Zulkhairi menyampaikan beg dan wang saku kepada salah seorang anak bekas perajurit disaksikan oleh Haji Tony, Wan Daud dan Ismail
Bekas Wirawan Negara Harus Proaktif
PAPAR: Para veteran tentera khususnya yang berdaftar dengan Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) di seluruh negara khususnya di negeri Sabah harus proaktif dan responsif kepada segala peluang dan fasiliti yang diberi oleh Kerajaan kepada mereka sebagai menghargai sumbangan dan peranan yang tidak ternilai demi menjamin tahap kehidupan dan ekonomi ahli agar sentiasa terbela dan selesa. Demikian kata Naib Pengerusi II, PBTM Negeri Sabah, Haji Tony Haji Suhaili semasa merasmikan Mesyuarat Agung PBTM Cawangan Papar Kali Ke-21 bertempat di Rumah Rehat Papar. "Sebagai langkah memperkukuh institusi PBTM, setiap anggota perlu menjalankan usaha berterusan mengesan veteran-veteran tentera yang belum mendaftar sebagai ahli dengan menggunakan pelbagai ruang komunikasi samada secara siaran akhbar, internet dan pesanan perorangan agar kebajikan bekas tentera terjamin. Kita harus juga berterimakasih kepada Kerajaan kerana melalui usaha Menteri Pertahanan Datuk Dr Zahid Hamidi, pelbagai usaha memajukan ahli-ahli PBTM telah dan sedang dilakukan sama ada melalui bantuan berterusan, latihan kemahiran, insuran, khairat kematian, biasiswa anak-anak bekas tentera dan peluang keusahawanan sedang terbuka luas di depan mata", tambahnya lagi.
Sementara itu Ketua Pentadbir Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan (YSZPS), Zulkhairi Haji Ismail semasa dalam ucapannya di majlis yang sama turut menyeru para veteran tentera dan keluarga terdekat agar memastikan anak-anak mereka memiliki kemampuan bersaing dalam bidang akademik, sahsiah dan pergaulan kerana ia mampu memartabatkan golongan tentera serta veteran tentera di negara ini setaraf dengan pencapaian kelompok lain dalam masyarakat. "Anak-anak tentera harus bangga dengan perjuangan ibubapa mereka dalam menjaga dan mempertahankan negara dengan cara membalas segala pengorbanan ini dengan menggapai pencapaian cemerlang dalam bidang pelajaran sekaligus menjadi 'role-model' terbaik dalam kalangan pelajar lain", tegas Zulkhairi lagi.
Zulkhairi yang juga merupakan Pengerusi Biro Pendidikan UMNO Papar turut menyampaikan beg sekolah dan wang saku sumbangan Yayasan Sabah kepada 30 orang anak-anak ahli PBTM yang turut disaksikan oleh Pengerusi PBTM Cawangan Papar, Wan Daud Ujud, Setiausaha Agung, Ismail Haji Asan, Pengerusi Tetap, Salleh Junaidi dan lebih 200 ahli PBTM Papar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan