Isnin, 27 Julai 2009

Majlis Penyerahan Biasiswa Harian 2009










AGENDA PEMBANGUNAN PENDIDIKAN DI SABAH SEIRING KONSEP 1MALAYSIA - Lajim


Beaufort: "Segala usaha untuk menyamaratakan peluang-peluang pendidikan ke dalam semua lapisan rakyat khususnya di kawasan pedalaman Sabah merupakan suatu yang sudah nyata seiring dengan gagasan 1Malaysia", ujar Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin semasa merasmikan Majlis Penyampaian Biasiswa Harian Menengah Kumpulan Yayasan Sabah di Dewan Pa' Musa, Beaufort kelmarin. Beliau yang juga Ahli Parlimen Beaufort memuji segala usaha agensi kerajaan yang terbilang seperti Kumpulan Yayasan Sabah dalam membuka serta memberi peluang pembelajaran ke segenap lapisan rakyat jelata Sabah khususnya golongan miskin.


Seramai lebihkurang 200 penerima baru dari 17 buah sekolah menengah meliputi daerah Beaufort, Sipitang, Kuala Penyu, Menumbok dan Membakut layak menerima Biasiswa Harian Yayasan Sabah. Jumlah ini tidak termasuk penerima awal seramai 300 orang.


Ketua Pentadbir Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan, Zulkhairi Haji Ismail mengingatkan kepada semua pelajar bahawa, biasiswa harian yang diberi merupakan sebahagian daripada usaha murni Kumpulan Yayasan Sabah untuk merangsang proses pembelajaran dan pencapaian prestasi pelajar khususnya dari kalangan kurang mampu. "Pemberian seumpamanya bukan bererti komitmen Yayasan Sabah terhenti setakat itu sahaja tetapi banyak lagi skim serta bantuan penajaan pelajaran yang membolehkan semua yang layak beroleh peluang melanjutkan pelajaran seperti rakan-rakan mereka yang lain dan tinggal di kawasan perbandaran, oleh itu keberuntungan pelajar-pelajar Sabah perlu disyukuri oleh setiap lapisan seperti ibubapa dan pelajar itu sendiri", tambah Zulkhairi lagi.


Majlis pada hari itu turut dihadiri oleh Pegawai Pelajaran Daerah Beaufort, Salleh Haji Edris; Pengurus AgroBank Negeri Sabah, Zainal Azhar Uda Kamis; Pengurus Cawangan AgroBank Beaufort, Haslin Hassan; Para Pengetua sekolah, ibubapa dan warga pendidik.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan