Sabtu, 21 November 2009

MAJLIS ANUGERAH CEMERLANG SK KELATUAN PAPAR

Terima kasih.. Cikgu Nining menyampaikan cenderakenangan kepada perasmi, Zulkhairi Ismail

Pengerusi PIBG SK Kelatuan, Mohamad Haji Abdul Ghani menerima cenderakenangan daripada Cikgu Nining

Guru Besar SK Kelatuan, Cikgu Nining menyampaikan sijil kepada pelajar cemerlang Tahun 1

Pg Zaidi menyampaikan sijil kepada pelajar cemerlang

Haidy turut menyampaikan sijil kepada salah seorang pelajar cemerlang

Zulkhairi menyampaikan hadiah wangtunai dan sijil penghargaan kepada Nurlyana Chok Yee Ting yang mendapat keputusan 5A dalam UPSR sambil diperhatikan oleh Nining Yahya, Pg Zaidi dan Fairuz

Terbaik...! Sebahagian daripada pelajar cemerlang SK Kelatuan bergambar kenangan bersama Zulkhairi, Nining Yahya, Pg Zaidi dan tetamu serta para guru mereka

Kecemerlangan Biasanya Terhasil Dari Pengorbanan

PAPAR: Seramai 130 orang murid SK Kelatuan telah diraikan dalam Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan 2009 anjuran PIBG dan SK Kelatuan yang dirasmikan oleh Pengerusi Biro Pendidikan UMNO Papar, Zulkhairi Haji Ismail. Dalam ucapannya, Zulkhairi menyeru para ibubapa serta penjaga pelajar agar sentiasa mendekati pihak sekolah dan PIBG dalam mencari solusi dan titik persamaan matlamat ke arah menggilap kecemerlangan anak-anak mereka. "Jangan sekali-kali kemiskinan dijadikan alasan lapuk untuk menidakkan kemajuan pelajaran anak-anak kerana telah terbukti bahawa di beberapa buah negeri murid-murid cemerlang terdiri dalam kalangan masyarakat luarbandar dan miskin secara relatif. Pihak kerajaan dalam hal ini sentiasa memperhebat ransangan pembelajaran di setiap sekolah tanpa meminggirkan sekalipun kawasan luarbandar. Oleh itu sedikit pengorbanan yang penuh bererti dituntut daripada ibubapa kerana ia mampu melonjak kejayaan pendidikan anak-anak secara berterusan. Sementara itu, bagi murid-murid yang mendapat keputusan sederhana, jadikanlah pencapaian sebelum ini sebagai cabaran untuk menggapai keputusan yang lebih baik kerana proses pembelajaran sebenarnya bermula di peringkat menengah", tambah Zulkhairi lagi.

Sementara itu dalam ucapan aluannya, Guru Besar SK Kelatuan, Nining Yahya Haji Wahid mengajak para ibubapa agar sama-sama berkongsi idea dan saran dalam menggembeling pencapaian terbaik anak-anak mereka bukan sahaja dalam akademik tetapi juga sahsiah diri murid itu sendiri. "Sifat kepimpinan, berani kedepan, berkeyakinan tinggi, cergas dan bercita-cita merupakan bonus di samping pencapaian akademik", katanya.

Dalam ucapan awal beliau, Pengerusi PIBG, Mohamad Haji Abdul Ghani mengimbau kelesuan peranan ibubapa dalam menyertai kegiatan PIBG. "Tanpa penglibatan dan komitmen para ibubapa dalam menjayakan setiap program tambahan anjuran PIBG dan Agensi lain, adalah suatu yang malang bagi anak-anak kerana restu ibubapa itu sendiri amat penting sebagai dorongan peribadi kepada jagaan mereka', ujar Mohammad.

Pelbagai anugerah diberikan kepada setiap murid yang cemerlang dalam akademik dan kokurikulum serta pencapaian dalam UPSR 2009 dalam bentuk sijil dan wang saguhati sumbangan Guru Besar, PIBG, Yayasan Sabah dan UMNO Papar.

Turut hadir dalam majlis tersebut Ketua Unit Kaunseling, Pejabat Pendidikan Daerah Papar, Pengiran Zaidi Haji Pengiran Fauzi; Pegawai Operasi Yayasan Sabah Daerah Papar, Mohd Fairuz Bin Hj Mohd Yussof; Penolong Kanan Pentadbiran, George Anthonius; Pegawai Latihan Yayasan Sabah, Haidy Haji Othman, warga pendidik dan para ibubapa.



Sabtu, 7 November 2009

KURSUS PROFESIONALISME GURU BESAR DAERAH PAPAR 2009

Durahman, Ag Talip dan Yussuf merupakan sebahagian daripada guru besar yang menyertai kursus anjuran YSZPS.

Datuk Karim menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta sambil diperhatikan oleh Zulkhairi, Abidin dan Zajih.


Guru Besar SK Buang Sayang, Mudin Haji Madin menerima sijil penyertaan daripada Datuk Karim disaksikan oleh Zulkhairi, Abidin dan Zajih


Kebanggaan Sekolah.....! Barisan Guru-guru Besar Daerah Papar bergambar kenangan bersama Datuk Karim, Zulkhairi dan Abidin sehabis kursus.



Warga Pendidik Harus Berani Nyatakan Kebenaran - Karim Bujang

PAPAR: Golongan pendidik khususnya pimpinan sekolah termasuklah Guru Besar harus berani menyatakan kebenaran demi kebaikan anak-anak didik mereka dalam usaha menambahbaik sistem, suasana, prasarana dan profesion perguruan itu sendiri. "Sebagai golongan yang amat rapat dengan masyarakat setempat, guru seharusnya mampu membawa perubahan ketara dalam sistem kehidupan rakyat dalam jangka panjang yang bukan sahaja melalui pendidikan malah penerapan sistem nilai, norma dan budaya terpuji dalam kalangan anak didik, ibubapa murid, komuniti dan institusi sekolah itu sendiri. Peningkatan infrastruktur sekolah juga bergantung kepada sejauhmana kebolehupayaan guru besar dan pentadbir sekolah mengurus dengan cekap". Demikian ujar Ahli Dewan Undangan Negeri N23 Bongawan, Datuk Karim Bujang sempena merasmikan Kursus Profesionalisme Guru-guru Besar Daerah Papar 2009 anjuran Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan dan Majlis Guru Besar Daerah Papar dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah Papar dan Biro Pendidikan UMNO Papar di sebuah pusat peranginan di Bongawan kelmarin.


Seramai lebih 50 orang guru besar dan penolong kanan dari 52 buah sekolah rendah sekitar daerah Papar menyertai program sehari itu. Tiga kertas kerja dibentangkan dalam kursus tersebut oleh Lo Kok Cheang, Pengetua SMK Tebobon bertajuk 'Bagaimana Mengurus Sumber Manusia Yang Berkesan'; Dr Hj Muhiddin Hj Yussin, Timbalan Pengarah Pelajaran Sabah membentangkan 'Pengurusan dan Kepimpinan Sekolah Berkesan Bagi Seorang Pentadbir' dan 'Pengurusan Kewangan Sekolah' oleh Zainun Hj Abd Kadir, Ketua Audit Sekolah, Jabatan Pelajaran Sabah.


Sementara itu dalam ucapan awalnya, Ketua Pentadbir YSZPS, Zulkhairi Haji Ismail berkongsi pengalaman dengan mencadangkan agar guru-guru besar menerapkan beberapa metodologi dan penemuan baru yang berkaitan dengan aspek pengurusan moden, pengurusan aset, pengurusan risiko serta pengurusan emosi dan intelek. "Dunia moden hari ini menuntut setiap lapisan pemimpin tidak kira di peringkat sekolah, jabatan, institusi mahupun negara mengadaptasi kaedah bekerja yang sesuai dengan zaman dan perkembangan peradaban manusia baru demi menjamin bidang perguruan di negara ini agar sentiasa relevan dan lestari tahap profesionalismenya sekaligus menarik minat pemburu kerja untuk menjadikan profesion perguruan sebagai pilihan nombor satu mereka. Adalah diharapkan kursus sedemikian rupa mampu menghasilkan gagasan yang terkandung positif yang akan dikongsi bersama pelbagai jabatan", tambah Zulkhairi.


Manakala dalam ucapan aluannya, Pegawai Pendidikan Daerah Papar, Abidin Marjan menggariskan empat elemen utama yang disentuh dalam NKRA atau Bidang Keberhasilan Utama Negara iaitu pemantapan bidang Pra-Sekolah, meningkatkan Program LINUS (Literasi dan Numerasi), Bai'ah atau perakuan janjisetuju dan ganjaran antara Pengetua/Guru Besar dan Pengurusan kearah meningkatkan prestasi pencapaian pelajar dan pembangunan sekolah berprestasi tinggi. "Perjumpaan dan percambahan minda melalui forum seperti kursus seumpamanya diharap dapat mencetus semangat baru yang tidak akan padam dalam menggalas tanggungjawab kita membangunkan modal insan yang memiliki nilai-nilai tambah bagi mengisi keperluan negara pada masa kini dan akan datang. Bidang pendidikan menjanjikan sinergi dan rejuvensi antara profesional, pentadbir dan pendidik bagi mencapai wawasan negara", ujar Abidin lagi.


