Khamis, 2 Julai 2009

Majlis Penyampaian Anugerah Biasiswa Harian Yayasan Sabah Daerah Papar 2009





YS SENTIASA RELEVAN DI HATI RAKYAT JELATA – RAHIM



PAPAR: Sejak penubuhannya lebihkurang 40 tahun lepas dilihat sentiasa relevan di hati rakyat jelata Sabah malah berjaya menjadi ikon serta sebagai penanda aras bagaimana sesebuah institusi yang lahir dari gagasan tokoh pejuang Sabah iaitu Tun Mustapha Harun berjaya menongkah arus dan cabaran sehingga muncul sebagai sebuah yayasan yang disegani di rantau ini. "Tertubuhnya Yayasan Sabah adalah semata-mata dengan gagasan untuk membangunkan rakyat Malaysia di Sabah khusus melalui sektor pendidikan secara memperkenalkan penyediaan pelbagai dana dan program pembangunan modal insan yang sentiasa diperbaharui sesuai dengan tuntutan zaman". Demikian ujar Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Datuk Haji Abdul Rahim Ismail semasa menyempurnakan Majlis Penyampaian Anugerah Biasiswa Harian Menengah Yayasan Sabah 2009 Daerah Papar kepada seramai 300 orang pelajar menengah yang mewakili 10 buah sekolah menengah sekitar Papar di Dewan Masyarakat Papar kelmarin.


Beliau yang juga Wakil Rakyat Pantai Manis turut mengimbau perhatian hadirin mengenai betapa pentingnya segenap lapisan rakyat serta generasi pelajar yang mewarisi kepimpinan negara dan masa depan untuk sama-sama menghargai serta mempertahankan kemakmuran negara dengn cara memperjuangkan tradisi menuntut ilmu serta mempertingkatkan pencapaian diri, keluarga dan negarabangsa. "Dengan kemakmuran melimpah yang dianugerahi kepada bumi bertuah ini, sudah tentu menuntut kita agar tidak leka dan sentiasa memperbaharui tekad serta akujanji masing-masing untuk memastikan kegemilangan serta maruah kita tidak tergadai" tegasnya lagi.


Terdahulu daripada itu, Ketua Pentadbir Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan (YSZPS), Zulkhairi Haji Ismail memperingati para penerima biasiswa bahawa anugerah yang mereka terima bukanlah mutlak kerana ia disasarkan kepada mereka yang memerlukan dan berprestasi cemerlang dalam akademik, berdisiplin tinggi dan aktif dalam kokurikulum. "Adalah menjadi hasrat Kerajaan dan Kumpulan Yayasan Sabah untuk melihat golongan pelajar mendapat peluang pendidikan yang sempurna dengan penganugerahan pelbagai bantuan dana dan fasiliti terbaik termasuklah guru-guru terlatih yang mana mampu mewujudkan golongan cerdikpandai, profesional dan teknokrat yang cintakan negarabangsanya serta mampu menyumbang kepada kelestarian tamadun Malaysia yang gemilang", tambahnya lagi.


Menurut Zulkhairi lagi, Anugerah Biasiswa Harian Yayasan Sabah merupakan program yang berjalan setiap tahun di seluruh negeri Sabah khusus disasarkan kepada pelajar menengah yang kurang kemampuan. Melalui YSZPS pemberian biasiswa di Papar, Beaufort, Kuala Penyu, Sipitang, Membakut dan Menumbok disalurkan melalui pembukaan akaun di AgroBank dengan tujuan menanamkan sifat menabung di kalangan pelajar itu sendiri.


Serentak dalam majlis itu juga diadakan pameran dan ceramah pendidikan dan kerjaya yang melibatkan Kolej Yayasan Sabah, Universiti Tun Abdul Razak, Lincoln College dan AgroBank kelolaan Biro Pendidikan UMNO Papar.


Turut hadir di majlis itu Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Ghulam Haidarkhan Bahadar; Pegawai Pelajaran Daerah Papar, Abidin Haji Marjan; Pengurus AgroBank Cawangan Beaufort, Hazlim Hassan; Pengerusi Permuafakatan Pengetua Papar, Loh Kok Cheang; Timbalan OCPD Papar, ASP Fuad Malik; Pegawai Opeasi YS Papar, Mohd Fairuz Bin Hj Mohd Yussof; Pengarah Urusan Lincoln College, Dr Hajah Bibi Florina Abdullah, Para Pengetua dan ibubapa penerima.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan