Ahad, 1 November 2009

PROGRAM 3S DI PARLIMEN P.175 PAPAR














Program 3S Akan Diperluas Ke Seluruh Sabah - Rosnah


PAPAR: "Program 3s (Sihat-Selamat-Sejahtera) akan diperluas ke seluruh negeri Sabah berikutan peningkatan tahap kesedaran dalam kalangan rakyat jelata akan peri pentingnya penjagaan kesihatan, pematuhan keselamatan dan memelihara kesejahteraan hidup bermasyarakat di negeri ini mulai tahun depan dan akan dilancarkan di Papar sendiri". Demikian pernyataan yang dibuat oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Haji Rashid Shirlin semasa merasmikan Program 3s Kali ke - 5 di Pengalat Kecil kemarin. Program yang dimulakan sejak tahun 2008 itu merupakan anjuran bersama Pejabat Perhubungan Parlimen P175 Papar dan Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan (YSZPS) dengan kerjasama Pejabat Daerah Papar, Hospital Daerah Papar, PDRM Papar, Jabatan Kesihatan Papar, Klinik Pergigian Papar, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Kolej Yayasan Sabah, Rela, Majlis Guru Besar, Biro Pendidikan Umno Papar dan Jkkk Pengalat Kecil/Bundusan. Pelbagai acara menarik diadakan dalam program tersebut yang berlangsung sepanjang hari bertempat di Dewan Serbaguna Kg. Pengalat Kecil dan juga di Masjid Kampung Pengalat Kecil.


Antara pengisian program pada hari itu ialah pemeriksaan kesihatan meliputi pemeriksaan pap smear, rawatan gigi, derma darah, pemeriksaan mata serta ceramah pertolongan cemas, ceramah kawalan keselamatan, ceramah dan demonstrasi bomba, ceramah dan pameran pendidikan dan pertandingan mewarna di kalangan kanak-kanak. "Walaupun penyebaran wabak H1N1 dilihat agak terkawal, namun persiapan penjagaan kesihatan di kalangan rakyat amat meningkat berbanding sebelum epidamic selsema babi yang membawa transformasi kaedah penjagaan kesihatan dalam kalangan pelbagai pihak secara lebih baik dan terkawal", tambah Rosnah yang juga Ketua Puteri UMNO Malaysia.


Sementara itu dalam ucapan awal, Ketua Pentadbir YSZPS merangkap Pengerusi Penganjur, Zulkhairi Haji Ismail menekankan bahawa program bercorak perkongsian pengetahuan dan perhimpunan seumpamanya diharap menjadi suatu wadah berterusan dalam memperkukuh persefahaman sesama penduduk kampung dan mukim serta Jabatan-jabatan utama yang menyediakan perkhidmatan berkaitan. "Program 3s yang melibatkan pihak keselamatan dan kesihatan bertujuan membentuk sikap inginkan kehidupan sihat yang jauh dari pelbagai ancaman jenayah dan malapetaka serta penyakit yang mana akhirnya diyakini akan melahirkan sebuah institusi masyarakat yang berdayasaing dalam pelbagai sektor', tambah Zulkhairi lagi.


Program yang menarik penglibatan pengunjung seramai lebih 400 orang itu turut dihadiri oleh Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Ghulam haidar Khan Bahadar merangkap Adun N21 Kawang; Pegawai Daerah Papar, Iman Ali; Ketua CID Papar, ASP Chan Suay Yeen; Pegawai Kemajuan Rakyat Kawang, Juil Nuatim; Timbalan Pengerusi MGB Papar, Mudin Madin; Pegawai Operasi YS Papar, Mohd Fairuz B Hj Mohd Yussof dan ketua-ketua jabatan serta pemimpin-pemimpin parti komponen BN dan penduduk sekitar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan