Khamis, 25 Jun 2009

Program Kecemerlangan UPSR 2009 Peringkat Daerah Papar








KEKALKAN MINDA KEJAYAAN DEMI CAPAI KECEMERLANGAN


PAPAR: Untuk menjadi insan cemerlang di era moden seperti hari ini, setiap diri pelajar itu tidak kira di peringkat manapun perlu mengekalkan minda kejayaan serta diperlengkap dengan disiplin dan jatidiri yang ampuh. Demikian seperti yang ditegaskan oleh Ketua Pentadbir Kumpulan Yayasan Sabah, Zon Pedalaman Selatan (YSZPS), Zulkhairi Haji Ismail semasa merasmikan Program Kecemerlangan UPSR 2009 Peringkat Daerah Papar di Dewan SMK Majakir Papar kelmarin yang dianjur bersama Kumpulan Yayasan Sabah, Pejabat Pelajaran Daerah Papar, Majlis Guru Besar Papar dan Biro Pendidikan UMNO Papar. "Tip untuk merangsang minda kejayaan ialah dengan menghidupkan imaginasi berterusan mengenai situasi kegembiraan seorang pelajar ketika menerima keputusan peperiksaan yang diikuti dengan peluang-peluang melanjutkan pelajaran yang terbuka luas, seterusnya memiliki kerjaya yang hebat, menjadi ikon dan 'rolemodel' terkenal serta mempunyai reputasi tinggi di zaman mereka", tambahnya lagi ketika memberi tip-tip kecemerlangan dalam ucapannya. Beliau juga menyeru semua generasi pelajar agar menjauhi segala perkara yang boleh memberi kesan tekanan serta perlu menjaga kesihatan yang sempurna sehinggalah hari terakhir peperiksaan. "Peranan ibubapa serta warga pendidik amat kritikal dalam menatang prestasi berterusan setiap anak didik mereka khususnya sepanjang tempoh peperiksaan. Kelangsungan tertib diri, kestabilan emosi, permakanan, persekitaran rumah dan sekolah perlu kondusif yang mana akhirnya pasti membuahkan hasil membanggakan", tegas beliau lagi.

Sementara itu, Pegawai Pelajaran Daerah Papar, Abidin Marjan memberi jaminan akan sentiasa memantau dan mempertingkat tahap keupayaan prasarana fizikal, program pengupayaan guru, permuafakatan PIBG, hubungan inter-agensi, kaunseling pelajar dan beberapa elemen semasa yang sering timbul. "Perkhidmatan proffesional dan empati golongan guru terhadap kerjaya dan anakdidik sudah tentu merupakan pematuhan kepada setiap akujanji yang dibuat demi menjamin pencapaian terbaik bidang pendidikan serta mampu melonjak pembangunan modal insan khususnya di daerah Papar" , tegasnya.

Program yang bermotokan "Permata Digilap Gemilang Dicari" tersebut disertai oleh seramai lebihkurang 250 orang calon UPSR 2009 yang berpotensi untuk mendapat 5A dari seluruh 52 sekolah rendah daerah Papar. Program itu diisi padat dengan bengkel pemantapan subjek teras Bahasa Melayu, English, Matematik dan Sains disampaikan oleh Rosita Nasri, Saumi Ahmin, Helen Gasat, Juliani Severinus, Peter Pakang dan Suliaman Muntiol. Antara yang turut hadir di majlis itu Pengerusi MGB, Mohd Zajih Haji Edinin; Naib Pengerusi Biro Pendidkan UMNO Papar, Mudin Haji Madin; Pegawai Operasi YSZPS Papar, Mohd Fairuz Haji Mohd Yussof; Pegawai Operasi YSZPS Kuala Penyu, Ganilin Hashim; Guru-guru Besar serta Ahli-ahli Jawatankuasa Biro Pendidikan UMNO Papar.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan