Sabtu, 9 Mei 2009

Majlis Permuafakatan Ibubapa SK Kerukan





Amalan Bermuafakat Bawa Manfaat
KUALA PENYU: Amalan permuafakatan antara komuniti setempat dengan pihak berwajib terutama sekali demi kepentingan kesejahteraan umum amat berguna dan sangat-sangat dihargai dalam zaman yang serba mencabar seperti hari ini. Demikian hasrat yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin semasa merasmikan Seminar Permuafakatan Ibubapa 2009 anjuran Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan (YSZPS) di SK Kerukan baru-baru ini. "Dalam sektor pendidikan, permuafakatan yang menjurus kepada perkongsian maklumat, penggembelingan tenaga, percambahan minda malah sumbangan material untuk memajukan sistem pembelajaran anak-anak sudah tentu menghasilkan golongan modal insan terbaik serta berdayasaing samada dalam negara mahupun di pentas global" tambahnya lagi. Di majlis itu juga DSP Lajim mengumumkan bantuan sebanyak RM100,000 untuk pembinaan pentas terbuka serta menaiktaraf pusat sumber sekolah yang serba kekurangan.

Sementara itu dalam ucapan alu-aluan beliau, Ketua Pentadbir YSZPS, Zulkhairi Haji Ismail menekankan tentang peripentingnya golongan ibubapa serta penjaga murid-murid memiliki akses kepada pelbagai maklumat yang disediakan oleh kerajaan melalui jabatan dan institusi seperti Kumpulan Yayasan Sabah agar segala kemudahan tersebut tidak terbiar begitu sahaja sekaligus membantutkan usaha kearah mencapai kewujudan masyarakat bermaklumat. "Kemahiran serta keupayaan mencari peluang yang meluas disediakan kerajaan khususnya dalam bidang pembangunan sahsiah murid mampu melonjak dan mempercepatkan pembangunan masyarakat secara holistik" kata Zulkhairi.

Seminar sehari yang disertai seramai 200 orang itu diisi dengan siri ceramah berkaitan kesedaran dan kemahiran peranan ibubapa dalam membentuk pelajar yang disampaikan oleh Osman Sidek, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Penyu dan Dikin Haji Musah, Penolong Pengarah Pelajaran, sektor Pengurusan Sekolah. Antara yang turut hadir ialah Guru Besar SK Kerukan, Abdul Rahman Haji Nudin; Pegawai Operasi YSZPS Kuala Pentu, Ganilin Haji Hasim; Pengerusi PIBG, Husien Abdul Aji serta pegawai-pegawai YSZPA dan warga SK Kerukan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan