Masyarakat Pencinta Ilmu Gilap Ketamadunan - Gulam
PAPAR: "Sesebuah masyarakat yang cintakan ilmu pengetahuan dan menyebarkannya semata-mata untuk mencapai kecemerlangan mampu menggilap tamadun yang sedia ada serta mempertahankannya demi kepentingan generasi akan datang", demikian kata Pembantu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Wakil Rakyat N21 Kawang, Datuk Haji Ghulam Haidar Khan Bahadar semasa merasmikan Program Motivasi Semurni Harapan anjuran bersama Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan dan Jawatankuasa Kurikulum Zon Kinarut dengan kerjasam Biro Pendidikan UMNO Papar di SK Kawang.
Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Papar menggesa para ibubapa pelajar agar melakukan segala yang terbaik demi memastikan anak-anak mereka tidak tercicir daripada menerima segala bentuk peluang pembelajaran yang disediakan oleh Kerajaan dan agensinya. "Ilmu bukannya mencari kita tetapi kitalah yang seharusnya mencari dan menerokai ilmu yang tiada habisnya", tambah beliau lagi.
Sementara itu di awal ucapannya, Ketua Pentadbir Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan, Zulkhairi Haji Ismail menyentuh mengenai peripentingnya disiplin dan pembentukan cita-cita di kalangan golongan pelajar bagi merangsang keyakinan diri, peningkatan prestasi, konsentrasi, kesediaan fizikal dan keharmonian suasana pembelajaran. "Dunia hari ini dan masa hadapan menjanjikan pelbagai cabaran hebat dan kejayaan-kejayaan tanpa sempadan hanya kepada mereka yang memiliki ilmu dan jatidiri serta disiplin yang tinggi",ujarnya lagi.
Seminar sehari tersebut disasarkan kepada seramai lebihkurang 150 orang calon UPSR 2009 yang dikategorikan sebagai 'GALUS" ataupun berada ditahap gagal-lulus dari 9 buah sekolah rendah dalam Zon Kinarut beserta para ibubapa mereka. "Kebanyakan pelajar di dalam kategori 'galus' ini mempunyai latarbelakang yang bermasalah daripada segi isu kekeluargaan, kekurangan dana, lokaliti dan disiplin", terang Guru Besar SK Kawang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kurikulum Zon Kinarut, Mastia Haji Johari.
Turut hadir dalam majlis tersebut Pemimpin Kemajuan Rakyat Kawang, Juil Nuatim; Pegawai Operasi YS Papar, Mohd Fairuz bin Haji Mohd Yussof; Pengerusi PIBG SK Kawang, Jurin Osman; Penceramah Jemputan, Ustaz Khairuddin Yusupalla; Pegawai Latihan YSZPS, Haidy Othman; Guru-guru Besar Zon Kinarut dan semua ibubapa pelajar terbabit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan