Jumaat, 9 Oktober 2009

KUNJUNGAN HORMAT KE SMK MAJAKIR







Alumni Mampu Jana Pengiktirafan Tinggi Kepada Sekolah-Sekolah

PAPAR: Pertubuhan alumni di setiap institusi pendidikan khususnya sekolah-sekolah mampu mempertingkatkan usaha menaiktaraf dan mengiktiraf sesebuah sekolah peninggalan ahli alumni jika segenap bekas pelajar mempunyai rasa sentimental dan sekaligus turut menyumbang kepada bekas sekolah mereka. Demikian ujar Ketua Pentadbir Kumpulan Yayasan Sabah, Zon Pedalaman Selatan (YSZPS), Zulkhairi Haji Ismail ketika melakukan lawatan ke SMK Majakir sekaligus kunjungan hormat kepada Pengetuanya Loh Kok Cheang yang akan berpindah sekolah tidak lama lagi. Zulkhairi yang juga bekas pelajar SMK Majakir turut merakamkan penghargaan kepada Pengetua Loh Kok Cheang atas kerjasama yang beliau dan warga pendidik berikan kepada YSZPS sejak sekian lama dalam menjayakan pelbagai program pembangunan pelajaran di SMK Majakir dan daerah Papar keseluruhannya.

"Sebagai salah sebuah sekolah tertua di Papar yang ditubuhkan pada tahun 1963, SMK Majakir telah mengalami pelbagai transformasi yang ketara dan ia melonjak dalam tempoh pentadbiran Cikgu Loh sebagai Pengetua Cemerlang. Ini membuktikan bahawa dengan sistem urustadbir yang baik, kerjasama yang mantap serta penggembelingan idea dan sumbangan bekas pelajar atau alumni telah menjadikan sekolah itu menerima pelbagai anugerah dan pemenang dalam pelbagai sektor akademik dan bukan akademik. Guru yang baik umpama biji benih yang jika dihumban ke laut ia jadi pulau, dan jika dihempas ke darat ia jadi gunung", tambah Zulkhairi sebagai menghargai warga pendidik sekolah itu.

Dalam kunjungan itu Zulkhairi juga mencadangkan agar Alumni Majakir dan pihak sekolah agar sering mengadakan perjumpaan dan melakukan beberapa aktiviti seperti pemakaian tali leher dan topi sekolah di kalangan bekas pelajar dan pelajar pada hari-hari tertentu, menganjurkan program penambahan dana seperti hari keluarga, rekreasi, sukan, festival kesenian dan sebagainya bagi menambah dana sekolah dan membangunkan sebuah pejabat alumni sepertimana sekolah-sekolah ternama di Semenanjung Malaysia.

Sementara itu, Loh Kok Cheang juga turut merakamkan terimakasih kepada YSZPS yang begitu aktif membantu pihak sekolah menjayakan pelbagai program. "Persefahaman sesama warga pendidik serta disiplin pelajar yang mantap sedikit sebanyak melancarkan program keceriaan sekolah di samping kreativiti yang wujud di kalangan warga SMK majakir sendiri dan ia lebih bermakna dengan kerjasama penuh daripada pihak luar atau agensi kerajaan seperti Yayasan Sabah", nyatanya.

Dalam kesempatan kunjungan itu, Zulkhairi turut menyampaikan sumbangan YSZPS yang berupa plak papan tanda Galeri SMK Majakir kepada Loh yang turut dihadiri sendiri oleh Pegawai Pelajaran Daerah Papar, Abidin Haji Marjan. Galeri SMK majakir itu merupakan inisiatif Pengetua Loh sebagai mercutanda sejarah yang perlu dihargai oleh setiap bekas pelajar mahupun setiap penduduk Papar.

Turut hadir dalam kunjungan itu Pegawai Operasi YSZPS Papar, Mohd Fairuz Bin Hj Mohd Yussof; Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Lailatun Haslim Abdul Latif; Penolong Kanan Pentadbiran, Kassim Haji Wiro; Pegawai Operasi Kuala Penyu, Ghanilin haji Hasim dan warga SMK Majakir yang lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan