Selasa, 17 Mei 2011

PROGRAM PENYERAHAN BEKALAN PAIP GRAVITI KG ULU LINGKUNGAN SUMBANGAN YSZPS

Ketibaan Kamarlin disambut oelh Zulkhairi beserta penduduk kampung

Kamarlin, Zulkhairi dan sebahagian penduduk Ulu Lingkungan memanjatkan doa kesyukuran atas pembinaan bekalan air graviti yang memberi banyak manfaat

Kamarlin memotong riben menandakan penyaluran air graviti ke Masjid Baru Ulu Lingkungan sambil diperhatikan oleh Zulkhairi, Matbali, Ahmad Mumin dan Gulam

Kamarlin dan Zulkhairi turut merasai sendiri kesegaran air bukit yang disalirkan ke Masjid Ulu Lingkungan

Program Kesejahteraan Rakyat Oleh Kerajaan Dilaksana Sepanjang Tahun - Kamarlin

SIPITANG:  "Kerajaan Barisan Nasional khususnya di Sabah sejak sekian lama melaksana segala program yang menjurus kepada penyediaan kemudahan asas rakyat khususnya di pedalaman secara berterusan dan bukannya bila tiba musim pilihanraya seperti mana dakwa sesetengah pihak yang hanya tahu bercakap tapi tidak turun ke padang memastikan kesejahteraan rakyat terbela". Demikian tegas Wakil Rakyat Lumadan, Kamarlin Haji Ombi semasa merasmikan penyerahan kemudahan bekalan air graviti sumbangan Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan (YSZPS) di Kg Ulu Lingkungan kelmarin. Kamarlin juga menyeru semua lapisan rakyat khususnya di pedalaman agar memperkukuh perpaduan dan bertukar maklumat secara bijak dengan merujuk kepada sumber-sumber yang dipercayai seperti agensi kerajaan, media cetak dan elektronik yang berwibawa dan juga pemimpin-pemimipin masyarakat di pelbagai peringkat. "Perpaduan dan persefahaman murni yang sdia wujud dalam kalangan masyarakat Sabah khususnya di luarbandar merupakan benteng paling kukuh dalam menangkis segala usaha kotor pihak pembangkang yang bertujuan mewujudkan suasana kacau-bilau dalam kehidupan rakyat sekaligus menghalang kemasukan sebarang bentuk kemajuan spiritual dan fizikal", tambahnya lagi. Beliau juga merakamkan penghargaan dan terimakasih kepada Yayasan Sabah atas perkhidmatan yang diberikan meliputi pelbagai bidang teras pemodenan masyarakat luarbandar.

Sementara itu dalam ucapan aluannya, Ketua Pentadbir YSZPS, Zulkhairi Haji Ismail menyatakan bahawa konsep pembinaan empangan kecil paip graviti itu dibina secara separa gotong-royong yang melibatkan penduduk sesebuah kampung atau mukim yang bertujuan semata-mata bukan sahaja memberi kemudahan kepada masyarakat setempat malah juga untuk mewujudkan persekitaran 'esprit-de-corp' atau semangat kekitaan yang berkekalan di kalangan mereka. Fasiliti paip graviti tersebut mampu membekalkan bekalan air berterusan kepada lebih 30 bah rumah yang melibatkan 200 pengguna di samping menjadi bekalan air utama kepada Masjid Ulu Lingkungan yang baru dibina dan balairaya berdekatan. Sumber air diperolehi melalui tadahan air yang kaya  dengan mineral dari puncak bukit sepanjang jalan dari Weston ke Sipitang.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Pemimpin Kemajuan Rakyat Lumadan, Haji Ahmad Mumin, Pegawai Perhubungan Parlimen sipitang, Matbali Haji Musa, Pengerusi Masjid Ulu Lingkungan, Semaun Senang,  Pengerusi JKKK Ulu Lingkungan, Ibrahim Omar, Pegawai YSZPS Beaufort, latip Taip, Pegawai Tadbir Kanan YSZPS, haji Gulam Hapil dan ketua-ketua jabatan negeri sekitar Sipitang dan Beaufort.

Ahad, 15 Mei 2011

MESYUARAT AGUNG PBTM CAWANGAN PAPAR KALI KE-21





Zulkhairi menyampaikan beg dan wang saku kepada salah seorang anak bekas perajurit disaksikan oleh Haji Tony, Wan Daud dan Ismail


Bekas Wirawan Negara Harus Proaktif

 

PAPAR: Para veteran tentera khususnya yang berdaftar dengan Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) di seluruh negara khususnya di negeri Sabah harus proaktif dan responsif kepada segala peluang dan fasiliti yang diberi oleh Kerajaan kepada mereka sebagai menghargai sumbangan dan peranan yang tidak ternilai demi menjamin tahap kehidupan dan ekonomi ahli agar sentiasa terbela dan selesa. Demikian kata Naib Pengerusi II, PBTM Negeri Sabah, Haji Tony Haji Suhaili semasa merasmikan Mesyuarat Agung PBTM Cawangan Papar Kali Ke-21 bertempat di Rumah Rehat Papar. "Sebagai langkah memperkukuh institusi PBTM, setiap anggota perlu menjalankan usaha berterusan mengesan veteran-veteran tentera yang belum mendaftar sebagai ahli dengan menggunakan pelbagai ruang komunikasi samada secara siaran akhbar, internet dan pesanan perorangan agar kebajikan bekas tentera terjamin. Kita harus juga berterimakasih kepada Kerajaan kerana melalui usaha Menteri Pertahanan Datuk Dr Zahid Hamidi, pelbagai usaha memajukan ahli-ahli PBTM telah dan sedang dilakukan sama ada melalui bantuan berterusan, latihan kemahiran, insuran, khairat kematian, biasiswa anak-anak bekas tentera dan peluang keusahawanan sedang terbuka luas di depan mata", tambahnya lagi.

Sementara itu Ketua Pentadbir Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan (YSZPS), Zulkhairi Haji Ismail semasa dalam ucapannya di majlis yang sama turut menyeru para veteran tentera dan keluarga terdekat agar memastikan anak-anak mereka memiliki kemampuan bersaing dalam bidang akademik, sahsiah dan pergaulan kerana ia mampu memartabatkan golongan tentera serta veteran tentera di negara ini setaraf dengan pencapaian kelompok lain dalam masyarakat. "Anak-anak tentera harus bangga dengan perjuangan ibubapa mereka dalam menjaga dan mempertahankan negara dengan cara membalas segala pengorbanan ini dengan menggapai pencapaian cemerlang dalam bidang pelajaran sekaligus menjadi 'role-model' terbaik dalam kalangan pelajar lain", tegas Zulkhairi lagi.

Zulkhairi yang juga merupakan Pengerusi Biro Pendidikan UMNO Papar turut menyampaikan beg sekolah dan wang saku sumbangan Yayasan Sabah kepada 30 orang anak-anak ahli PBTM yang turut disaksikan oleh Pengerusi PBTM Cawangan Papar, Wan Daud Ujud, Setiausaha Agung, Ismail Haji Asan, Pengerusi Tetap, Salleh Junaidi dan lebih 200 ahli PBTM Papar.