Ahad, 4 Oktober 2009

PROGRAM MESRA SEKAMPUNG AIDILFITRI, KG. LUBOK WESTON







Kemeriahan Aidilfitri Setiap Tahun Bukti Kemakmuran Negara

BEAUFORT: Kemeriahan dan keupayaan menyambut Hariraya Aidilfitri serta perayaan keagamaan dan budaya setiap tahun membuktikan bahawa negara berada dalam kestabilan dan makmur tanpa sebarang ancaman persengketaan kaum, agama malah bebas dari segala malapetaka alam. Demikian kata Ketua Pentadbir Kumpulan Yayasan Sabah, Zon Pedalaman Selatan (YSZPS), Zulkhairi Haji Ismail semasa merasmikan program Mesra Sekampung Aidilfitri di perkarangan SK Lubok, Weston kemarin. Program anjuran YSZPS dengan kerjasama pihak SK Lubok, JKKK dan Kelab Sukan Kg Lubok tersebut berjaya mengumpulkan seramai 300 khalayak dan melibatkan 150 penyertaan dalam pelbagai acara sukaneka, persembahan kesenian dan keindahan kampung.

"Berbanding dengan negara lain seperti negara jiran, perayaan Aidilifitri disambut dengan tangisan dan ratapan akibat kejadian malapetaka alam yang melenyapkan sekelip mata bukan sahaja hartabenda malah beribu nyawa di samping persengketaan sesama saudara. Oleh itu sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya sentiasa sujud syukur malah mempertahankan kemakmuran serta kestabilan bumi bertuah ini dan mewariskannya kepada generasi akan datang dengan cara penglibatan semua anggota masyarakat dalam pelbagai peringkat", tambah Zulkhairi.

Sementara itu dalam ucapan aluannya, Pengerusi Penganjur, Jamalludin Haji Ibrahim mengajak seluruh penduduk Mukim Lubok dan penduduk sekitarnya agar sama-sama menyumbang idea dan tenaga dalam usaha membangunkan kampung mereka tanpa menunggu sumbangan pihak-pihak terentu khususnya kerajaan. "Kita seharusnya mampu memperbaharui tekad dan upaya dalam mengenalpasti serta membangunkan upaya sumber ekonomi baharu yang berasaskan hasil laut, pertanian, makanan dan kraftangan tanpa menunggu pihak berwajib untuk memulakannya agar sumber pendapatan yang ada secara tidak langsung mampu menampung kehidupan seharian dan masadepan anak-anak", kata Jamaluddin.

 Guru Besar SK Lubok Weston, Jalius Gadsong dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada YSZPS yang memilih SK Lubok sebagai lokasi penganjuran program. Beliau juga menyeru kepada para ibubapa agar memastikan pembelajaran dan pemantauan tingkahlaku anak-anak di rumah sentiasa terkawal. Di samping itu beliau juga menyatakan rasa keberuntungan kerana program seumpamanya telah dipersetujui oleh pihak sekolah untuk diangkat sebagai sebahagian daripada pengisian "Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan" atau RIMUP.

 Beberapa acara menarik yang dilangsungkan dalam program itu termasuklah lumba perahu, sukaneka, anugerah pelajar dan pengindahan kampung dan sekolah. Turut hadir dalam majlis itu Pegawai Operasi YSZPS Beaufort, Latip Haji Taip; Yang Dipertua PIBG Rahman Haji Abdul Razak; Ketua Kampung, Masri Haji Latip; Ketua Unit Penyelidikan YSZPS, Peter Jonnie Peter; Pegawai Operasi YSZPS Kuala Penyu, Ganilin Hasim; warga pendidik serta para ibubapa.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan