Sabtu, 7 November 2009

KURSUS PROFESIONALISME GURU BESAR DAERAH PAPAR 2009

Durahman, Ag Talip dan Yussuf merupakan sebahagian daripada guru besar yang menyertai kursus anjuran YSZPS.

Datuk Karim menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta sambil diperhatikan oleh Zulkhairi, Abidin dan Zajih.


Guru Besar SK Buang Sayang, Mudin Haji Madin menerima sijil penyertaan daripada Datuk Karim disaksikan oleh Zulkhairi, Abidin dan Zajih


Kebanggaan Sekolah.....! Barisan Guru-guru Besar Daerah Papar bergambar kenangan bersama Datuk Karim, Zulkhairi dan Abidin sehabis kursus.



Warga Pendidik Harus Berani Nyatakan Kebenaran - Karim Bujang

PAPAR: Golongan pendidik khususnya pimpinan sekolah termasuklah Guru Besar harus berani menyatakan kebenaran demi kebaikan anak-anak didik mereka dalam usaha menambahbaik sistem, suasana, prasarana dan profesion perguruan itu sendiri. "Sebagai golongan yang amat rapat dengan masyarakat setempat, guru seharusnya mampu membawa perubahan ketara dalam sistem kehidupan rakyat dalam jangka panjang yang bukan sahaja melalui pendidikan malah penerapan sistem nilai, norma dan budaya terpuji dalam kalangan anak didik, ibubapa murid, komuniti dan institusi sekolah itu sendiri. Peningkatan infrastruktur sekolah juga bergantung kepada sejauhmana kebolehupayaan guru besar dan pentadbir sekolah mengurus dengan cekap". Demikian ujar Ahli Dewan Undangan Negeri N23 Bongawan, Datuk Karim Bujang sempena merasmikan Kursus Profesionalisme Guru-guru Besar Daerah Papar 2009 anjuran Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan dan Majlis Guru Besar Daerah Papar dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah Papar dan Biro Pendidikan UMNO Papar di sebuah pusat peranginan di Bongawan kelmarin.


Seramai lebih 50 orang guru besar dan penolong kanan dari 52 buah sekolah rendah sekitar daerah Papar menyertai program sehari itu. Tiga kertas kerja dibentangkan dalam kursus tersebut oleh Lo Kok Cheang, Pengetua SMK Tebobon bertajuk 'Bagaimana Mengurus Sumber Manusia Yang Berkesan'; Dr Hj Muhiddin Hj Yussin, Timbalan Pengarah Pelajaran Sabah membentangkan 'Pengurusan dan Kepimpinan Sekolah Berkesan Bagi Seorang Pentadbir' dan 'Pengurusan Kewangan Sekolah' oleh Zainun Hj Abd Kadir, Ketua Audit Sekolah, Jabatan Pelajaran Sabah.


Sementara itu dalam ucapan awalnya, Ketua Pentadbir YSZPS, Zulkhairi Haji Ismail berkongsi pengalaman dengan mencadangkan agar guru-guru besar menerapkan beberapa metodologi dan penemuan baru yang berkaitan dengan aspek pengurusan moden, pengurusan aset, pengurusan risiko serta pengurusan emosi dan intelek. "Dunia moden hari ini menuntut setiap lapisan pemimpin tidak kira di peringkat sekolah, jabatan, institusi mahupun negara mengadaptasi kaedah bekerja yang sesuai dengan zaman dan perkembangan peradaban manusia baru demi menjamin bidang perguruan di negara ini agar sentiasa relevan dan lestari tahap profesionalismenya sekaligus menarik minat pemburu kerja untuk menjadikan profesion perguruan sebagai pilihan nombor satu mereka. Adalah diharapkan kursus sedemikian rupa mampu menghasilkan gagasan yang terkandung positif yang akan dikongsi bersama pelbagai jabatan", tambah Zulkhairi.


Manakala dalam ucapan aluannya, Pegawai Pendidikan Daerah Papar, Abidin Marjan menggariskan empat elemen utama yang disentuh dalam NKRA atau Bidang Keberhasilan Utama Negara iaitu pemantapan bidang Pra-Sekolah, meningkatkan Program LINUS (Literasi dan Numerasi), Bai'ah atau perakuan janjisetuju dan ganjaran antara Pengetua/Guru Besar dan Pengurusan kearah meningkatkan prestasi pencapaian pelajar dan pembangunan sekolah berprestasi tinggi. "Perjumpaan dan percambahan minda melalui forum seperti kursus seumpamanya diharap dapat mencetus semangat baru yang tidak akan padam dalam menggalas tanggungjawab kita membangunkan modal insan yang memiliki nilai-nilai tambah bagi mengisi keperluan negara pada masa kini dan akan datang. Bidang pendidikan menjanjikan sinergi dan rejuvensi antara profesional, pentadbir dan pendidik bagi mencapai wawasan negara", ujar Abidin lagi.


Antara yang turut hadir di majli perasmian itu Pemimpin Kemajuan Rakyat Bongawan, Zainal Hj Matali; Pengerusi MGB, Mohd Zajih Hj Edenin; Pegawai Operasi YS Papar, Mohd Fairuz Hj Mohd Yussof; Timbalan Pengerusi MGB, Mudin Haji Madin merangkap Timbalan Pengerusi Biro Pendidikan UMNO Papar dan Pegawai Latihan YSZPS Haidy Hj Othman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan