Isnin, 24 Mei 2010

GERAK GEMPUR UPSR CO2, 2010 ZON GADONG

Kamarlin dan Zulkhairi menyuntik semangat kepada calon-calon UPSR 2010 Zon Gadong

Kamarlin, Zulkhairi, Juhrin, Abdulah dan Latip bergambar kenang-kenangan bersama calon-calon UPSR 2010 Zon Gadong

'Berkongsi Pengalaman'.........Kamarlin berkongsi pengalamannya selaku mantan Pegawai Pelajaran Daerah dan guru bersama warga pendidik diperhatikan oleh Zulkhairi dan Juhrin

Kamarlin menyampaikan peralatan siaraya kepada Haji Abdullah sambil diperhatikan oleh Zulkhairi dan Juhrin

"Guru Pelita Hidup"...Kamarlin meraikan Hari Guru dengan memotong kek bersama Zulkhairi, Juhrin, Haji Abdullah dan warga pendidik Zon Gadong

Agenda Pembangunan Pelajaran Tiada Penghujung - Kamarlin

BEAUFORT: "Agenda memartabatkan pembangunan modal insan melalui pendidikan secara formal merupakan tanggungjawab yang tiada penghujungnya dan menuntut komitmen serta transformasi berterusan daripada pelbagai pihak termasuklah pemerintah, jabatan, institusi, masyarakat, warga pendidik, ibubapa dan diri pelajar itu sendiri", ujar Kamrlin Haji Ombi semasa merasmikan Program Gerak Gempur UPSR 2010 Zon Gadong Beaufort di SK Lago kelmarin.

Kamarlin yang juga Wakil Rakyat Lumadan menegaskan bahawa semua pihak perlu bekerjasama secara padu tanpa menuding jari kepada yang lain jika sasaran prestasi yang diharapkan tidak tercapai, sebaliknya kajian dari pelbagai sudut perlu dibuat sekerap yang boleh serta melibatkan semua pihak. "Pihak pembuat dasar dan pentadbir bidang pendidikan perlu kerap turun padang khususnya meninjau sendiri proses pembelajaran sebenar tanpa susunan aturcara dan sambutan meriah oleh pihak sekolah yang boleh menjejas masa pembelajaran anak-anak. Tinjaulah dan alamilah sendiri bagaimana peritnya guru mengajar dan susahnya murid-murid dalam mencerna ilmu. Manakala ibubapa perlu menyinsing lengan berganding bahu dengan pihak guru serta pentadbir sekolah dalam memastikan pencapaian anak-anak mereka sentiasa meningkat dari masa ke semasa', tambah Kamarlin dengan tegas.

Seramai 160 orang calon UPSR dari SK Lago, SK Jabang, SK Kabajang, SK Bangkalalak, SK Padas Damit, SK Suasa, SK Bintuka, SK Gadong, SK Lupak, SK Batanduk, SK Kebulu, SK Garama dan SK Kepawa menyertai program anjuran Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan (YSZPS) dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah Beaufort dan PIBG SK Lago.

Sementara itu dalam majlis yang sama, Ketua Pentadbir YSZPS, Zulkhairi Haji Ismail menekankan peri pentingnya disiplin diri pelajar dalam mengurus masa, menepati jadual, mengurus diri, menjaga kesihatan dan menghormati guru serta ibubapa yang mana mampu meransang suasana pembelajaran yang kondusif sekaligus menjamin pentelahan setiap subjek dengan berkesan. "Disiplin diri yang baik dengan kawalan serta dorongan ibubapa yang konsisten sudah pasti menjanjikan pencapaian terbaik kepada setiap murid dan tentunya merealisasikan hasrat ibubapa untuk melihat anak mereka menjadi insan berguna", ujar Zulkhairi lagi.

Sempena majlis itu juga, Kamarlin menyumbangkan peralatan siaraya kepada guru Besar SK Lago. Beliau dan Zulkhairi turut menjanjikan hadiah lumayan kepada setiap murid yang berjaya mencapai keputusan 5A dalam UPSR 2010.

Turut hadir di majlis itu Guru Besar SK Lago, Haji Abdullah Tali; Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Beaufort, Juhrin Haji Osman; Pegawai Operasi YSZPS Beaufort, Latip Haji Taip serta guru-guru besar dari 12 buah sekolah rendah Zon Gadong.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan