Jumaat, 4 September 2009

PROGRAM ZIARAH RAMADHAN








Amalan Ziarah Ramadhan Kunci Persaudaraan Berterusan

KUALA PENYU: Sudah menjadi tradisi agensi utama Kerajaan Negeri seperti Kumpulan Yayasan Sabah saban tahun menggerakkan beberapa program kemasyarakatan semata-mata atas kewajiban sosial (CSR) di seluruh pelusuk negeri Sabah melalui Pejabat-pejabat Kumpulan di setiap zon. Kelmarin seramai 18 orang warga Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan (YSZPS) yang turut disertai beberapa ahli NGO telah melakukan ziarah ke Kampung Mansud dan Kampung Gimbad di daerah Kuala Penyu. Program yang bermula seawal jam 3 petang diketuai oleh Ketua Pentadbir YSZPS, Zulkhairi Haji Ismail. Program 5 dalam 1 itu meliputi ziarah, penyampaian bantuan, pengutipan data, program berbuka puasa dan tarawih serta bersama pemimpin.

Rombongan YSZPS bermula dengan ziarah ke rumah warga emas Pahat Juan di Kg Mansud. Pahat 66 tahun merupakan bekas staf Yayasan Sabah yang mengalami ketidakupayaan anggota serta tidak mampu berjalan. Beliau merakamkan rasa kesyukuran atas kunjungan rombongan yang kebetulan diketuai oleh rakan sekerjanya dalam satu Bahagian yang sama. Di kesempatan itu, Zulkhairi turut menyampaikan sumbangan berupa barangan makanan dan duit raya. Pahat yang tinggal sebatang kara kebiasaannya dijenguk dan dibantu oleh anak-anak saudaranya yang tinggal berdekatan.
 
Sejurus selepas itu, rombongan ziarah singgah ke rumah Makcik Pisah Mokti di Kg Gimbad. Pisah 85 tahun menghidap sakit kaki sejak sekian lama dan memerlukan kerusi roda untuk bergerak. Bingkas hasil kajian awal, YSZPS menyumbangkan sebuah kerusi roda dalam pada hari itu. Suasana di rumah Makcik Pisah agak sayu atas kunjungan dan 'hadiah raya' yang sekian lama diharapkan.

Sewaktu diwawancara, Zulkhairi menyatakan perlaksanaan program yang bercorak nilai tambah seumpamanya amat sinonim dengan falsafah Kumpulan yang didasari keperihatinan dan berjiwa rakyat, malah ia seiring dengan gagasan 1 Malaysia yang mensasarkan keperluan rakyat terbanyak didahulukan sekaligus pencapaian sesebuah institusi atau organisasi itu dapat dinilai oleh rakyat sendiri. "Program seumpamanya juga diharap memberi ruang dan peluang kepada rakyat jelata untuk bersama dengan agensi kerajaan dan paling utama setiap pemimpin yang turut hadir dapat merasai suara dan nadi rakyat secara terus untuk diberi perhatian", tambah Zulkhairi lagi.

Di hari yang sama juga, Zulkhairi turut menyerahkan secara simbolik sebuah perigi serbaguna untuk kegunaan penduduk sekitar Kg Gimbad. Perigi yang dilengkapi dengan sebuah ruang mand dan bilik air merupakan salah satu sumbangan Kumpulan Yayasan Sabah khusus untuk penduduk luarbandar yang menantikan pembangunan.

Di akhir program, rombongan ini disertai oleh Wakil Rakyat N26 Kuala Penyu, John Teo Mau Seng. John semasa menyampaikan ucapannya memuji Kumpulan Yayasan Sabah yang sentiasa mendahului kepentingan rakyat dengan penganjuran pelbagai program yang amat berkesan dan dapat dirasai sendiri oleh rakyat khususnya di kawasan pedalaman. "Kehadiran warga Yayasan Sabah yang bertenaga dan membawa sekali bersama mereka sumbangan dan harapan penduduk luarbandar mebuktikan bahawa kepelbagaian etnik serta kepercayaan di Sabah ini bukanlah penghalang untuk kita berganding tangan mendepani hari-hari mendatang. Kepimpinan kerajaan BN Sabah sudah tentu berusaha setiap masa untuk membawa pembangunan yang seimbang demi kesejahteraan rakyat", ujarnya bersemangat.

Semasa menunggu iftar, John Teo turut menyampaikan sumbangan YSZPS yang berupa barangan dapur kepada beberapa orang mualaf di perkarangan Masjid Kg Gimbad. Beliau juga turut berbuka menjamu juadah bersama masyarakat Islam yang diraikan oleh YSZPS.

Turut hadir dalam rombongan dan program itu Pegawai Tadbir Kanan YSZPS, Haji Gulam Hapi; Pegawai Operasi Kuala Penyu, Ganilin Haji Hasyim; Ketua Unit Penyelidikan/ICT YSZPS, Peter Jonnie Peter; Pengerusi JKKK, Jifnih Ajang; Ketua Kampung, Haji Moin Atar; Pengerusi Komuniti Bestari Kg Mansud, Rahman Ali serta warga YSZPS.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan