Jumaat, 22 Mei 2009

42 Warga Pelbagai Agensi Kerajaan Sertai Program Khidmat Masyarakat YSZPS Di Long Pasia










Seramai 42 pegawai dari pelbagai Jabatan dan Agensi Kerajaan turut serta dalam Program Khidmat Masyarakat anjuran Pejabat kumpulan Yayasan Sabah, Zon Pedalaman selatan di Long Pasia baru-baru ini. Antara yang terlibat ialah Kementerian Dalam Negeri yang diwakili oleh Pasukan RELA Sipitang, Pejabat Pelajaran Daerah Sipitang, PDRM, RAMD 22, Kolej Yayasan Sabah, Unit Ambulan dan Paramedik Yayasan Sabah. Program murni ini diketuai oleh Ketua Pentadbir kumpulan Yayasan Sabah, zon Pedalaman selatan (YSZPS), Zulkhairi Haji Ismail selaku ketua rombongan. Program yang memakan masa 3 hari 2 malam itu walaupun singkat tetapi membawa makna besar kepada penduduk Long Pasia dan juga pengukuhan kerjasama inter-agensi kerajaan demi kepentingan rakyat secara holistik.

Program ini telah dirancang awal melibatkan beberapa siri perbincangan sejak 3 bulan sebelumnya. Walaupun dijadualkan awal dari segi perlaksanaan, tetapi akibat cuaca yang tidak mengizinkan di awal tahun, ia ditunda beberapa kali sehinggalah menjadi kenyataan pada 5 Mei 2009 
Perjalanan kami pada hari itu bermula seawal jam 9 pagi dari Pejabat Kumpulan Yayasan Sabah, Zon Pedalaman Selatan (YSZPS) yang terletak di Bangunan Beaufort Jaya. Konvoi seramai 42 orang yang melibatkan 33 kenderaan pacuan empat roda (4X4) bergerak dalam keadaan berhati-hati dan seiring melewati kampung-kampung tradisional antaranya Kampung Marabah, Lumadan, Kampung Kalamauh, Kampung Pelakat, Kampung Pantai dan berhenti sebentar di Pekan Sipitang untuk mengisi petrol sebelum meneruskan perjalanan ke Long Pasia. Di Sipitang kami berhenti di Asrama Yayasan Sabah Daerah Sipitang untuk memunggah bekalan makanan dan peralatan gotong-royong.

Selepas mengisi minyak, kami bertolak sekitar jam 10.30 menelusuri jalan baru Sipitang-Tenom. Kualiti jalan yang agak baik melancarkan konvoi kami melepasi Kampung Sungai Buaya dan beberapa kampung kecil. Rombongan kami memasuki Kampung Mendulong sebagai jalan pintas utama menuju Long Mio dan Long Pasia. Melepasi Kampung Mendulong barulah terasa cabaran sebenar jalan balak (logging trail). Cuaca panas pada hari tersebut membuatkan tempoh perjalanan kami lebih panjang disebabkan kumpalan debu jalan yang tebal akibat pergerakan tanpa putus kumpulan kenderaan kami yang sekali sekala terhenti bagi memberi laluan kepada ‘logging truck’ yang sarat dengan muatan balak bulat dan jentera penyodok. Perjalanan kami beberapa kali terhenti di beberapa lokasi akibat jalan terputus hasil daripada runtuhan batu dan juga engsotan tanah mendap. Kami bernasib baik kerana jentera penyodok dan lori mebawa tanah segera membaiki jalan tersebut kerana kami dimaklumkan bahawa ada kumpulan ‘Pembesar’ politik akan masuk ke Long Pasia. Syukurlah!

Walaupun permukaan jalannya agak mencabar, tetapi keseluruhan rombongan kami agak seronok dengan perjalanan yang ‘adventourous’ seumpamanya. Kami berhenti mengisi perut di tebing Sungai Meligan di sebuah pondok yang di kenali sebagai ‘Kota Tun Ampang di Tanjung Keyahan Meligan’ menghadap Sungai Meligan. Keadaan Sungai Meligan pada ketika itu agak tenang dengan air yang mengalir lesu seolah-olah menyembunyikan sesuatu peristiwa. Walaupun lesu, Sungai Meligan boleh menjadi ganas apabila tiba musim tengkujuh dengan kapasiti air yang meningkat tiba-tiba. Baru-baru ini sungai lesu ini telah menghanyutkan beberapa buah rumah dan ‘menyapu’ beberapa buah kenderaan yang melalui jambatan Meligan. Tragedi ini telah meragut nyawa seorang pelajar yang menaiki kenderaan awam untuk ke sekolah. Mayat pelajar itu dijumpai selepas 11 hari dalam keadaan terbenam di dasar sungai yang berbatu. Amat menyayat hati! Bagi kami ia suatu yang boleh dielak.

Selepas makan ‘tapau’ kami bergegas bergerak menuju Long Pasia kerana langit mula gelap ketika itu. Jam menunjukkan 3.30 petang. Jikalau hujan turun lebat, sudah pasti permukaan jalan bertambah licin dan menambah beban kepada enjin kenderaan untuk bekerja keras. Sepanjang jalan ke Long Pasia, kami tertarik dengan kewujudan seakan-akan bunga Lavender yang tumbuh meliar di tepi-tepi jalan. Mungkin factor cuaca yang dingin membolehkan tumbuhan ini tumbuh melata.
Jam 4.30 kami melepasi pintu gerbang Long Pasia yang tertera ‘Tau Mefafu’ Baruh’ bererti Selamat Datang. Kami ‘parking’ di depan astaka usang Long Pasia di padang utama dengan disambut oleh Ketua Kampung, Mudin Sia, Pemangku Pengerusi JKKK, Andrew Laban dan beberapa orang penduduk kampung.

Walaupun perjalanan sejauh 150km memeritkan, tapi agak berbaloi dengan selamatnya kami tiba di Long Pasia. Long Pasia didiami oleh seramai lebihkurang 700 orang majoritinya etnik Lundayeh. Ia terletak dalam daerah Sipitang di Barat Pedalaman Selatan bersempadankan Sarawak dan Kalimantan, Indonesia. ‘Hilir Sungai Merah’ , itulah maksud Long Pasia dalam bahasa Lundayeh. Terdapat beberapa fasilti yang diwujudkan oleh Kerajaan di kawasan ini seperti sekolah rendah, klinik, perpustakaan desa, pusat penerangan, asrama murid-murid dan guru, tapak pendaratan helicopter, lapangan terbang kecil, Rejimen 22 Askar Melayu Diraja, Pusat Immigresen, 2 buah gereja Sidang Injil Borneo, bekalan air graviti, sistem letrik solar, padang dan balairaya. Antara aktiviti penduduk di sini ialah bercucuk tanam, menangkap ikan, memburu, pembuatan kraftangan dan tukang kayu. Aktiviti ‘homestay’ menjadi sumber pendapatan baru yang dilihat berpotensi dikembangkan.
Semua ahli rombongan kami diagihkan kepada beberapa keluarga angkat yang juga pengusaha ‘homestay’ sedia ada.

Seawal jam 7 malam, dalam suasana dingin malam, seramai lebihkurang 120 orang penduduk Long Pasia berkumpul di Padang ‘beratapkan langit, berdindingkan kepekatan malam’ untuk mengikuti Taklimat Program dan Aktiviti Kumpulan Yayasan Sabah serta tayangan wayang gambar. Aktiviti mala itu berjaya dilaksana dengan menggunakan generator. Aktiviti dimulakan dengan ucapan aluan oleh Ketua Rombongan, Zulkhairi Haji Ismail seterusnya diikuti oleh sesi soaljawab.
Selesai sahaja sesi taklimat dan tayangan audio-visual, acara malam itu diperlengkap dengan persembahan pancaragam oleh Band Cakerawala yang dibawakan khas dari Menara Tun Mustapha seramai 5 anggota yang dipimpin oleh Joanes Tinggal. Acara hiburan itu tambah meriah apabila berapa orang penduduk setempat termasuklah Ketua Kampung turut serta menyumbang lagu. Acara malam itu diakhiri dengan minum malam di rumah mantan Guru Besar SRK Long Pasia.

Keesokan harinya, hampir semua ahli rombongan bergegas ke sungai untuk mandi pagi dalam sungai yang ‘menggigilkan’ sejuknya. Kebersihan sungai dan kualiti airnya amat menarik hinggakan hidupan sungai seperti ikan dan udang hidup membiak di Sungai Padas tersebut.

Acara pagi dimulakan dengan majlis penyerahan peralatan gotong-royong seperti mesin pemotong rumput, cat dan sebagainya oleh Ketua Pentadbir YSZPS, Zulkhairi Haji Ismail kepada Ketua Kampung, Mudin Sia.
Acara gotong-royong pagi itu tertumpu kepada kerja-kerja penceriaan Gereja SIB serta kawasan persekitarannya. Aktiviti gotong-royong tersebut melibatkan semua penduduk kampung, anggota rela, aggota tentera, guru dan ahli rombongan Yayasan Sabah. Menurut Zulkhairi, acara itu direncana sebegitu rupa bagi membolehkan penduduk Long Pasia dan penduduk dari kejiranan berdekatan menjalankan rutin kerohanian mereka secara lebih selesa dalam premis yang telah dinaiktaraf hasil daripada gotongroyong tersebut. Sebahagian daripada bahan binaan diperolehi dari alam semulajadi seperti batu sungai dan pasir sungai yang sekaligus mewujudkan keunikan binaan Gereja SIB tersebut. “Ia melambangkam paduan alam semulajadi dan gerakerja manusia dalam memulihara persekitaran serta menjamin kehidupan yang berterusan”, kata Pemangku Pengerusi JKKK, Andrew Laban. Kerja-kerja mengangkut batu sungai dipermudah dengan menggunakan kenderaan pikap milik Yayasan Sabah. Menurut Mudin, Gereja SIB Long Pasia dijangka menerima ratusan pelawat dari daerah Beaufort, Kuala Penyu, Sipitang malah dari seberang sempadan iaitu Sarawak dan Kalimantan bagi merayakan Easter. “Sudah tentu pengubahsuaian ini membawa makna yang lebih besar kepada Long Pasia di masa-masa akan datang khususnya bila samb utan perayaan keagaamaan dan kerohanian serta perkumpulan sivik”, tambah Mudin Sia.

Ketika asyik bergotong-royong wujud kelibat pelancong asing yang turut mengambil gambar panorama kampung dan kegiatan gotong-royong tersebut. Zulkhairi sempat menemuramah pasangan pelancong Denmark Thomas Helbo 26, dan Lisa Buur, 22 tahun. Menurut mereka, Long Pasia adalah contoh ‘eco-tourism’ dan ‘cultural-tourism’ yang amat kaya dari segi tarikannya. Mereka amat mengagumi semangat kerjasama dan persefahaman yang wujud antara penduduk dan bantuan agensi kerajaan yang ‘realistic’ serta komited membantu rakyat. Ia jarang wujud dalam kalangan masyarakat Eropah katanya. Pasangan Denmark itu turut menyarankan agar di masa akan datang adalah lebih baik rumah-rumah yang menjadi pusat ‘homestay’ sedia ada turut memnyediakan ‘attached bathroom’ dalam setiap bilik yang disewakan.

Sementara itu, serentak dengan acara gotong-royong, pagi itu juga diadakan program motivasi pelajar di SRK Long Pasia. Program motivasi ini diisi dengan ceramah yang disampaikan oleh Pegawai Pelajaran Daerah Sipitang, Abdul Razak Haji Abdul Karim; Penyelia Unit Sektor Pengurusan sekolah, Chong Pau Min; Ketua Unit Sektor Pengurusan Sekolah, Haji Adnan Haji Othman dan ceramah oleh Zulkhairi Haji ismail sendiri. SRK Long Pasia diketuai oleh Guru Besar, Michael Opai dan 11 orang guru yang berasal dari Banting, Selangor; Labuan, Papar, kota Kinabalu di samping anak kelahiran Long Pasia sendiri. SRK Long Pasia dikategorikan sebagai SKM (sekolah kurang murid) yang hanya terdiri daripada 65 orang murid dari tahun 1 hingga tahun 6 (19 lelaki dan 20 perempuan). Daripada jumlah itu, hanya seramai 6 orang murid tahun 6 akan menduduki UPSR bagi tahun 2009. Manakala murid-murid prasekolah hanya seramai 16 orang. Di akhir program motivasi, semua murid sekolah rendah dan prasekolah tersebut dihadiahkan beg sekolah sumbangan YSZPS yang disampaikan oleh Ketua Pentadbir YSZPS, Zulkhairi Haji Ismail dan Pegawai Pelajaran Daerah Sipitang, Abdul Razak Karim.

Pada sebelah petangnya, Program Khidmat Masyrakat YSZPS diteruskan dengan Pendaftaran Terbuka danCeramah Peluang-peluang Pembelajaran di Kolej Yayasan Sabah yang dikendalikan oleh Pegawai Pemasaran Kanan Kolej, Rosland Masmud. Acara ceramah tersebut mendapat sambutan di kalangan para lepasan sekolah serta belia-beliawanis Long Pasia. Acara ceramah diadakan Pusat Penerangan Long Pasia.

Program Pemeriksaan Kesihatan dan Ceramah Kesihatan oleh Unit Ambulan dan Paramedik Yayasan Sabah berlangsung serentak di Perpustakaan yang dikendalikan oleh Pegawai Paramedik, Adman Haji Samat. Acara pemeriksaan kesihatan percuma tersebut memberi kesempatan kepada para penduduk berdekatan untuk mendapatkan status kesihatan mereka di samping memperoleh maklumat terkini mengenai isu-isu berkaitan kesihatan, penyakit dan keselamatan. Ceramah ini turut dibantu oleh Ketua Pasukan RELA Sipitang, Kolonel Hashim Abdullah dan anggotanya.

Terdahulu daripada itu, dalam ucapan perasmian program, Ketua Pentadbir YSZPS, Zulkhairi Haji Ismail menyatakan bahawa objektif utama penganjuran program seumpama itu adalah semata-mata untuk merapatkan jurang antara masyarakat pedalaman dan kerajaan di samping membuktikan bahawa semangat ‘Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan’ sentiasa menjadi agenda utama dalam melunaskan sistem penyampaian yang lebih berkesan sekaligus mempererat hubungan inter-agensi kerajaan. “Adalah menjadi komitmen setiap anggota perkhidmatan awam dan agensinya untuk menjadi agen perubahan dan pembangunan sama ada bersifat fizikal mahupun spiritual yang mencakupi pelbagai sektor tanpa mengira bangsa, keturunan, kepercayaan mahupun jarak di samping membentuk jatidiri agar tidak terpengaruh oleh propaganda anasir-anasir berniat jahat”, tambah Zulkhairi lagi. Sementara itu dalam ucapan aluannya, Pegawai Pelajaran Daerah Sipitang, Abdul Razak Haji Abdul Karim menegaskan bahawa setiap dasar dan agenda pembangunan pendidikan nasional tidak sekali-kali meminggirkan masyarakat pedalaman sebaliknya setiap anggota perkhidmatan pendidikan sentiasa memperbaharui tekad dan keazaman dalam membangunkan anak bangsa dan negeri kearah melahirkan generasi dan modal insan yang berketrampilan, berdayasaing dan menyayangi bangsanya.

Dalam kesibukan melaksana program khidmat masyarakat, kami sempat melakukan pemerhatian dan penyelidikan ringkas dan mengenalpasti beberapa permasalahan yang membelenggu masyarakat Long Pasia dan kampung berdekatan. Antara permasalahan yang menjadi rintihan mereka termasuklah bekalan air bersih dan sempurna jika musim kemarau. Paip graviti dan sungai menjadi cetek dan isipadu air yang berkurangan menyukarkan mereka mendapat bekalan air. Di samping itu hidupan sungai seperti ikan dan udang yang menjadi hidangan utama seharian berkurangan. Masalah lainnya ialah ketiadaan sistem perhubungan yang sempurna melibatkan jalan balak, ketiadaan sistem telekomunikasi atau pemancar telefon, tidak mempunyai sebarang kedai runcit, kos barangan yang tinggi, pengangguran lepasan sekolah serta ketiadaan premis balairaya atau dewan yang sempurna untuk melaksana aktiviti sosial dan kemasyarakatan.

Di samping permasalahan wujud pula beberapa faktor penarik dan kelebihan yang wujud di Long Pasia. Antara yang jelas ialah potensi jayadiri yang tinggi di kalangan penduduk untuk menyara keluarga dengan cara melakukan kerja-kerja berkaitan memanipulasi sumber semulajadi. Sikap rajin serta berfikiran positif banyak membantu mereka meneruskan kehidupan dengan cara tersendiri dan makmur. Sikap kurang kebergantungan kepada bantuan kerajaan amat kami pandang tinggi. Kami difahamkan bahawa setiap anak-anak Long Pasia yang mencari rezeki di pecan dan Bandar digalakkan menyumbang secara berkala kepada tabung kebajikan kampung Long Pasia. Selain daripada itu, sifat keramahan semulajadi yang ada dalam diri masyarakat Lundayeh memungkinkan pelawat dan pelancong rasa dihargai dan tidak kekok untuk merasai perkhidmatan ‘homestay’. Kegiatan pembuatan kraftangan seperti manik, tekstil sukuan, peralatan muzik tradisional dan cenderamata berpotensi untuk dibangunkan. Di samping itu, keunikan serta keazatan rasa beras kampung atau beras tugal dan sedikit beras Ba’ kelalan amat menggamit pelawat dan peminat beras tanah tinggi. Kalau Sarawak dikenali sebagai Beras Bario, Long Pasia juga berpotensi menghasilkan beras tanah tingginya sendiri.

Malam terakhir kami di ‘dada’ Long Pasia diisi dengan persembahan senibudaya oleh belia setempat dan pancaragam Cakerawala. Malam terakhir itu lebih meriah dengan kehadiran lebihkurang 200 orang di perkarangan padang Long Pasia. Keramahan, kerjasama, sambutan hangat, permuafakatan yang ditunjukkan oleh mereka masyarakat Long Pasia menjadikan kami lebih rasa insaf dan bersyukur serta merenung bahawa segala kemakmuran, pembangunan dan perpaduan di kalangan rakyat Sabah khususnya perlu ditatang dengan sebaiknya. Tertanam dalam jiwa kami bahawa panji-panji “Satu Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ akan dipacak dan dipertahankan sehingga ke generasi mendatang.

Malam itu peserta rombongan tidur sedikit lewat bercerita sesama sendiri menyentuh mengenai pengalaman singkat masing-masing di Long Pasia.

Keesokan paginya, setiap anak angkat bersarapan pagi bersama keluarga angkat dan selepas itu berkumpul di perkarangan padang Long Pasia memastikan kebersihan persekitaran tidak dicemari sampahsarap.

Tepat jam 10 pagi konvoi kami bergerak perlahan setelah melewati Long Mio menuju pekan Sipitang. Semua ahli rombongan terpaku syahdu meninggalkan sahabat-sahabat di Long Pasia.

Semasa singgah makan di pekan Sipitang, Ketua Rombongan, Zulkhairi mengatakan kepada kami, “Lawatan ini bukanlah pertama dan terakhir, banyak lagi akan menyusul di masa-masa mendatang”.

“Selamat Maju Jaya LONG PASIA”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan