Khamis, 14 Mei 2009

PROGRAM GOTONG ROYONG BUMI HIJAU DAN CINTA ALAM





PERSEKITARAN SIHAT JAMIN HIDUP BERKUALITI


LUMADAN: Seramai lebihkurang 320 orang penduduk sekitar Kampung Teratak, Lumadan telah mengikuti aktiviti gotong royong dan keceriaan kampung dan persekitaran mereka. Program anjuran Kumpulan Yayasan Sabah dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Persekutuan, Beaufort; Jabatan Pertanian Beaufort dan Unit Pemimpin Kemajuan Lumadan. Seramai lebihkurang 60 orang ketua keluarga telah menerima spesis pokok eksotik dan buah-buahan bagi menceriakan halaman rumah masing-masing di samping menceriakan persekitaran kampung itu sendiri.

Semasa merasmikan program gotong royong tersebut, Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Sapawi Haji Ahmad menyeru komuniti setempat agar bukan hanya menunggu bantuan atau subsidi kerajaan semata-mata demi menjamin kelestarian persekitaran yang nyaman, sihat dan bersih yang bukan sahaja penting untuk kesihatan dan ancaman, malah ia menjadi suatu prospek tarikan pelancongan eko jika dimajukan. "Adalah menjadi harapan Kerajaan untuk melihat wujud persepakatan dan sikap berdikari secara berkelompok dalam kalangan rakyat kearah merealisasikan pembangunan modal insan sempurna yang kelak akan membantu memacu pembangunan setempat itu sendiri", tambahnya lagi.

Sementara itu Wakil Rakyat Lumadan, Kamarlin Haji Ombi turut mengajak masyarakat dalam kawasan yang diwakilinya agar berganding bahu tampil bersama beliau dalam usaha membasmi kedaifan, kemiskinan dan gejala sosial yang mula menular ke kampung-kampung.
Manakala dalam ucapan aluannya, Ketua Pentadbir Kumpulan Yayasan Sabah (YSZPS), Zulkhairi Haji Ismail menawarkan perkhidmatan konsultasi dan nasihat kepada penduduk Kampung Teratak yang berniat mahu membangunkan industri pelancongan berteraskan 'homestay' kerana Kampung Teratak sendiri amat berpotensi untuk berkembang dalam industri berkaitan. "Khazanah flora dan fauna yang wujud dan membiak di Kampung Teratak menjadi aset yang boleh dikembangkan sebagai daya tarikan pelancong khususnya dari luarnegara", katanya sebagai merujuk kepada kewujudan kelompok monyet belanda (proboscis monkey), himpunan pelbagai spesis unggas dan 'kunang-kunang' di sekitar kampung tersebut.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Pegawai Jabatan Belia dan Sukan Beaufort, Shamson Saad; Pegawai Tadbir Kanan YSZPS, Haji Gulam Hassan Hapil; Pegawai Operasi YSZPS Beaufort, Latip Haji Taip; Pengerusi JKKK Teratak, Haji Mali Sarak serta pemimpin UMNO, Ketua-ketua Kampung dan ahli-ahli persatuan belia setempat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan