Sabtu, 15 Ogos 2009

PROGRAM PERKHEMAHAN JATIDIRI PELAJAR TAHUN 6 SK SURATI & SK LANGKAWIT 2009‏






Permuafakatan Sesama Warga Pendidik Dan Ibubapa Cetus Kecemerlangan - Rosnah

PAPAR: "Penggemblengan persefahaman dan kerjasama antara institusi pendidikan seperti sekolah, warga pendidik dan ibubapa mampu mencetus kecemerlangan berganda sama ada dari segi imej, prestasi kokurikulum, pencapaian dalam peperiksaan, pembangunan prasarana pendidikan, jatidiri pelajar dan mengangkat martabat masyarakat secara holistik", ujar Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Haji Abdul Rashid Shirlin semasa merasmikan Perkhemahan Motivasi Jatidiri Pelajar UPSR 2009 Sk Surati/Sk Langkawit anjuran Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman selatan (YSZPS) dengan kerjasama PIBG Sk Surati, PIBG Sk Langkawit dan Biro Pendidikan UMNO Papar di Sk Surati. Program 2 hari itu melibatkan seramai 90 orang calon UPSR 2009 dari kedua-dua buah sekolah terbabit.

Rosnah yang selaku Ahli Parlimen Papar dan Ketua Puteri UMNO Malaysia menggesa agar rangkaian kerjasama pintar ini diperkukuh dengan penglibatan Majlis Guru Besar, Pejabat Pelajaran Daerah, Majlis Kaunseling Daerah dan Permuafakatan PIBG Daerah dengan dibantu oleh agensi-agensi Kerajaan lain seperti Kumpulan Yayasan Sabah. Beliau juga memuji penglibatan langsung Biro Pendidikan UMNO Bahagian Papar dalam usaha memperkasa pendidikan bangsa selaras dengan penekanan yang diberi akhir-akhir ini dalam sektor pendidikan yang menuntut penglibatan semua pihak.

Sementara itu dalam ucapan aluannya, Ketua Pentadbir YSZPS, Zulkhairi Haji Ismail menawarkan diri secara peribadi untuk menjadi pakarujuk berkaitan halehwal kependidikan, panduan kaunseling dan kerjaya dengan hasrat menyumbang kepada pembangunan anak bangsa khususnya di luarbandar. "Setiap anggota masyarakat yang mempunyai latarbelakang profesional seharusnya membuka peluang dan ruang untuk memberi khidmatnasihat serta buah fikiran bernas sekaligus memungkinkan kewujudan sebuah masyarakat yang celik ilmu, berpendidikan, penyayang dan memiliki sifat nasionalisma", tambah Zulkhairi.

Sepanjang program 2 hari perkhemahan, para peserta dilibatkan dalam semua slot ceramah penghayatan, jatidiri, pengurusan masa, teknik peperiksaan dan pembentukan cita-cita luhur yang dikendalikan oleh tenaga pengajar setempat.

Hadir sama dalam majlis tersebut Pengerusi PIBG, Mokhtar Haji Yasin; Guru Besar SK Surati, Durahman Bakar; Guru Besar SK Langkawit, Ismail Haji Bidin; Pegawai Operasi YSZPS Papar, Mohd Fairuz Mohd Yussof; para ibubapa pelajar dan ahli-ahli jawatankuasa PIBG.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan