Jumaat, 19 Jun 2009

Kem Motivasi UPSR Sekolah Contoh (Model CO) Kelompok 2, Zon Pekan Beaufort‏



250 orang sertai Kem UPSR Model CO.

Beaufort: Seramai 250 orang murid yang bakal menduduki peperiksaan UPSR 2009 sekitar daerah Beaufort mengikuti Kem Motivasi UPSR Bagi Sekolah Contoh (Model Co) selama dua hari baru-baru ini bertempat di SK Mempagar, Beaufort anjuran Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah Beaufort dan Biro Pendidkan Wanita UMNO Beaufort. Antara skolah-sekolah terbabit SK Mempagar, SK Lajau, SK St. Paul,SK Lumat dan SK Klias Baru.

Dalam ucapan perasmiannya, Wakil Rakyat Klias, Datuk Hajah Azizah Haji Mohd Dun menyeru kepada semua pelajar agar sentiasa mmemperbaharui tekad untuk mencapai kejayaan dalam setiap peperiksaan dan demi memenuhi cita-cita sendiri, ibubapa, para guru dan masyarakat ke arah mewujudkan generasi serba berilmu. "Golongan pelajar pada hari ini merupakan warganegara yang penuh keberuntungan kerana dilimpahi dengan pelbagai kemudahan terbaik samada dari aspek kemajuan prasarana, bantuan kewangan, uniform, buku teks, yuran percuma serta guru-guru yang cukup terlatih dalam bidang masing-masing di samping peluang melanjutkan pelajaran yang tidak terhad", tambah beliau yang juga Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah. Beliau juga memuji Pejabat Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan yang amat peka dalam mencambah program pembangunan sosiopendidikan khususnya di peringkat akar umbi di semua peringkat pendidikan.

Terdahulu dalam ucapan aluannya, Ketua Pentadbir Kumpulan Yayasan Sabah, Zulkhairi Haji Ismail menegaskan betapa perilaku terpuji serta ketinggian akhlak dalam diri setiap pelajar merupakan elemen utama kearah melahirkan insan yang hebat dan dihormati. "Dalam zaman moden serta mencabar ini, tahap pendidikan dan disiplin menjadi pembolehubah berkesan dalam menentukan kejayaan seseorang insan di semua peringkat dan bidang yang diceburi. Tiada ruang dan peluang kepada mereka yang leka dalam mengejar ilmu pengetahuan dan kemahiran. Semuanya memerlukan pengorbanan daripada ibubapa, warga pendidik dan masyarakat sekeliling"tambah Zulkhairi lagi.

Sementara itu, Pegawai Pelajaran Daerah Beaufort, Salleh Haji Edris turut menyeru kepada golongan guru dan pengurusan sekolah agar menerokai kaedah yang lebih berkesan dan seiring dengan norma-norma tempatan dalam menangani permasalahan yang mereka hadapi khususnya dalam usaha mencapai peratusan kelulusan tertinggi setiap tahun tanpa berpandukan semata-mata kepada kaedah yang sedia ada.

Antara yang turut hadir di majlis tersebut ialah Guru Besar SK Mempagar, Mohd Noor Said; Guru Besar SK Lumat, Maad Awang; Guru Besar SK Klias Baru, Syed Jaafar; Guru Besar SK Lajau, Osman Maaruf; Penolong Kanan SRK St. Paul, Tadin Habin; Pegawai Tadbir Kanan Yayasan Sabah, Haji Gulam Hassan Hapil dan Pegawai Operasi YS Beaufort, Latip Haji Taip.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan