PAPAR : Gandingan serta kerjasama pintar yang sedia wujud antara agensi atau jabatan kerajaan perlu diperkukuh melalui persefahaman, pertukaran dan perkongsian maklumat, keterbukaan serta mempertingkat inisiatif tanpa mengira insentif demi memenuhi aspirasi rakyat sesuai dengan slogan 'Satu Malaysia Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan' yang dicanangkan oleh Perdana Menteri. Demikian komitmen yang dinyatakan oleh Ketua Pentadbir, Kumpulan Yayasan Sabah, Zon Pedalaman Selatan (YSZPS), Zulkhairi Haji Ismail semasa menerima rombongan Majlis Guru Besar Daerah Papar (MGBp) yang melakukan kunjungan hormat serta lawatankerja ke Pejabat YSZPS di Beaufort baru-baru ini. Rombongan yang terdiri daripada 15 orang exco MGBp tersebut diketuai oleh Pengerusinya, Zajih Haji Edenin yang juga Guru Besar SK Kinarut.
"Adalah menjadi tekad dan matlamat YSZPS untuk sentiasa berdamping serta berganding bahu dengan pelbagai pihak khususnya organisasi/institusi kerajaan dalam merangka dan melaksana pelan pembangunan khusus untuk rakyat di pelbagai peringkat sesuai dengan halatuju Kerajaan", tambah Zulkhairi lagi. Rombongan MGBp tersebut diberi taklimat komprehensif oleh Zulkhairi mengenai peranan serta fungsi Pejabat Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan di mana merangkumi pengoperasian daerah Papar, Beaufort, Kuala Penyu, Sipitang serta daerah kecil Membakut dan Menumbok.
Sementara dalam ucapanbalas, Pengerusi MGB, Zajih Haji Edenin merakamkan penghargaan dan terimakasih daripada golongan pendidik khususnya dari daerah Papar kepada YSZPS atas segala kerjasama dan bantuan yang sekian lama dijalinkan dalam merencana dan menjayakan program-program pembangunan pelajaran yang memberi impak kepada pencapaian berterusan akademik serta sahsiah pelajar mahupun institusi persekolahan itu sendiri.
Turut serta dalam rombongan tersebut ialah Guru Besar SK Buang Sayang, Mudin Madin (Timbalan Pengerusi); Guru Besar SK Kaiduan, Sung Diana; Guru Besar SK Pekan Papar, Tajuddin Haji Hasbollah; Guru Besar SK Pekan Bongawan, Maarup Haji Kachi; Guru Besar SRK St. Joseph, Christina Kari; Guru Besar SK Padawan, Sabella; Guru Besar SK Surati, Durahman Bakar dan Guru Besar SK Limbahau, Simon Gasis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan