Isnin, 11 Mei 2009

120 Sertai Kem Motivasi Cemerlang UPSR 2009


Kami Boleh!!

KINARUT: Seramai 120 orang murid-murid SK Pekan Kinarut yang berpotensi dalam meraih keputusan 5A dalam UPSR 2009 telah diberi pendedahan mengenai kemahiran belajar, mengulangkaji dan menjawab soalan dengan cemerlang dalam peperiksaan tersebut. Kem Motivasi anjuran Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan (YSZPS) dengan kerjasama PIBG SK Pekan Kinarut serta Biro Pendidikan UMNO Papar berlangsung selama dua hari bertempat di SK Pekan Kinarut sendiri.


Semasa berucap merasmikan program tersebut, Ketua Pentadbir Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan (YSZPS), Zulkhairi Haji Ismail menyeru kepada calon-calon UPSR dan ibubapa mereka agar sentiasa menginsafi kemakmuran negara ini yang memungkinkan segala peluang serta kemudahan pembelajaran wujud di depan mata untuk dinikmati tanpa sebarang ancaman seperti negara-negara lain tidak pernah aman dari kacau-bilau. "Suasana dan sistem pembelajaran semakin bertambah baik seiring dengan hasrat menjadikan negara Malaysia sebagai mendahulukan rakyat demi mencapai kewujudan modal insan yang berprestasi tinggi dalam pelbagai bidang hasil daripada permuafakatan yang sedia terjalin antara pihak pemerintah, institusi pendidikan, rakyat dan penjawat awam termasuklah golongan pendidik", tambah beliau lagi.

Manakala semasa menyampaikan ucapan aluannya, Guru Besar SK Pekan Kinarut, Mohd Zajih Haji Edinin menyeru kepada semua calon-calon UPSR agar mempertahankan serta meningkatkan lagi kejayaan dan pencapaian sebagai salah satu sekolah terbaik di daerah Papar dalam UPSR 2008. Beliau juga amat menghargai penglibatan YSZPS secara berterusan dalam melaksanakan program yang mempunyai nilai tambah semata-mata untuk rakyat.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Pegawai Operasi YSZPS Papar, Mohammad Fairuz Yussof; Timbalan YDP PIBG, Ribang Haji Apong; Penolong Kanan SK Pekan Kinarut, Amran Mokhtar; Pegawai YSZPS serta pemimpin setempat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan