Selasa, 23 Jun 2009

Program Ready Tempur UPSR 2009





Gapai Kecemerlangan Bermula Di Peringkat Awal - PPD

BEAUFORT: Pegawai Pelajaran Daerah Beaufort, Salleh Haji Eddris menyeru kepada golongan pelajar agar berusaha dengan giat di peringkat awal tanpa menanti di saat-saat akhir dalam usaha menggapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan cita-cita. "Belajar tanpa cita-cita umpama merentasi hutan tanpa kompas, manakala memasang cita-cita tanpa belajar dan berusaha umpama berperahu di lautan tanpa dayung yang mana akhirnya membatasi kemajuan seseorang insan", demikian kata beliau semasa merasmikan Program Ready Tempur Calon-calon UPSR 2009 SK Pekan Beaufort anjuran Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan (YSZPS) melibatkan seramai 100 orang murid tahun 6.

Terdahulu daripada itu Ketua Pentadbir YSZPS, Zulkhairi Haji Ismail menyatakan komitmen bahawa Kumpulan Yayasan Sabah sentiasa bersedia dan bekerjasama dengan pelbagai jabatan serta agensi kerajaan mahupun NGO ke arah memastikan agar golongan pelajar memperoleh pendedahan dan latihan yang sesuai demi menjamin prestasi yang membanggakan dari tahun ke tahun.

Sementara itu dalam ucapan awal, Guru Besar SK Pekan Beaufort, Anas Haji Yussof mensasarkan pencapaian lebih 60% kelulusan dalam UPSR 2009. Ia merupakan 'target' peningkatan dramatik dengan kerjakeras pasukan pendidik serta ibubapa dalam pelbagai usaha membangunkan kecekapan anak-anak murid di SK Pekan Beaufort.

Program sehari itu dipenuhi dengan program latihtubi dan ceramah yang dikendalikan oleh Jailani Idris dari SMK Gadong; Juin Tannyuh, SK Menunggang; Hamidah Awang Damit, SK Lupak; Rosli Francis, SK St. John dan Nisah Nayan dari SK Klias Baru.

Turut hadir di majlis itu Pegawai Operasi YSZPS Beaufort, Latip Haji Taip; Pegawai Operasi YSZPS Sipitang, Lianard Ingging; Pegawai Operasi YSZPS Papar, Mohd Fairuz Bin Haji Mohd Yussof dan Pegawai Penyelidik YSZPS, Peter Jonnie Peter.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan