Jumaat, 14 Ogos 2009

PROGRAM MOTIVASI & TEKNIK MENJAWAB UPSR 2009 BAGI PELAJAR TAHUN 5 & 6 SK KELATUAN PAPAR‏








Guru Harus Bijak Gilap Potensi Anak Didik - Abidin

PAPAR: Warga pendidik khususnya di daerah Papar diseru agar kreatif dan bijak dalam mengenalpasti kecenderungan, minta, cita-cita dan potensi kendiri semua anak didik mereka demi menjamin pembentukan sahsiah pelajar yang bukan sahaja berjaya dalam bidang akademik malah cemerlang dalam kerjaya dan berguna kepada masyarakat. Demikian seru Pegawai Pelajaran Daerah Papar, Abidin Haji Marjan semasa merasmikan Program Motivasi Kecemerlangan UPSR 2009 SK Kelatuan baru-baru ini. Program anjuran bersama Pejabat Kumpulan Yayasan Sabah, Zon Pedalaman Selatan (YSZPS) dan SK Kelatuan tersebut melibatkan seramai 100 orang murid yang terdiri daripada calon UPSR dan murid tahun 4 dan 5 sekolah tersebut.

"Warga sekolah khususnya guru-guru harus melunaskan setiap akujanji perkhidmatan perguruan demi mencapai sasaran Kementerian sekaligus menaiktaraf prestasi kelulusan dalam peperiksaan utama tanpa meminggirkan aspek-aspek keluhuran budi, kaunseling, empati dan keutuhan disiplin pelajar sesuai dengan motto PPD Papar, Permata Digilap Gemilang Dicari". tambah Abidin lagi.


Sementara itu dalam ucapan aluannya Ketua Pentadbir YSZPS, Zulkhairi Haji Ismail turut menyeru kepada golongan ibubapa serta ahli keluarga pelajar agar meningkatkan kefahaman mengenai skil keibubapaan yang sesuai dengan keadaan semasa yang semakin mencabar. "Golongan ibubapa serta ahli keluarga pelajar harus juga peka akan peripentingnya kaedah kawalan, dorongan, bimbingan dan kasih sayang dalam tempoh pembelajaran anak-anak serta usia keremajaan mereka disebabkan wujud pelbagai pengaruh yang tidak sihat melanda bukan sahaja penduduk bandar malah kedesaan" ujar Zulkhairi.


Dalam program sama juga Guru Besar SK Kelatuan, Nining Yahya Haji Wahid turut merakamkan penghargaan kepada Kumpulan Yayasan Sabah yang sentiasa perihatin dalam usaha memperkenal beberapa pendekatan baru dalam setiap program anjuran mereka yang bersifat nilai tambah dan amat berkesan dalam merangsang pembangunan akademik dan sahsiah pelajar.

Sempena program itu, seramai 60 orang pelajar menerima sumbangan Kumpulan wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) yang disampaikan oleh Abidin, Nining dan Zulkhairi.

Program 2 hari itu diisi dengan ceramah kecemerlangan oleh Wahab Haji Menditar dari SMKA Limauan; Soumi Ahmin, SK Pekan Kinarut; Ismail Pani, SK Tanjung Aru 2; Yvan Hazel Jimis, SK Padang Berempah Sipitang dan Dayang Masniah Awang Piut, PPD Sipitang. Turut hadir di majlis itu Timbalan Pengerusi Pelaksana, Mohd Fairuz B Hj Mohd Yussof; Penolong Kanan Pentadbiran, George Abthonius dan para ibubapa.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan