Sabtu, 15 Mei 2010

GOTONG ROYONG PERDANA SEMPENA HARI GURU & PENGHIJAUAN BUMI


Zulkhairi, Sulaiman, Mudin dan peserta gotong-royong bergambar kenangan sebelum acara
menanam pokok di sekitar kampung dan sekolah.



Zulkhairi menyempurnakan acara penanaman pokok sempena Hari Bumi Hijau sambil diperhatikan oleh Mudin, Sulaiman, Haji Salim dan Haji Karim.


Guru Besar SK Buang Sayang, Mudin Madin menyerahkan sepasu pokok bunga kepada Zulkhairi sebagai tanda pelancaran HariBumi Hijau sambil
diperhatikan Sulaiman, Hj Salim dan Hj Karim


Permuafakatan Dan Gaya Hidup Sihat Prasyarat Utama Kemakmuran Kampung - Zulkhairi

 

PAPAR: "Tiada sesiapapun inginkan hidup dan tinggal dalam persekitaran yang kotor, tidak terurus, terdedah kepada pelbagai ancaman sama ada jenayah mahupun penyakit. Demi menjamin kondisi dan situasi yang makmur serta selamat dalam sesebuah penempatan seperti kampung atau mukim, prasyarat utama yang perlu ada ialah wujudnya permuafakatan yang sejati dalam kalangan komuniti serta penduduk setempat di samping memgamalkan gaya hidup sihat", ujar Zulkhairi Haji Ismail, Pengerusi Biro Pendidikan UMNO Papar semasa merasmikan Program Gotong-royong Perdana sempena Kempen Bumi Hijau peringkat Mukim Buang Sayang di SK Buang Sayang kemarin.

Program yang disertai oleh seramai lebih 200 orang yang terdiri daripada murid-murid sekolah, warga pendidik, pemimpin masyarakat dan ibubapa dari sekitar Kampung Buang Sayang, Kampung Melugus dan Kampung Timbagan itu dipenuhi dengan acara gotong-royong membersihkan kawasan dan bangunan sekolah, membentuk seni taman, penanaman pokok buah-buahan dan bunga sekaligus menghapuskan punca pembiakan nyamuk aedes. 


Dalam ucapannya Zulkhairi juga menitikberatkan beberapa elemen yang boleh menjana kewujudan persekitaran selamat antaranya penubuhan Jawatankuasa Bertindak Menangani Jenayah, Skuad Muda Kebersihan di samping memperkukuh peranan JKKK serta Kariah Masjid dan Surau. "Komitmen berterusan warga kampung dalam menangani isu-isu membabitkan keselamatan, pemuliharaan alam sekitar, penyelenggaraan fasiliti awam dan pembangunan ekonomi setempat akan memudahkan lagi usaha kerajaan dan agensi-agensinya memajukan sesebuah kawasan dan penduduknya. Di samping itu juga semua anggota masyarakat dalam sesebuah mukim atau kampung perlu mengelakkan kawasan mereka menjadi penempatan pendatang asing dengan cara tidak menyewakan rumah-rumah mereka kepada PTI kerana perbuatan itu pasti mengundang hukuman berat jika sabit kesalahan melindungi PTI", tegasnya lagi.


Antara yang turut hadir dalam program itu ialah Guru Besar SK Buang Sayang, Mudin Madin; Pengerusi PIBG, Sulaiman Haji Ahmad; Ketua Kg Melugus, Haji Salim Ahmad; Ketua Kg Buang Sayang, Haji Karim Mudin; Ahli-ahli PIBG, guru-guru, kakitangan kerajaan serta ahli-ahli Cawangan UMNO sekitar Daerah Mengundi Buang Sayang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan