Rabu, 18 April 2012

PENYERAHAN JETI NELAYAN KAMPUNG SUNGAI PADANG, PAPAR

Zulkhairi bersalaman dengan wakil masyarakat nelayan Kampung Sungai Padang, Kamis Bugin di jeti sumbangan YSZPS sambil diperhati oleh Fairuz

Kerajaan BN Kekal Relevan Di Mata Rakyat

PAPAR : Keperihatinan Kerajaan Barisan Nasional melalui agensi-agensinya di Sabah amat diinsafi dan terus memberi manfaat yang berpanjangan kepada semua lapisan rakyat Malaysia di Sabah tanpa mengira kaum dan fahaman politik. Ini jelas dengan bantuan yang berupa kemudahan umum untuk rakyat jelata termasuklah golongan nelayan. Demikian ujar Ketua Pentadbir Kumpulan Yayasan Sabah, Zulkhairi Haji Ismail semasa melakukan lawatan ke Jeti Nelayan Kampung Sungai Padang dan sekaligus menyerahkannya kepada wakil masyarakat nelayan Kamis Bugin baru-baru ini. "Sebagai 'apit kanan' Kerajaan Negeri Sabah, Yayasan Sabah mepunyai pelbagai rencana berterusan untuk menokoktambah usaha kerajaan memakmurkan rakyat dan negeri agar sentiasa seiring dengan kemakmuran yang dikecapi oleh rakyat Malaysia di negeri-negeri lain", tambahnya lagi.

Turut hadir dalam lawatan itu Pegawai Operasi YSZPS Papar, Mohd Fairuz B Hj Mohd Yussof, Pegawai Penyelidik YSZPS, Peter Jonnie Peter dan Pegawai Latihan YSZPS, Haidy Othman.

Isnin, 9 April 2012

PENYERAHAN RUMAH MESRA RAKYAT

Rumah asal yang hampir menyembah bumi tempat Amran 5 beranak berteduh sebelum ini
Zulkhairi memperkatakan sesuatu kepada Amran diperhati oleh Fairuz di rumah barunya
Zulkhairi dengan rasminya menyerahkan kunci rumah baru sumbangan Yayasan Sabah kepada Amran di perkampungan nelayan

Relevansi Negara Kebajikan Memang Sedia Wujud Di Malaysia - Zulkhairi

PAPAR : Dasar dan amalan mengutamakan kesejahteraan rakyat dan menjaga kepentingan semua bangsa di Malaysia sejak sekian lama sebenarnya sudah jauh melangkaui erti sebenar negara kebajikan seperti mana yang dicanangkan oleh pihak-pihak tertentu. "Negara tidak memerlukan dasar atau status negara kebajikan kerana setiap era pemerintahan kerajaan Barisan Nasional proses mentransformasi rakyat menuju ke arah lebih baik berbanding sebelumnya tidak pernah putus malah sentiasa berjalan dengan penambahbaikan yang bersesuaian dengan tuntutan semasa. Tidak ada sebuah negara pun di dunia ini yang membina dan menyedia rumah percuma kepada rakyat yang memerlukan di setiap pelusuk negara tanpa mengira kaum dan agama apalagi fahaman politik", ujar Ketua Pentadbir Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan (YSZPS), Zulkhairi Haji Ismail semasa menyerahkan sebuah Rumah Mesra Rakyat sumbangan kerajaan melalui YSZPS kepada Amran Ismail di Kampung Kuala Dalam, Papar baru-baru ini. Amran, 38 tahun seorang nelayan pesisir pantai yang selama ini mengharapkan sebuah rumah sempurna amat bersyukur dengan sumbangan rumah baru daripada Yayasan Sabah. Dengan pendapatan yang bergantung sepenuhnya kepada hasil laut adalah amat sukar untuk beliau sekeluarga beserta 3 orang anak untuk mengumpul wang bagi membina sebuah kediaman selesa.

Turut hadir dalam lawatan itu ialah Pegawai Operasi YSZPS Daerah Papar, Mohd Fairuz B Hj Mohd Yussof, Pegawai Penyelidikan dan Maklumat, Peter Jonnie Peter dan Pegawai Latihan YSZPS, Haidy Haji Othman.