Selasa, 28 April 2009

Kursus fardhu Kifayah Pengurusan Jenazah Masjid Sahabat, Sipitang





Muafakat Membawa Berkat

SIPITANG : Masyarakat Islam harus dilihat sebagai sebuah 'role model' dalam pembentukan sesebuah entiti yang berteraskan muafakat, bersatupadu, dinamis, berkemampuan, makmur dan kuat. Untuk menjadi sebuah unit terpenting dalam kelompok besar sesebuah negara, masyarakat Islam harus memperbaiki diri, keluarga, jiran, komuniti serta persekitaran dengan cara mempertingkat ilmu bukan sahaja ilmu duniawi malah ampuh dengan ilmu serta amalan akhirat. Demikian ujar Wakil Rakyat Sindumin, Haji Ahmad Bujang semasa merasmikan Bengkel Fardhu Kifayah - Pengurusan Jenazah anjuran Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan di Masjid Bandar Sahabat Sindumin baru-baru ini. "Adalah menjadi tuntutan serta tanggungjawab setiap indidvidu Islam memiliki sikap 'bersiaga' dalam seluruh ruanglingkup kehidupan bermasyarakat agar kehidupan kita di dunia ini tidak menjadi sia-sia" tambahnya lagi. Beliau juga merakamkan penghargaan atas penglibatan aktif dan bermakna Kumpulan Yayasan Sabah sejak sekian lama yang bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan material dan fizikal malah aspek kerohanian serta sivik juga dititikberatkan khususnya di Pedalaman Selatan. "Program bercorak kerakyatan seumpama ini menjadikan Kumpulan Yayasan Sabah sentiasa relevan kewujudannya serta rakyat di segenap lapisan mendapat manfaat daripadanya" ujar Haji Ahmad.


Sementara itu, Ketua Pentadbir Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan dalam ucapan alu-aluannya menyeru masyarakat setempat agar mengambil segala peluang serta ikutserta dalam setiap program anjuran YSZPS yang semata-mata bertujuan melibatkan rakyat dalam arus perubahan dan pembangunan yang terancang oleh pihak pemerintah dan kerajaan. Segala peluang dan bantuan tidak akan bermakna jika masyarakat sebagai klien utama tidak merebut peluang dan berkecimpung dalam usaha-usaha murni kerajaan. 

Program sehari tersebut berjaya menarik seramai lebihkurang 150 penyertaan yang terdiri daripada penduduk setempat serta sekumpulan kecil penduduk dari Lawas, Sarawak. Pengisian program dipenuhi dengan ceramah serta gerakerja yang diketuai oleh Imam Daerah Sipitang, Haji Rafee Mohd Salleh dan Pegawai JHEAINS Sipitang, Ustazah Zaiton Ibrahim.

Antara yang turut hadir dalam program tersebut ialah Pengerusi Masjid, Haji Ariff Ismail; Pemimpin Kemajuan Rakyat Sindumin, Abdurahman Matnoh; Pegawai Tadbir Kanan YSZPS Haji Gulam Hassan Hapil, wakil Ketua Pentadbir YSZPS serta Pegawai Operasi YSZPS Sipitang, Lianard Ingging.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan