Isnin, 28 Februari 2011

Kursus Fardhu Kifayah

Khusyuk........ Para peserta mendengar dengan penuh perhatian isi ucapan Zulkhairi

Kamarlin menyampaikan Sijil Penyertaan kepada salah seorang peserta kursus sambil diperhatikan oleh Zulkhairi, Gulam dan Imam Jalin

Zulkhairi menyampaikan cenderahati kepada Kamarlin semasa penutupan kursus di perkarangan Surau Kg Gelila Jaya

Ilmu Fardhu Kifayah Makmurkan Masyarakat - Kamarlin

BEAUFORT - Seramai lebih 70 orang penduduk sekitar Kampung Gelila Jaya, Padas Damit di sini telah menyertai Kursus Fardhu Kifayah anjuran Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan YSZPS bertempat di Surau Kg Gelila Jaya. Kursus yang dihadiri oleh surirumah, belia dan pemimpin komuniti tersebut berkisar mengenai kaedah pengurusan jenazah dalam komuniti yang dijayakan oleh penceramah jemputan khas dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).

Semasa merasmikan penutupan kursus tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri Lumadan, Kamarlin Haji Ombi menegaskan bahawa asas sebenar pembangunan komuniti dan permuafakatan dalam ummah bergantung kepada sejauh mana penghayatan dan pebgupayaan aktiviti fardhu kifayah di samping taat beribadah. "Penghayatan dan amalan fardhu kifayah dalam hidup bermasyarakat amatlah penting sekali kerana intipatinya bertumpu kepada bagaimana sesebuah ummah itu mengamalkan ibadah secara kolektif dan saling bergantungan sesama insan. Contohnya dalam pengurusan jenazah di mana agama menuntut kerjasama dan ilmu pengetahuan yang mantap dalam menyelenggarakan seseorang yang sakit, kemalangan yang seterusnya mengakibatkan kematian sehinggalah pengkebumian, malah ia bukan sahaja terhenti setakat itu tetapi soal mengurus keluarga yang ditinggalkan si mati yang berkaitan dengan emosi, beban hidup dan sebagainya. Sebagai masyarakat yang berilmu dan cintakan kedamaian, kita haruslah menentang segala percubaan oleh anasir-anasir berkepentingan peribadi untuk memecahbelahkan perpaduan dan kemakmuran yang sekian lama dipupuk sejak merdeka. Ini sejajar dengan slogan 1 Malaysia 1 Ummah dalam sambutan Maulidur Rasul baru-baru ini", tambah Kamarlin lagi.

Sementara itu dalam ucapan aluannya, Ketua Pentadbir YSZPS, Zulkhairi Haji Ismail menyarankan agar sesebuah masyarakat atau kelompok dalam komuniti perlu juga mengambilkira aspek keilmuan yang menyentuh pengurusan wasiat, penyeliaan taman perkuburan, aspek kaunseling keluarga, penyediaan premis dan peralatan kecemasan bila berlaku kemaslahatan seperti kematian sekaligus juga aspek syariat Islamiah dalam pengurusan jenayah. "Ilmu yang diperolehi seharusnya disebarluaskan dikalangan anggota keluarga terdekat agar ia lebih bermanfaat dan berpanjangan serta mampu mempermudah kerja-kerja dakwah di kalangan masyarakat" ujar Zulkhairi.

Dalam majlis tersebut Kamarlin bermurah hati menyumbangkan 2 set kanopi dan kerusi bagi kemudahan penganjuran acara dan perlaksanaan program kemasyarakatan dalam kalangan masyarakat Kampung Gelila Jaya. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pegawai Tadbir Kanan YSZPS Haji Gulam Hassan Hapil, Pegawai Operasi YSZPS, Latip Haji Taip, Imam Daerah Beaufort, Jalin Haji Samarli, Ketua Daerah Lumadan, Jonely Yusop, Pengerusi JKKK Kg Gelila Jaya, Haji Ismail Gedon dan pemimpin-pemimpin masyarakat setempat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan