Ahad, 24 Mei 2009

Seminar Keibubapaan SK Kampung Brunei, Membakut



JADIKAN PENDIDIKAN AGENDA UTAMA KELUARGA

MEMBAKUT: Ahli Dewan Undangan Negeri N24 Membakut, Datuk Haji Ariffin Mohamad Arif menggesa semua ibubapa serta ahli keluarga khususnya dan komuniti sesebuah kampung agar menjadikan agenda pembangunan pendidikan menjadi teras utama agenda pembentukan sesebuah keluarga. " Tiada yang lebih utama dalam kehidupan insan atau umat itu untuk mencapai kegemilangan dan kemuliaan di dunia dan akhirat ialah dengan keutuhan ilmu yang berguna, ini terbukti dalam sejarah bahawa sesebuah empayar yang hebat dan kuat terbentuk awalnya daripada ketajaman ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang" ujarnya lagi. Beliau juga menambah bahawa budaya hedonisme atau kelekaan kepada perkara-perkara berunsur hiburan semata-mata akan membawa kemunduran serta kemungkaran yang tidak terkawal akhirnya. Kegilaan anak-anak muda dalam gejala 'rempit' atau samseng jalanan boleh dibendung jika ibubapa atau ahli keluarga mengambil berat segala aspek disiplin dan akliah di kalangan golongan muda.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Seminar Keibubapaan anjuran Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan di SK Kampung Brunei, Membakut. Beliau yang juga merupakan Pengerusi SEDCO menyatakan kekagumannya mengenai Yayasan Sabah yang mana kekuatan sebenar organisasi itu di setiap pelusuk negeri ialah keakrabannya dengan rakyat jelata dan akar umbi. "Dengan perlaksanaan pelbagai program yang mendahulukan kepentingan rakyat, ternyata Yayasan Sabah sudah mendahului konsep 'Satu Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan", kata beliau diakhir ucapannya.

Program sehari itu melibatkan seramai lebihkurang 180 orang peserta yang terdiri daripada kalangan ibubapa, ahli PIBG dan warga pendidik SK Kampung Brunei. Pengisian program dilengkapi dengan ceramah yang disampaikan oleh Saat Haji Awang Damit, Pensyarah Kanan UMS dan Haji Shafie Md Zain, mantan Pegawai Pelajaran Gabungan.

Sementara itu dalam ucapan aluannya, Ketua Pentadbir Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan, Zulkhairi Haji Ismail turut menekankan peripentingnya komitmen dan kerjasama yang bersungguh-sungguh di kalangan pelaksana program kemasyarakatan di peringkat lapangan dan peserta program agar setiap dana yang dilibatkan dalam penganjuran program seumpamanya bermakna dan menjadi output terbaik secara holistik. "Adalah menjadi tanggungjawab semua golongan untuk merealisasikan halatuju Kerajaan melalui penglibatan aktif dalam semua acara yang diperturunkan kepada rakyat di semua lapisan", tegasnya lagi.

Antara yang turut berucap dan hadir di majlis itu Pengerusi PIBG, Yussof Haji Said; Guru Besar, Abdul Rahman Haji Mohd Yussof; Pegawai Khas Menteri Pelajaran, Awang Durahmin Haji Tafa serta anggota pendidik dan barisan AJK PIBG.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan