Khamis, 10 September 2009

ZIARAH RAMADHAN BULAN KEBESARAN‏




Tiada Penindasan Agama Dalam Ajaran Islam – Gulam


Papar : Sebagai sebuah agama yang syumul dan 'universal' sifatnya, agama Islam melarang sama sekali umatnya untuk menghina apalagi menindas agama lain serta penganutnya sekaligus adalah menjadi teras sesebuah negara Islam untuk memelihara kebebasan beragama dan beribadat. Demikian kata Wakil Rakyat Kawang, Datuk Haji Gulam Haidar Khan Bahadar semasa meraikan jemaah Surau Kampung Santing, Pengalat Besar kemarin. Majlis yang dianjurkan bersama oleh Pejabat Wakil Rakyat Kawang dan Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan (YSZPS) itu dihadiri seramai 120 orang penduduk sekitar.


"Sebagai sebuah negara majmuk dan berbilang budaya, Malaysia apalagi Sabah yang mempunyai lebih daripada 35 etnik menuntut agar setiap anggota masyarakat menghormati penganut agama lain serta menghormati peruntukan-peruntukan Perlembagaan Negara demi menjamin kemakmuran, kestabilan, kecemerlangan dan keutuhan negarabangsa. Sambutan perayaan keagamaan seperti rumah terbuka, pesta etnik, kunjung-mengunjungi mahupun pertukaran hadiah serta makanan yang berlaku sepanjang tahun menggambarkan bahawa rakyat negara ini menolak perpecahan dan permusuhan sesama etnik",tegasnya lagi.


Dalam majlis itu Gulam yang juga Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan turut menyampaikan sumbangan peralatan surau daripada Yayasan Sabah untuk kegunaan surau tersebut.


Turut hadir dalam majlis tersebut Ketua Pentadbir YSZPS, Zulkhairi Haji Ismail; Pengerusi Surau, Ustaz Haji Sotimin Sarun; Pegawai Operasi YS Papar, Mohd Fairuz B Hj Mohd Yussof; Pegawai Operasi YS Kuala Penyu, Ganilin Haji Hasyim; ahli-ahli jawatankuasa surau, ahli-ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Papar dan penduduk setempat.


Sejurus solat Maghrib berjemaah, rombongan Gulam beredar ke Masjid Kg. Pengalat Besar untuk solat Isyak dan Tarawih berjemaah bersama penduduk.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan