Rabu, 29 Julai 2009

KLINIK UPSR ZON MEMBAKUT






Amalkan 4 Prinsip Asas Capai Kejayaan - Ariffin

MEMBAKUT: Seramai 170 orang calon UPSR dari 17 buah sekolah rendah sekitar Zon Membakut telah mengikuti Klinik UPSR 2009 selama 2 hari bertempat di SK Saga-Saga, Membakut. Program anjuran bersama Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan dan PIBG SK Saga-Saga itu dirasmikan oleh Wakil Rakyat Membakut, Datuk Haji Ariffin Arif.

Dalam ucapannya Arifin yang juga Pengerusi SEDCO menggesa para pelajar dengan bimbingan ibubapa dan guru agar mengamalkan 4 prinsip asas untuk mencapai kejayaan dalam peperiksaan dan kehidupan sebagai pelajar. "Para pelajar juga harus memiliki elemen 'U.P.S.R' dalam diri yang membawa maksud Usaha, Persediaan, Sihat dan Rakan merangkumi sikap rajin berusaha tanpa leka di samping memastikan tahap kesihatan yang sempurna serta bergaul dengan rakan-rakan sebaya yang juga cemerlang" katanya. Di majlis itu juga menawarkan hadiah kepada murid-murid yang kelak berjaya mendapat keputusan 5A dan 4A dalam UPSR 2009.

Sementara itu Ketua Pentadbir, Kumpulan Yayasan Sabah, Zon Pedalaman Selatan, Zulkhairi Haji Ismail menyatakan bahawa sektor pendidikan menjadi teras pengupayaan modal insan yang diberi penekanan oleh Yayasan Sabah melalui pelbagai aktiviti serta program berterusan di seluruh pelosok negeri Sabah membabitkan dana yang bukan sedikit sama ada dilaksana melalui kerjasama mahupun secara holistik oleh Kumpulan Yayasan Sabah.

Antara yang turut hadir dalam program tersebut Guru Besar Sk Saga-Saga, Ahmad Bidin; Pengerusi PIBG, Haji Sani Haji Maarif; Pegawai Operasi YS Memabakut, David Yuntala; ibubapa dan warga pendidik SK Saga-Saga.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan