Sabtu, 6 Ogos 2011

MAJLIS BERBUKA PUASA DI KAMPUNG LUBAK, BEAUFORT

Imam Shari Sapri menerima cokmar masjid sumbangan YSZPS daripada Lajim dan turut disaksikan oleh Zulkhairi, Samin. Isnin dan Sanon

Lajim menyampaikan sumbangan duit raya kepada imam Shari yang mewakili masyarakat Kg Lubak diperhatikan oleh Zulkhairi, Samin, Isnin dan Sanon

Lajim menyampaikan replika kunci Rumah Mesra Rakyat Yayasan Sabah kepada Rugayah sambil diperhatikan oleh Zulkhairi (tengah), Samin, Isnin dan Sanon

Lajim bersama Zulkhairi, Isnin dan penduduk setempat menikmati jamuan iftar di perkarangan Masjid Kg Lubak, Beaufort

300 Jemaah Iftar Dan Bertarawih Bersama Janang Gayoh

BEAUFORT - Seramai lebih 300 orang jemaah dan penduduk sekitar Kg Lubak dan kampung berdekatan menghadiri majlis iftar (berbuka puasa), solat Maghrib, Isyak dan tarawih berjemaah bersama Janang Gayoh Ahli Parlimen P177 Beaufort yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Malaysia, Datuk Seri Lajim Okin di Masjid Kg Lubak, Beaufort anjuran Pejabat Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan (YSZPS) kelmarin.

Dalam ucapannya, Lajim mengajak masyarakat Kg Lubak dan sekitarnya agar sentiasa mensyukuri nikmat hidup di negara ini kerana keadaannya yang aman makmur hasil daripada urustadbir negara yang sistematik, berpandangan jauh, disegani, berketrampilan serta kukuh ekonominya. "Kalau kita lihat negara-negara Islam lain hatta negara jiran yang berdekatan dengan kita, sambutan Ramadhan disambut secara alakadar malah ada negara yang mana masyarakatnya hidup dalam ketakutan untuk melaksanakan ibadah puasa akibat peperangan, kebuluran, ancaman pengganas, ketidakstabilan politik, ancaman malapetaka alam dan sebagainya. Tetapi di Malaysia, rakyatnya yang berbilang kaum menyambut bulan Ramadhan secara holistik di mana rakyat beragama Islam menjalankan ibadah puasa dengan sempurna manakala saudara mereka bukan Islam menjalankan perniagaan dengan pulangan ekonomi yang baik sepanjang bulan puasa. Di tanahair tercinta ini kita boleh mendapatkan apa sahaja kehendak kita seperti juadah, persiapan hari raya dan beribadat dengan sebebasnya. Ini membuatkan negara kita Malaysia dijadikan model negara Islam maju yang selamat untuk dikunjungi dan berdagang".

Dalam majlis itu juga, Lajim yang juga Ketua UMNO Bahagian Beaufort turut menyampaikan sebuah Rumah Mesra Rakyat sumbangang YSZPS kepada seorang ibu tunggal, Rugayah Haji Aluk dari Kg Kubu Pintas dan juga sumbangan wang tunai dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah serta sumbangan peribadi beliau kepada fakir miskin, ibu tunggal dan warga emas.

"Adalah diharapkan sumbangan rumah baru ini sebagai rezeki hari raya yang amat bermakna kepada penerima kali ini. Semoga sambutan Ramadhan dan Syawal kali ini jauh lebih ceria berbanding sebelum ini", kata Ketua Pentadbir YSZPS, ZUlkhairi Haji ismail semasa berucap di majlis itu. YSZPS juga menyampaikan sumbangan peralatan masjid kepada AJK MAsjid Kg Lubak di samping wang tunai.

Dalam malis yang sama, lajim juga mengumumkan beberapa peruntukan untuk pembelian kipas angin, meja dan gelanggang futsal bagi kegunaan masyarakat Kg Lubak. Manakala Timbalan Ketua Umno Bahagian Beaufort, Isnin Haji Aliasnih turut menyumbangkan sebuah mimbar baru di masjid terbabit.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengarah YADIM Sabah, Haji Samin Ongki, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Beaufort, Mohd Ishak Ibrahim, Yang Dipertua Persatuan Bekas Tentera Negeri Sabah, Sanon Sapri, warga YSZPS, Ahli-ahli Jawatankuasa Umno Bahagian, Ketua-ketua Jabatan dan ahli-ahli kariah masjid.

Jumaat, 5 Ogos 2011

PENYERAHAN RUMAH MESRA RAKYAT YAYASAN SABAH

Rumah asal yang usang di mana Yahya dan isteri bersama 9 orang anaknya berlindung daripada panas dan hujan

CERIA.........Zulkhairi menyerahkan secara rasmi Rumah Mesra Rakyat kepada Yahya sambil diperhatikan oleh Pegawai Operasi YS Papar, Mohd Fairuz B Hj Mohd Yussof

Hampir menyembah bumi.......Tidak dapat dibayangkan kesukaran hidup pasangan Masri di rumah asal yang serba uzur ini

Hadiah Syawal............Masri menerima rumah sumbangan Kumpulan Yayasan Sabah daripada Zulkhairi di Kampung Lakut

Dua Buah Keluarga Sambut Ramadhan Dan Syawal Penuh Ceria

PAPAR : Dua buah keluarga yang selama ini hidup dalam keadaan serba kekurangan berlindung di rumah uzur dan hampir menyembah bumi akhirnya mampu tersenyum ceria dengan penuh kesyukuran apabila menerima masing-masing menerima sebuah rumah baru sumbangan Kumpulan Yayasan Sabah yang disampaikan oleh Ketua Pentadbir Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan, Zulkhairi Haji Ismail. Penerima Rumah Mesra Rakyat itu ialah Yahya Hassan 67 tahun, dari Kampung Sapat Pulau merupakan bekas nelayan yang tidak mempunyai sumber pendapatan tetap terpaksa menyara 9 orang anak. "Kami sekeluarga amat bersyukur atas kurniaan yang amat bermakna dari Kerajaan Sabah dan Yayasan Sabah. Dengan pemberian rumah yang baru ini, ia amat bersejarah kerana pertama kali menyambut Ramadhan dan bulan Syawal dalam suasana penuh keselesaan. Kami akan menjaga rumah ini dengan sebaiknya'", kata Yahya dengan penuh sayu.

Manakala pasangan penerima rumah baru di Kampung Lakut ialah Masri Ismail dan isterinya yang uzur kedua-duanya berumur 70-an yang sebelum ini tinggal dalam sebuah rumah yang hampir roboh tanpa sebarang kemudahan asas. Masri bekas pesara polis menjaga sepenuh masa isterinya yang amat uzur. '"Syukur kepada tuhan kerana di penghujung usia kami berdua dapat juga kami merasa tinggal di rumah konkrit yang sempurna sebagai tempat berlindung kami berdua. Keperihatinan Yayasan Sabah dan Kerajaan Barisan Nasional amatlah kami sanjungi dan tidak akan dilupakan hingga ke akhir hayat'", luah Masri penuh ceria.

Sementara itu menurut Zulkhairi, Program Rumah Mesra Rakyat merupakan salah satu program teras Kumpulan di seluruh negeri khususnya di kawasan luarbandar yang disasarkan kepada mereka yang daif. "Program ini melibatkan usaha membaikpulih dan membina baru sesebuah rumah, jeti , perigi dan bekalan air graviti pada kos yang minimal. Ia sebagai salah satu usaha menokoktambah usaha Kerajaan Negeri dalam membela rakyat tanpa mengira kaum di Sabah''', tambah Zulkhairi lagi.