Isnin, 29 Jun 2009

Kem Motivasi UPSR SK Nyaris-Nyaris‏







Dunia Hari Ini Milik Orang Yang Berilmu 

Bongawan: " Dunia hari ini dan masa depan menjadi milik orang yang berilmu dan rajin berusaha memperbaiki diri ke arah kecemerlangan", demikian ujar Datuk Haji Karim Haji Bujang, Wakil Rakyat N23 Bongawan semasa merasmikan Program Motivasi Kecemerlangan UPSR SK Nyaris-Nyaris anjuran Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan dan PIBG Sk Nyaris-Nyaris di Pusat Latihan Binsulok baru-baru ini. Program perkhemahan selama 3 hari 2 malam tersebut disertai seramai lebihkurang 100 orang murid tahap dua serta calon-calon UPSR 2009. Beliau yang juga Pengerusi Sabah Ports Sdn Bhd menyeru para ibubapa agar mendahulukan agenda pendidikan dalam merencana dan membentuk institusi keluarga masing-masing dan dalam aspek bermasyarakat kearah mewujudkan sebuah negarabangsa yang berdayasaing, maju dan mendepani pembangunan sejagat tanpa rasa rendah diri. "Adalah menjadi suatu yang malang jika ibubapa serta keluarga menyerahkan secara total tanggungjawab membangunkan anak-anak kepada warga pendidik ataupun agensi kerajaan tanpa sekelumit rasa komitmen yang bernilai dalam menentukan kendiri dan sahsiah anak-anak", tambahnya lagi.

Dalam ucapan terdahulunya, Ketua Pentadbir Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan (YSZPS), Zulkhairi Haji Ismail mengajak para guru dan pentadbir sekolah untuk mencambah minda secara kontinuan kearah merealisasikan hasrat dan halatuju kerajaan menbangun modal insan terbilang dengan penglibatan semua lapisan ibubapa serta PIBG dan pihak berwajib. "Tiada sebarang halangan dan alasan yang boleh dikaitkan dalam membantutkan agenda pembangunan bangsa Malaysia yang berilmu serta bernilai tinggi dalam pasaran kerjaya masakini", tegasnya. 

Turut hadir dalam majlis tersebut Pengerusi PIBG, Mohd Zainal Haji Matali; Guru Besar Sk Nyaris-Nyaris, Bakar Haji Tahir; Pegawai Operasi YSZPS Papar, Mohd Fairuz Bin Haji Mohd Yussof; Pegawai Operasi YSZPS Kuala Penyu, Ganilin Haji Hasim; Penyelia Pendidikan Daerah Papar, Henry Kenneth; AJK PIBG dan ibubapa terbabit.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan