Abu Bakar; Ketua Wanita UMNO Papar, Datin Ainon Pg Bagul; Penolong Pegawai Daerah Papar, Ag Tajudin Ag Bahar; Pegawai Operasi YSZPS Papar, Mohd Fairuz B Hj Mohd Yussof; Ketua Puteri UMNO Papar, Yantie Adam; Naib Ketua Pemuda UMNO Papar, Roslie Ibrahim; Ketua-ketua Jabatan, Ajk Bahagian UMNO Papar dan ahli-ahli pergerakan Puteri, Pemuda serta Wanita Papar.



Jumaat, 9 Oktober 2009

KUNJUNGAN HORMAT KE SMK MAJAKIR







Alumni Mampu Jana Pengiktirafan Tinggi Kepada Sekolah-Sekolah

PAPAR: Pertubuhan alumni di setiap institusi pendidikan khususnya sekolah-sekolah mampu mempertingkatkan usaha menaiktaraf dan mengiktiraf sesebuah sekolah peninggalan ahli alumni jika segenap bekas pelajar mempunyai rasa sentimental dan sekaligus turut menyumbang kepada bekas sekolah mereka. Demikian ujar Ketua Pentadbir Kumpulan Yayasan Sabah, Zon Pedalaman Selatan (YSZPS), Zulkhairi Haji Ismail ketika melakukan lawatan ke SMK Majakir sekaligus kunjungan hormat kepada Pengetuanya Loh Kok Cheang yang akan berpindah sekolah tidak lama lagi. Zulkhairi yang juga bekas pelajar SMK Majakir turut merakamkan penghargaan kepada Pengetua Loh Kok Cheang atas kerjasama yang beliau dan warga pendidik berikan kepada YSZPS sejak sekian lama dalam menjayakan pelbagai program pembangunan pelajaran di SMK Majakir dan daerah Papar keseluruhannya.

"Sebagai salah sebuah sekolah tertua di Papar yang ditubuhkan pada tahun 1963, SMK Majakir telah mengalami pelbagai transformasi yang ketara dan ia melonjak dalam tempoh pentadbiran Cikgu Loh sebagai Pengetua Cemerlang. Ini membuktikan bahawa dengan sistem urustadbir yang baik, kerjasama yang mantap serta penggembelingan idea dan sumbangan bekas pelajar atau alumni telah menjadikan sekolah itu menerima pelbagai anugerah dan pemenang dalam pelbagai sektor akademik dan bukan akademik. Guru yang baik umpama biji benih yang jika dihumban ke laut ia jadi pulau, dan jika dihempas ke darat ia jadi gunung", tambah Zulkhairi sebagai menghargai warga pendidik sekolah itu.

Dalam kunjungan itu Zulkhairi juga mencadangkan agar Alumni Majakir dan pihak sekolah agar sering mengadakan perjumpaan dan melakukan beberapa aktiviti seperti pemakaian tali leher dan topi sekolah di kalangan bekas pelajar dan pelajar pada hari-hari tertentu, menganjurkan program penambahan dana seperti hari keluarga, rekreasi, sukan, festival kesenian dan sebagainya bagi menambah dana sekolah dan membangunkan sebuah pejabat alumni sepertimana sekolah-sekolah ternama di Semenanjung Malaysia.

Sementara itu, Loh Kok Cheang juga turut merakamkan terimakasih kepada YSZPS yang begitu aktif membantu pihak sekolah menjayakan pelbagai program. "Persefahaman sesama warga pendidik serta disiplin pelajar yang mantap sedikit sebanyak melancarkan program keceriaan sekolah di samping kreativiti yang wujud di kalangan warga SMK majakir sendiri dan ia lebih bermakna dengan kerjasama penuh daripada pihak luar atau agensi kerajaan seperti Yayasan Sabah", nyatanya.

Dalam kesempatan kunjungan itu, Zulkhairi turut menyampaikan sumbangan YSZPS yang berupa plak papan tanda Galeri SMK Majakir kepada Loh yang turut dihadiri sendiri oleh Pegawai Pelajaran Daerah Papar, Abidin Haji Marjan. Galeri SMK majakir itu merupakan inisiatif Pengetua Loh sebagai mercutanda sejarah yang perlu dihargai oleh setiap bekas pelajar mahupun setiap penduduk Papar.

Turut hadir dalam kunjungan itu Pegawai Operasi YSZPS Papar, Mohd Fairuz Bin Hj Mohd Yussof; Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Lailatun Haslim Abdul Latif; Penolong Kanan Pentadbiran, Kassim Haji Wiro; Pegawai Operasi Kuala Penyu, Ghanilin haji Hasim dan warga SMK Majakir yang lain.

Ahad, 4 Oktober 2009

PROGRAM MESRA SEKAMPUNG AIDILFITRI, KG. LUBOK WESTON







Kemeriahan Aidilfitri Setiap Tahun Bukti Kemakmuran Negara

BEAUFORT: Kemeriahan dan keupayaan menyambut Hariraya Aidilfitri serta perayaan keagamaan dan budaya setiap tahun membuktikan bahawa negara berada dalam kestabilan dan makmur tanpa sebarang ancaman persengketaan kaum, agama malah bebas dari segala malapetaka alam. Demikian kata Ketua Pentadbir Kumpulan Yayasan Sabah, Zon Pedalaman Selatan (YSZPS), Zulkhairi Haji Ismail semasa merasmikan program Mesra Sekampung Aidilfitri di perkarangan SK Lubok, Weston kemarin. Program anjuran YSZPS dengan kerjasama pihak SK Lubok, JKKK dan Kelab Sukan Kg Lubok tersebut berjaya mengumpulkan seramai 300 khalayak dan melibatkan 150 penyertaan dalam pelbagai acara sukaneka, persembahan kesenian dan keindahan kampung.

"Berbanding dengan negara lain seperti negara jiran, perayaan Aidilifitri disambut dengan tangisan dan ratapan akibat kejadian malapetaka alam yang melenyapkan sekelip mata bukan sahaja hartabenda malah beribu nyawa di samping persengketaan sesama saudara. Oleh itu sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya sentiasa sujud syukur malah mempertahankan kemakmuran serta kestabilan bumi bertuah ini dan mewariskannya kepada generasi akan datang dengan cara penglibatan semua anggota masyarakat dalam pelbagai peringkat", tambah Zulkhairi.

Sementara itu dalam ucapan aluannya, Pengerusi Penganjur, Jamalludin Haji Ibrahim mengajak seluruh penduduk Mukim Lubok dan penduduk sekitarnya agar sama-sama menyumbang idea dan tenaga dalam usaha membangunkan kampung mereka tanpa menunggu sumbangan pihak-pihak terentu khususnya kerajaan. "Kita seharusnya mampu memperbaharui tekad dan upaya dalam mengenalpasti serta membangunkan upaya sumber ekonomi baharu yang berasaskan hasil laut, pertanian, makanan dan kraftangan tanpa menunggu pihak berwajib untuk memulakannya agar sumber pendapatan yang ada secara tidak langsung mampu menampung kehidupan seharian dan masadepan anak-anak", kata Jamaluddin.

 Guru Besar SK Lubok Weston, Jalius Gadsong dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada YSZPS yang memilih SK Lubok sebagai lokasi penganjuran program. Beliau juga menyeru kepada para ibubapa agar memastikan pembelajaran dan pemantauan tingkahlaku anak-anak di rumah sentiasa terkawal. Di samping itu beliau juga menyatakan rasa keberuntungan kerana program seumpamanya telah dipersetujui oleh pihak sekolah untuk diangkat sebagai sebahagian daripada pengisian "Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan" atau RIMUP.

 Beberapa acara menarik yang dilangsungkan dalam program itu termasuklah lumba perahu, sukaneka, anugerah pelajar dan pengindahan kampung dan sekolah. Turut hadir dalam majlis itu Pegawai Operasi YSZPS Beaufort, Latip Haji Taip; Yang Dipertua PIBG Rahman Haji Abdul Razak; Ketua Kampung, Masri Haji Latip; Ketua Unit Penyelidikan YSZPS, Peter Jonnie Peter; Pegawai Operasi YSZPS Kuala Penyu, Ganilin Hasim; warga pendidik serta para ibubapa.



MAJLIS BERBUKA PUASA DI MASJID KAMPUNG BRUNEI, MEMBAKUT




200 Pelbagai Golongan Terima Duitraya YSZPS

MEMBAKUT: Seramai 200 0rang terdiri daripada anak-anak yatim , insan kurang upaya, ibu tunggal dan warga emas telah menerima sumbangan duitraya daripada Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan (KYSZPS) dan Menteri Luarnegeri dalam acara Majlis Berbuka Puasa anjuran YSZPS di Masjid Kampung Brunei, Membakut sehari sebelum Syawal. 


Terdahulu daripada itu, Ketua Pentadbir YSZPS semasa menyampaikan ucapannya menyeru kepada semua saudara Islam agar sentiasa mengkoreksi diri dengan cara bermuhasabah setiap masa sama ada kita telah menjalankan kewajiban kita sebagai saudara yang lain atau bangsa yang ditadbir oleh kita. "Amalbakti yang kita praktiskan sepanjang bulan Ramadhan sepertinya perlu diteruskan malah dipergiat perlaksanaannya sepanjang tahun demi menjamin kearah mewujudkan persekitaran yang penuh kasih sayang dan persaudaraan yang mana akhirnya akan menghasilkan masyarakat yang hidup dalam kemakmuran dan bebas daripada anasir-anasir luar yang cuba memecahbelahkan perpaduan yang sedia wujud di negara ini", tabah Zulkhairi lagi. 


Sementara itu Setiausaha Sulit Menteri Luarnegeri, Mohamad Haji Said yang bertindak selaku wakil Datuk Anifah Haji Aman menggesa masyarakat khususnya di kawasan Parlimen Kimanis agar mengelakkan diri malah perlu memerangi sebarang percobaan pihak tertentu untuk mengucar-ngacirkan sistem kehidupan masyarakat Islam. "Percayalah bahawa hanya kerajaan yang dipilih rakyat secara majoriti berbekalkan pengalaman mentadbirurus sebuah negara seperti Malaysia akan membawa taraf hidup rakyat kearah yang lebih mendekati kesempurnaan berbanding dengan pihak yang bertelagah sesama sendiri" tambah Mohammad lagi. 


Antara yang turut hadir di majlis itu ialah Pengerusi Masjid, Rahim Haji Said; Pegawai Tadbir Kanan YSZPS, Haji Ghulam Hapil; Pegawai Khas di Pejabat Menteri Pelajaran, Durahmin Haji Tafa; Ketua Unit Penyelidikan YSZPS, Peter Jonnie Peter; Pegawai Operasi Membakut, David Yuntala dan warga YSZPS yang lain di samping ahli-ahli kariah masjid.