Antara yang turut hadir di majli perasmian itu Pemimpin Kemajuan Rakyat Bongawan, Zainal Hj Matali; Pengerusi MGB, Mohd Zajih Hj Edenin; Pegawai Operasi YS Papar, Mohd Fairuz Hj Mohd Yussof; Timbalan Pengerusi MGB, Mudin Haji Madin merangkap Timbalan Pengerusi Biro Pendidikan UMNO Papar dan Pegawai Latihan YSZPS Haidy Hj Othman.

Ahad, 1 November 2009

PROGRAM 3S DI PARLIMEN P.175 PAPAR














Program 3S Akan Diperluas Ke Seluruh Sabah - Rosnah


PAPAR: "Program 3s (Sihat-Selamat-Sejahtera) akan diperluas ke seluruh negeri Sabah berikutan peningkatan tahap kesedaran dalam kalangan rakyat jelata akan peri pentingnya penjagaan kesihatan, pematuhan keselamatan dan memelihara kesejahteraan hidup bermasyarakat di negeri ini mulai tahun depan dan akan dilancarkan di Papar sendiri". Demikian pernyataan yang dibuat oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Haji Rashid Shirlin semasa merasmikan Program 3s Kali ke - 5 di Pengalat Kecil kemarin. Program yang dimulakan sejak tahun 2008 itu merupakan anjuran bersama Pejabat Perhubungan Parlimen P175 Papar dan Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan (YSZPS) dengan kerjasama Pejabat Daerah Papar, Hospital Daerah Papar, PDRM Papar, Jabatan Kesihatan Papar, Klinik Pergigian Papar, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Kolej Yayasan Sabah, Rela, Majlis Guru Besar, Biro Pendidikan Umno Papar dan Jkkk Pengalat Kecil/Bundusan. Pelbagai acara menarik diadakan dalam program tersebut yang berlangsung sepanjang hari bertempat di Dewan Serbaguna Kg. Pengalat Kecil dan juga di Masjid Kampung Pengalat Kecil.


Antara pengisian program pada hari itu ialah pemeriksaan kesihatan meliputi pemeriksaan pap smear, rawatan gigi, derma darah, pemeriksaan mata serta ceramah pertolongan cemas, ceramah kawalan keselamatan, ceramah dan demonstrasi bomba, ceramah dan pameran pendidikan dan pertandingan mewarna di kalangan kanak-kanak. "Walaupun penyebaran wabak H1N1 dilihat agak terkawal, namun persiapan penjagaan kesihatan di kalangan rakyat amat meningkat berbanding sebelum epidamic selsema babi yang membawa transformasi kaedah penjagaan kesihatan dalam kalangan pelbagai pihak secara lebih baik dan terkawal", tambah Rosnah yang juga Ketua Puteri UMNO Malaysia.


Sementara itu dalam ucapan awal, Ketua Pentadbir YSZPS merangkap Pengerusi Penganjur, Zulkhairi Haji Ismail menekankan bahawa program bercorak perkongsian pengetahuan dan perhimpunan seumpamanya diharap menjadi suatu wadah berterusan dalam memperkukuh persefahaman sesama penduduk kampung dan mukim serta Jabatan-jabatan utama yang menyediakan perkhidmatan berkaitan. "Program 3s yang melibatkan pihak keselamatan dan kesihatan bertujuan membentuk sikap inginkan kehidupan sihat yang jauh dari pelbagai ancaman jenayah dan malapetaka serta penyakit yang mana akhirnya diyakini akan melahirkan sebuah institusi masyarakat yang berdayasaing dalam pelbagai sektor', tambah Zulkhairi lagi.


Program yang menarik penglibatan pengunjung seramai lebih 400 orang itu turut dihadiri oleh Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Ghulam haidar Khan Bahadar merangkap Adun N21 Kawang; Pegawai Daerah Papar, Iman Ali; Ketua CID Papar, ASP Chan Suay Yeen; Pegawai Kemajuan Rakyat Kawang, Juil Nuatim; Timbalan Pengerusi MGB Papar, Mudin Madin; Pegawai Operasi YS Papar, Mohd Fairuz B Hj Mohd Yussof dan ketua-ketua jabatan serta pemimpin-pemimpin parti komponen BN dan penduduk sekitar.