Isnin, 13 April 2009

Seminar Keibubapaan SK Bangkalalak




Beaufort : Ibubapa lewat zaman yang serba mencabar seperti hari ini diingatkan agar tidak sekali-kali memperjudi masa depan anak-anak mereka dengan cara mengikuti secara membuta-tuli segala propaganda pihak yang tidak bertanggungjawab yang mengusung isu-isu pendidikan demi kepentingan politik mereka. Demikian ujar Wakil Rakyat Lumadan, Kamarlin Haji Ombi semasa menutuprasmi Program Seminar Keibubapaan anjuran Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan (YSZPS) bertempat di SK Bengkalak, Beaufort. Gesaan beliau itu merujuk kepada keresahan dan 'kegilaan' rakyat terhadap dasar perlaksanaan PPSMI ataupu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. "PPSMI umpama jamu atau ubat yang pada mulanya ditelan pahit tetapi manfaatnya lebih berpanjangan dalam ertikata lain PPSMI mampu mengubah sindrom takut berbahasa Inggeris sekaligus melonjakkan martabat serta perkembangan golongan pelajar agar menjadi golongan yang berdayasaing di persada antarabangsa", demikian tambahnya lagi. Sebagai bekas seorang pendidik, Kamarlin juga menggesa agar semua lapisan masyarakat khususnya pemimpin komuniti atau JKKK mempunyai perancangan yang sistematik dan terarah dalam usaha membangunkan modal insan setempat melalui gembelingan tenaga dan cetusan pemikiran bersama agensi-agensi Kerajaan yang berkaitan seperti Kumpulan Yayasan Sabah yang bergerak sepanjang tahun dalam membantu usaha Kerajaan Barisan Nasional memperkayasa rakyat Malaysia di Sabah.

Seramai lebihkurang 130 orang para ibubapa, warga pendidik dan wakil PIBG dari 4 buah sekolah rendah dalam zon Lumadan iaitu SK Bengkalalak, SK Bentuka, SK Padas Damit dan SK Jabang terlibat dalam seminar sehari tersebut. Antara penceramah terkenal yang terlibat mengendalikan program pengisian ialah Prof. Dr. Mornie Haji Kambrie dari Unitar Sabah dan pegawai-pegawai kanan YSZPS.

Sementara itu dalam ucapan alu-aluan beliau, Ketua Pentadbir YSZPS, Zulkhairi Haji ismail memberi penekanan bahawa dalam era penguncupan ekonomi dunia pada masa ini, Kumpulan Yayasan Sabah bersama agensi-agensi Kerajaan yang lain sentiasa tampil ke depan membantu setiap lapisan rakyat khususnya kanak-kanak luarbandar agar mendapat peluang pembelajaran serta limpahan bantuan samarata dan setara dengan rakan-rakan sebaya mereka di bandar. "Tiada sebarang sebab atau dalih yang harus timbul ekoran kemiskinan yang kononnya menghalang kanak-kanak untuk bersekolah kerana bantuan material serta wang ringgit melimpah ruah untuk golongan pelajar di pelbagai peringkat persekolahan, tepuk dada tanya selera" ujar Zulkhairi dengan nada tegas. Antara bantuan yang diagihkan Kerajaan melalui agensi dan kementerian termasuklah uniform percuma, kasut percuma, skim makanan sihat, KWAPM atau kumpulan wang amanah pelajar miskin, skim pinjaman buku teks, Skim Bantuan Khas(SBK) dari Kumpulan Yayasan Sabah, biasiswa harian dan asrama serta banyak lagi yang sudah tentunya menyelesakan golongan pelajar untuk memenuhi proses pembelajaran secara formal, tambahnya lagi.

Antara yang turut hadir dalam Seminar tersebut ialah Guru Besar SK Bangkalalak, Zainal Haji Mohammad; Guru Besar SK Bentuka, Haris Mohd Zain; Guru Besar SK Jabang, Jumat Zainal; Guru Besar SK Padas Damit, Haji Asmat Mutera; Pegawai Tadbir Kanan YSZPS, Haji Gulam Hasan; Pegawai Operasi YSZPS Beaufort, Latip Haji Taip serta warga YSZPS yang lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan