Khamis, 21 April 2011

PENYERAHAN RUMAH MESRA RAKYAT SUMBANGAN KUMPULAN YAYASAN SABAH

Haji Amat Bujang dan Zulkhairi bergambar kenangan di Asrama YS Sipitang

Zulkhairi menerangkan sesuatu kepada Haji Amat di perkarangan Asrama YS Sipitang

Rumah konkrit sumbangan YSZPS di Kampung Sungai Bubus, Ulu Sipitang

"Jaga dengan baik"....Wakil Rakyat Sindumin, Haji Amat Bujang menyampaikan kunci Rumah Mesra Rakyat kepada Adul Judin disaksikan oleh Zulkhairi, Rahman, Latip dan ahli rombongan yang lain

Haji Amat menyerahkan kunci Rumah Mesra Rakyat sumbangan YS kepada Jasri Kadut di Kg Sungai Bubus, Ulu Sipitang 

Bentuk Rumah Mesra Rakyat sumbangan Yayasan Sabah di Kg Kasusu, Mesapol

Kerajaan Pastikan Tiada Rakyat Terpinggir

SIPITANG: "Tahun demi tahun Kerajaan melalui pelbagai jabatan dan agensi di seluruh negeri mempergiat usaha bagi memastikan semua lapisan rakyat menerima layanan saksama samada dalam bentuk penyediaan perkhidmatan sosial, pendidikan, pembangunan ekonomi, prasarana mahupun bantuan material walaupun disalurkan secara berperingkat atas faktor-faktor kemampuan kerajaan, faktor perhubungan dan geografi yang pelbagai". Demikian tegas Wakil Rakyat Sindumin Haji Amat Bujang semasa melakukan kunjungan kerja ke Kg Kasusu, Mesapol dan Kg Sungai Bubus, Ulu Sipitang bersama rombongan Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan (YSZPS) yang diketuai oleh Ketua Pentadbirnya, Zulkhairi Haji Ismail. Pada masa yang sama Haji Amat yang juga Pengerusi Lembaga Industri Getah Sabah menyeru semua lapisan rakyat yang tinggal di kawasan pedalaman yang rata-rata tanahnya subur agar mengusahakan tanah mereka dengan tanaman komoditi seperti kelapa sawit dan getah klon baru di samping mempelbagaikan tanaman sampingan serta penternakan di tanah masing-masing samada secara individu, keluarga atau berkelompok. "Kerajaan juga menyediakan pelbagai bantuan, khidmat nasihat teknikal dan dana yang melimpah ruah untuk direbut oleh rakyat bagi memperkasa tahap ekonomi keluarga dan komuniti setempat. Jauhi sikap berpeluk tubuh dan mengharap sepenuhnya pegawai dan agensi berwajib datang mengunjungi mereka, sebaliknya rakyat perlu proaktif menggarap peluang yang ada di depan mata", tambahnya lagi.

Dalam lawatan itu Haji Amat turut menyempurnakan penyampaian kunci Rumah Mesra Rakyat (RMR) sumbangan YSZPS kepada keluarga Adul Judin di Kg Kasusu dan Jasri Kadut di Kg Sungai Bubus.

Menurut Ketua Pentadbir YSZPS, Zulkhairi Ismail, penerima RMR dipilih daripada kalangan mereka yang berkeperluan tetapi tercicir dari senarai e-kasih di seluruh negeri Sabah khususnya dalam wilayah YSZPS meliputi daerah Papar, Kuala Penyu, Beaufort, Sipitang, Membakut dan Menumbok. "Spesifikasi RMR terdiri daripada rumah bertiang bagi kawasan banjir manakala di kawasan tinggi rumah setingkat sudah memadai. Di samping pembinaan rumah baru, YSZPS juga secara berkala melaksanakan program pembaikan rumah, pembinaan jeti, titi, paip graviti dan perigi mengikut kesesuaian sesuatu tempat demi kemudahan penduduk setempat secara berkelompok", kata Zulkhairi.

Rombongan tersebut juga turut melakukan kunjungan ke Asrama Yayasan Sabah Daerah Sipitang yang baharu dibaikpulih dengan wajah baru. Asrama yang dihuni oleh seramai 40 orang pelajar yang berasal dari kawasan pedalaman seperti Long Pasia, Ulu Sipitang, Sindumin, Merapok, Weston dan seluruh pelusuk Sipitang dan Beaufort itu menyediakan tempat tinggal yang selesa dengan kemudahan asas seperti dewan makan, ruang belajar, kawasan riadah dan rumah warden di samping ruang solat. Semasa di asrama tersebut, Adun Sindumin itu menggesa pihak pengurusan Yayasan Sabah agar menyediakan premis ibadat seperti surau dan ruang sivik demi memberi keselesaan kepada setiap penghuni untuk beribadat mengikut kepercayaan masing-masing.

Turut serta dalam rombongan itu ialah Pemimpin Kemajuan Rakyat Sindumin, Abdul Rahman Matnoh, Ketua Unit Penyelididkan YSZPS, Peter Jonnie Peter, Pegawai Operasi YSZPS Beaufort, Latip Haji Taip dan warga YSZPS yang lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan