Isnin, 11 April 2011

BENGKEL PENGEMBANGAN EKONOMI BERASASKAN BIDANG JAHITAN DAN SULAMAN DAERAH PAPAR

Azrina sedang menyampaikan ceramah dan tunjukajar dalam bengkel tersebut

Para peserta mengikuti perbengkelan dengan penuh komitmen

Zulkhairi menyampaikan Sijil Penghargaan kepada Siti Jaiyana Asmah selaku jurulatih sulaman moden sambil diperhatikan oleh Gulam dan Fairuz

Zulkhairi menyampaikan Sijil kepada Nani Azrina selaku pemudahcara utama bengkel tersebut disaksikan oleh Gulam dan Fairuz

Zulkhairi bergambar kenangan bersama sebahagian daripada peserta setelah tamat bengkel


Usahawan Wanita Berkelebihan Untuk Bertahan - Zulkhairi

PAPAR - "Usahawan yang terdiri dari kalangan wanita mempunyai kelebihan untuk bertahan dalam persaingan ekonomi dan pasaran semasa kerana sifat semulajadi yang berdaya menyerap cabaran, penyabar, kreatif, berjimat-cermat dan mampu mendapat sokongan masyarakat", demikian ujar Ketua Pentadbir Kumpulan Yayasan Sabah, Zon Pedalaman Selatan (YSZPS), Zulkhairi Haji Ismail semasa merasmikan Bengkel Pengembangan Usahawan Bidang Jahitan dan Sulaman anjuran YSZPS di sebuah pusat peranginan di Beringgis semalam.

Bengkel yang disertai oleh lebih 30 orang peserta yang terdiri daripada lepasan universiti, ibu tunggal dan usahawan kecil itu didedahkan dengan ilmu serta kemahiran jahitan serta sulaman terbaru dan mengikut trend yang dikendalikan oleh pakar jahitan dan fesyen tempatan.

Dalam majlis tersebut Zulkhairi juga membuka minda para peserta agar lebih peka dengan peredaran fesyen, trend pasaran dan teknologi jahitan moden yang sentiasa berubah mengikut peredaran zaman agar mereka sentiasa relevan dalam kalangan peminat fesyen dan bukan sahaja tertumpu pada musim perayaan sahaja. "Seorang pakar jahitan dan fesyen yang berdayasaing haruslah tahu permintaan pasaran yang terdiri daripada pelbagai golongan dan jantina kerana bidang jahitan serta peragaan bukan lagi didominasi oleh wanita sahaja tetapi juga golongan lelaki khususnya yang bersifat profesional dan berkerjaya yang nyata lebih pantas mengikut trend. Di samping itu penjenamaan produk serta kemahiran menghidu peluang dan membentuk rangkaian pemasaran melalui internet juga menjadi kelebihan ketara ke atas usahawan", tambah Zulkhairi lagi.

Bengkel tiga hari itu diisi dengan pengajaran kaedah jahitan busana tradisional, moden, pakaian seragam dan penggunaan aksesori jahitan serta perhiasan tambahan di samping teknik meneroka pasaran yang dijayakan oleh usahawan Nani Azrina Mohd Yassin, Siti Jaiyana Hasmah, Haji Gulam Hassan Hapil dan pegawai YSZPS yang lain.

Turut hadir di majlis itu ialah Pegawai Operasi YZPS Papar, Mohd Fairuz Hj Mohd Yussof dan Pegawai Latihan YSZPS, Haidy Hj Othman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan