Selasa, 28 April 2009

Kursus fardhu Kifayah Pengurusan Jenazah Masjid Sahabat, Sipitang





Muafakat Membawa Berkat

SIPITANG : Masyarakat Islam harus dilihat sebagai sebuah 'role model' dalam pembentukan sesebuah entiti yang berteraskan muafakat, bersatupadu, dinamis, berkemampuan, makmur dan kuat. Untuk menjadi sebuah unit terpenting dalam kelompok besar sesebuah negara, masyarakat Islam harus memperbaiki diri, keluarga, jiran, komuniti serta persekitaran dengan cara mempertingkat ilmu bukan sahaja ilmu duniawi malah ampuh dengan ilmu serta amalan akhirat. Demikian ujar Wakil Rakyat Sindumin, Haji Ahmad Bujang semasa merasmikan Bengkel Fardhu Kifayah - Pengurusan Jenazah anjuran Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan di Masjid Bandar Sahabat Sindumin baru-baru ini. "Adalah menjadi tuntutan serta tanggungjawab setiap indidvidu Islam memiliki sikap 'bersiaga' dalam seluruh ruanglingkup kehidupan bermasyarakat agar kehidupan kita di dunia ini tidak menjadi sia-sia" tambahnya lagi. Beliau juga merakamkan penghargaan atas penglibatan aktif dan bermakna Kumpulan Yayasan Sabah sejak sekian lama yang bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan material dan fizikal malah aspek kerohanian serta sivik juga dititikberatkan khususnya di Pedalaman Selatan. "Program bercorak kerakyatan seumpama ini menjadikan Kumpulan Yayasan Sabah sentiasa relevan kewujudannya serta rakyat di segenap lapisan mendapat manfaat daripadanya" ujar Haji Ahmad.


Sementara itu, Ketua Pentadbir Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan dalam ucapan alu-aluannya menyeru masyarakat setempat agar mengambil segala peluang serta ikutserta dalam setiap program anjuran YSZPS yang semata-mata bertujuan melibatkan rakyat dalam arus perubahan dan pembangunan yang terancang oleh pihak pemerintah dan kerajaan. Segala peluang dan bantuan tidak akan bermakna jika masyarakat sebagai klien utama tidak merebut peluang dan berkecimpung dalam usaha-usaha murni kerajaan. 

Program sehari tersebut berjaya menarik seramai lebihkurang 150 penyertaan yang terdiri daripada penduduk setempat serta sekumpulan kecil penduduk dari Lawas, Sarawak. Pengisian program dipenuhi dengan ceramah serta gerakerja yang diketuai oleh Imam Daerah Sipitang, Haji Rafee Mohd Salleh dan Pegawai JHEAINS Sipitang, Ustazah Zaiton Ibrahim.

Antara yang turut hadir dalam program tersebut ialah Pengerusi Masjid, Haji Ariff Ismail; Pemimpin Kemajuan Rakyat Sindumin, Abdurahman Matnoh; Pegawai Tadbir Kanan YSZPS Haji Gulam Hassan Hapil, wakil Ketua Pentadbir YSZPS serta Pegawai Operasi YSZPS Sipitang, Lianard Ingging.

Sabtu, 25 April 2009

Perkukuh Kerjasama Pintar Inter-Agensi Demi Kepentingan Rakyat





PAPAR : Gandingan serta kerjasama pintar yang sedia wujud antara agensi atau jabatan kerajaan perlu diperkukuh melalui persefahaman, pertukaran dan perkongsian maklumat, keterbukaan serta mempertingkat inisiatif tanpa mengira insentif demi memenuhi aspirasi rakyat sesuai dengan slogan 'Satu Malaysia Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan' yang dicanangkan oleh Perdana Menteri. Demikian komitmen yang dinyatakan oleh Ketua Pentadbir, Kumpulan Yayasan Sabah, Zon Pedalaman Selatan (YSZPS), Zulkhairi Haji Ismail semasa menerima rombongan Majlis Guru Besar Daerah Papar (MGBp) yang melakukan kunjungan hormat serta lawatankerja ke Pejabat YSZPS di Beaufort baru-baru ini. Rombongan yang terdiri daripada 15 orang exco MGBp tersebut diketuai oleh Pengerusinya, Zajih Haji Edenin yang juga Guru Besar SK Kinarut.

"Adalah menjadi tekad dan matlamat YSZPS untuk sentiasa berdamping serta berganding bahu dengan pelbagai pihak khususnya organisasi/institusi kerajaan dalam merangka dan melaksana pelan pembangunan khusus untuk rakyat di pelbagai peringkat sesuai dengan halatuju Kerajaan", tambah Zulkhairi lagi. Rombongan MGBp tersebut diberi taklimat komprehensif oleh Zulkhairi mengenai peranan serta fungsi Pejabat Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan di mana merangkumi pengoperasian daerah Papar, Beaufort, Kuala Penyu, Sipitang serta daerah kecil Membakut dan Menumbok.

Sementara dalam ucapanbalas, Pengerusi MGB, Zajih Haji Edenin merakamkan penghargaan dan terimakasih daripada golongan pendidik khususnya dari daerah Papar kepada YSZPS atas segala kerjasama dan bantuan yang sekian lama dijalinkan dalam merencana dan menjayakan program-program pembangunan pelajaran yang memberi impak kepada pencapaian berterusan akademik serta sahsiah pelajar mahupun institusi persekolahan itu sendiri.

Turut serta dalam rombongan tersebut ialah Guru Besar SK Buang Sayang, Mudin Madin (Timbalan Pengerusi); Guru Besar SK Kaiduan, Sung Diana; Guru Besar SK Pekan Papar, Tajuddin Haji Hasbollah; Guru Besar SK Pekan Bongawan, Maarup Haji Kachi; Guru Besar SRK St. Joseph, Christina Kari; Guru Besar SK Padawan, Sabella; Guru Besar SK Surati, Durahman Bakar dan Guru Besar SK Limbahau, Simon Gasis.

Isnin, 13 April 2009

Seminar Keibubapaan SK Bangkalalak




Beaufort : Ibubapa lewat zaman yang serba mencabar seperti hari ini diingatkan agar tidak sekali-kali memperjudi masa depan anak-anak mereka dengan cara mengikuti secara membuta-tuli segala propaganda pihak yang tidak bertanggungjawab yang mengusung isu-isu pendidikan demi kepentingan politik mereka. Demikian ujar Wakil Rakyat Lumadan, Kamarlin Haji Ombi semasa menutuprasmi Program Seminar Keibubapaan anjuran Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan (YSZPS) bertempat di SK Bengkalak, Beaufort. Gesaan beliau itu merujuk kepada keresahan dan 'kegilaan' rakyat terhadap dasar perlaksanaan PPSMI ataupu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. "PPSMI umpama jamu atau ubat yang pada mulanya ditelan pahit tetapi manfaatnya lebih berpanjangan dalam ertikata lain PPSMI mampu mengubah sindrom takut berbahasa Inggeris sekaligus melonjakkan martabat serta perkembangan golongan pelajar agar menjadi golongan yang berdayasaing di persada antarabangsa", demikian tambahnya lagi. Sebagai bekas seorang pendidik, Kamarlin juga menggesa agar semua lapisan masyarakat khususnya pemimpin komuniti atau JKKK mempunyai perancangan yang sistematik dan terarah dalam usaha membangunkan modal insan setempat melalui gembelingan tenaga dan cetusan pemikiran bersama agensi-agensi Kerajaan yang berkaitan seperti Kumpulan Yayasan Sabah yang bergerak sepanjang tahun dalam membantu usaha Kerajaan Barisan Nasional memperkayasa rakyat Malaysia di Sabah.

Seramai lebihkurang 130 orang para ibubapa, warga pendidik dan wakil PIBG dari 4 buah sekolah rendah dalam zon Lumadan iaitu SK Bengkalalak, SK Bentuka, SK Padas Damit dan SK Jabang terlibat dalam seminar sehari tersebut. Antara penceramah terkenal yang terlibat mengendalikan program pengisian ialah Prof. Dr. Mornie Haji Kambrie dari Unitar Sabah dan pegawai-pegawai kanan YSZPS.

Sementara itu dalam ucapan alu-aluan beliau, Ketua Pentadbir YSZPS, Zulkhairi Haji ismail memberi penekanan bahawa dalam era penguncupan ekonomi dunia pada masa ini, Kumpulan Yayasan Sabah bersama agensi-agensi Kerajaan yang lain sentiasa tampil ke depan membantu setiap lapisan rakyat khususnya kanak-kanak luarbandar agar mendapat peluang pembelajaran serta limpahan bantuan samarata dan setara dengan rakan-rakan sebaya mereka di bandar. "Tiada sebarang sebab atau dalih yang harus timbul ekoran kemiskinan yang kononnya menghalang kanak-kanak untuk bersekolah kerana bantuan material serta wang ringgit melimpah ruah untuk golongan pelajar di pelbagai peringkat persekolahan, tepuk dada tanya selera" ujar Zulkhairi dengan nada tegas. Antara bantuan yang diagihkan Kerajaan melalui agensi dan kementerian termasuklah uniform percuma, kasut percuma, skim makanan sihat, KWAPM atau kumpulan wang amanah pelajar miskin, skim pinjaman buku teks, Skim Bantuan Khas(SBK) dari Kumpulan Yayasan Sabah, biasiswa harian dan asrama serta banyak lagi yang sudah tentunya menyelesakan golongan pelajar untuk memenuhi proses pembelajaran secara formal, tambahnya lagi.

Antara yang turut hadir dalam Seminar tersebut ialah Guru Besar SK Bangkalalak, Zainal Haji Mohammad; Guru Besar SK Bentuka, Haris Mohd Zain; Guru Besar SK Jabang, Jumat Zainal; Guru Besar SK Padas Damit, Haji Asmat Mutera; Pegawai Tadbir Kanan YSZPS, Haji Gulam Hasan; Pegawai Operasi YSZPS Beaufort, Latip Haji Taip serta warga YSZPS yang lain.

Jumaat, 10 April 2009

Lawatan Peserta Skim Pinjaman Peniaga Kecil Wanita (SPPKW) ke MARDI‏







Seramai lebihkurang 20 orang peserta Skim Pinjaman Peniaga Kecil Wanita(SPPKW) dan peniaga kecil tajaan Pejabat Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan (YSZPS)dari Kuala Penyu, Papar, Beaufort dan Sipitang telah menyertai Lawatan Sambil Belajar ke Pejabat MARDI di Kota Kinabalu. Lawatan yang diketuai oleh Pegawai Operasi Kumpulan Yayasan Sabah daerah Kuala Penyu, Ganilin Haji Hasim itu dibawa meninjau sekitar Pejabat MARDI yang bertempat di KKIP.

Dalam kunjungan tersebut, rombongan Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan diberi taklimat panjang lebar mengenai operasi, fungsi dan pelbagai bantuan serta peluang kerjasama yang boleh diberikan oleh MARDI kepada golongan peniaga kecil di seluruh negeri Sabah. MARDI juga turut menawarkan kerjasama pintar inter-agensi bagi tujuan pembangunan bidang keusahawanan. Taklimat tersebut telah disampaikan oleh Pegawai Kanan MARDI, Mat Arup Jusoh.

Turut hadir dalam program lawatan tersebut ialah Pegawai Operasi YSZPS Papar, Mohd Fairuz Hj. Mohd Yussof; Pegawai Operasi Beaufort, Latip Hj Taip; Pegawai Penyelidik YSZPS, Peter J. Peter; Pegawai Operasi Sipitang, Lianard Ingging dan warga YSZPS yang terlibat secara langsung dalam mengendalikan program sosioekonomi di Zon Pedalaman Selatan. Di akhir lawatan, para peserta rombongan dibawa melawat sekitar kawasan KKIP dan juga Kompleks Ibupejabat Kumpulan Yayasan Sabah di Teluk Likas.

Isnin, 6 April 2009

SEMINAR KEUSAHAWANAN WANITA









PEMBENTUKAN JARINGAN USAHAWANITA MAMPU LONJAK EKONOMI MASYARAKAT


PAPAR : Kelompok usahawanita khususnya yang berskala kecil dan sederhana perlu membentuk jaringan sesama sendiri agar mampu melonjakkan tahap berskala-ekonomi ke suatu peringkat yang membanggakan sekaligus membantu mengangkat martabat wanita serta keluarga menjadi sebuah entiti yang berupaya menyumbang kepada pembangunan masyarakat, negeri dan negara. Demikian tegas Ketua Pentadbir Kumpulan Yayasan Sabah, Zon Pedalaman Selatan (YSZPS), Zulkhairi Haji Ismail semasa menutuprasmi Seminar Keusahawanan Wanita anjuran YSZPS di sebuah resort di Beringgis, Papar kelmarin. Beliau juga turut menggesa semua lapisan usahawan dan peniaga kecil wanita khusus di kawasan pedalaman dan luarbandar agar bergabung dan membentuk sebuah persatuan atau kelab sebagai asas untuk memperkemas kegiatan pembangunan berunsur keusahawanan serta pemasaran. Di samping itu, perlu ada usaha lebih "Melalui kelab seumpamanya, amalan 'barter-trade' atau bertukar barang setara, pertukaran maklumat dan ilmu, membina rantaian perbekalan dan pemasaran akan lebih mudah dan teratur demi menjamin kepelbagaian aktiviti perniagaan yang akhirnya membawa hasil serta pulangan lumayan" tambahnya lagi.

Seramai lebihkurang 50 orang peserta mengikuti seminar sehari tersebut. Mereka terdiri daripada para peniaga kecil wanita tajaan YSZPS dari sekitar daerah Sipitang, Beaufort, Kuala Penyu serta Papar, ahli-ahli Puteri UMNO Papar dan usahawanita sekitar Papar. Antara pengisian program tersebut ialah ceramah serta pembentangan kertas kerja oleh Gary Ambrose, MARA Papar; Rommella Osmand, SIRIM Sabah; Aslinah Lee, MARDI Sabah dan pegawai-pegawai YSZPS sendiri.

Antara yang turut hadir dimajlis tersebut ialah Pegawai Operasi Kawasan Papar, Fairuz Haji Yussof; Pegawai Penyelidik YSZPS, Peter Jonnie Peter; Pegawai Operasi Sipitang, Lianard Ingging; Pegawai Operasi Beaufort, Latip Haji Taip; Pegawai Operasi Kuala Penyu, Ganilin Haji Hasim serta wargakerja YSZPS yang lain.