Selasa, 14 Julai 2009

Seminar Teknik Menjawab SPM 2009 Peringkat Daerah Papar



Hubungan Simbiotik Pendidik, Ibubapa dan Pelajar Penentu Kecemerlangan

PAPAR: Seramai lebih 350 orang pelajar calon SPM 2009 dari 11 buah sekolah menengah dalam daerah Papar mengikuti Seminar Teknik Menjawab Soalan Peperiksaan SPM anjuran Kumpulan Yayasan Sabah melalui Bahagian Pembangunan Pelajaran dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah Papar dan Majlis Kaunselor Papar di SMKA Limauan, Kimanis. Semasa merasmikan program tersebut, Ketua Pentadbir Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan, Zulkhairi Haji Ismail memperingatkan para hadirin dan peserta seminar bahawa 3 komponen utama yang terpenting dalam merencana kecemerlangan pelajar ialah pelajar itu sendiri, ibubapa dan warga pendidik di pelbagai peringkat. "Elemen sampingan seperti kesempurnaan fasiliti, ketersediaan infrastruktur, rakan sebaya, persekitaran, kestabilan dan kemakmuran juga mampu menyuntik capaian kejayaan tanpa mengira peringkat", tambah Zulkhairi lagi. "Tiada jalan mudah atau pintasan untuk meraih kecemerlangan yang diharapkan melainkan dengan kerja keras, disiplin, cita-cita, maruah atau harga diri yang konsisten dan kebolehupayaan ekonomi keluarga. Sebab itulah dengan sedaya upaya agensi-agensi Kerajaan seperti Kumpulan Yayasan Sabah tampil sejak sekian lama menyumbang dan menaja program pembinaan bangsa Malaysia di Sabah melalui penganjuran program bercorak nilai tambah meliputi pendidikan, ekonomi, tajaan biasiswa, keusahawanan, sosiobudaya malah pembangunan institusi pendidikan seperti Kolej Yayasan Sabah dan sebagainya bagi merealisasikan pengwujudan masyarakat berilmu", ujarnya.

Program sehari tersebut mula diperkenalkan sejak tahun 2006 dengan seramai 4087 pelajar dan 282 guru telah mendapat manfat. Bagi tahun ini sahaja, Kumpulan Yayasan Sabah mensasarkan seramai 2000 orang penyertaan di tujuh buah pusat penganjuran seluruh negeri Sabah. Seminar ini dirangka dengan pelbagai modul ceramah meliputi tip menjawab peperiksaan, skema permarkahan dan sebagainya kendalian penceramah Ahmad Ghani dari SMK Bongawan; Salim Tahir dari SMKA Limauan; Naimah Haji Derin, SMK Benoni dan Wong Teck Sing dari SMK Likas.

Antara yang hadir di majlis perasmian itu Pengetua SMK Limauan, Hajah Jamaliah Haji Ahmad; Pengerusi Majlis Kaunseling Papar, Awang Zaidi Pengiran Fauzi; Ketua Seksyen Kaunseling Yayasan Sabah, Hasnah Yassin; Penyelia Pelajaran Papar, Mohammad Kassim Salleh; Pegawai Operasi Kumpulan Yayasan Sabah, Daerah Papar, Mohd Fairuz bin Hj Mohd Yussof; para pengetua dan warga pendidik daerah Papar.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan