Rabu, 9 September 2009

MAJLIS PENUTUPAN MINGGU SUAIKENAL ADYS SIPITANG 2009‏





Jadikan Tokoh-Tokoh Terbilang Sebagai Idola Untuk Capai Kecemerlangan

SIPITANG:  Seramai 40 orang pelajar Asrama Yayasan Sabah Sipitang (AYSS) telah  menerima wang saku masing-masing daripada Ketua Pentadbir Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan, Zulkhairi Haji Ismail dalam sebuah majlis ringkas sempena Penutupan Minggu Suaikenal Pelajar Asrama 2009 bertempat di AYS Sipitang baru-baru ini.

 

Semasa berucap dalam majlis sama, Zulkhairi menyeru semua penghuni AYSS supaya mempertingkat keazaman dan usaha dalam pembelajaran sehari-hari seterusnya menjauhi sama sekali perlakuan tidak berdisiplin agar tidak mencemar nama baik Yayasan Sabah sebagai penaja mereka. "Tiada gunanya kita diberi kemudahan sebaliknya tidak menghargai sama sekali kebaikan yang diperolehi melaluinya. Rasa berterimakasih harus ditanamkan dalam diri setiap pelajar dan ia hanya boleh dibalas dengan pencapaian cemerlang dalam pelajaran sehingga berjaya menjadi insan kamil dan berguna kepada bangsa, negara dan agama. Pelajar juga harus menjadikan tokoh-tokoh dunia dan tempatan yang mencapai kegemilangan sebagai idola mereka dalam mencapai kejayaan yang diimpikan", tegas Zulkhairi lagi.

 

Sepanjang Minggu Suaikenal sebelumnya, semua penghuni AYSS telah dilibatkan dalam pelbagai aktiviti termasuklah aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong membersih rumah OKU, kampung berdekatan, lawatan sambil belajar ke Kota Kinabalu termasuklah Ibu Pejabat Yayasan Sabah, Muzium, Kampus UMS dan beberapa tempat menarik di bandaraya. Di samping itu mereke juga dicungkil dengan pelbagai kreativiti dalam malam senibudaya yang dipersembahkan dalam kalangan sesama mereka dan warga YSZPS.

 

Turut hadir di majlis tersebut Pegawai Tadbir Kanan YSZPS, Haji Gulam Hassan Hapil; Pegawai Operasi YS Sipitang, Lianard Ingging; Penyelia AYSS, Aliman Sani Pg Bujang; Ketua Unit Penyelidikan YSZPS, Peter Jonnie Peter; Pegawai Latihan YSZPS, Haidy Haji Othman dan warga YSZPS yang lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan