Rabu, 28 Mac 2012

SKIM PEMBANGUNAN PENIAGA KECIL WANITA

Sebahagian daripada peserta begitu tekun menyiapkan tugasan untuk dipertandingkan Zulkhairi turut memberikan motivasi kepada para peserta bengkel
Zulkhairi menyampaikan Sijil dan cenderahati kepada Nani Mohd Yassin diperhatikan oleh Fairuz & Arnie
Zulkhairi menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang jahitan

Zulkhairi Haji Ismail bergambar berkumpulan bersama sebahagian daripada peserta SPPKW


Peniaganita Harus Perlebar Jaringan Pemasaran

Papar : Seramai 30 orang peniaga dan usahawan kecil wanita dari sekitar daerah Papar telah mengikuti Bengkel Jahitan dan Pemasaran Tudung di bawah Siri Program Skim Pembangunan Peniaga Kecil Wanita (SPPKW) anjuran Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan (YSZPS) baru-baru ini. Bengkel selama 3 hari tersebut diisi dengan pengenalan teknik jahitan terkini, rekaan fesyen tudung, jaringan pemasaran dan mengenalpasti pembiayaan modal.

Dalam ucapan perasmiannya, Ketua Pentadbir YSZPS, Zulkhairi Haji Ismail menggesa semua peserta agar mencari jalan terbaik dan ekonomik dalam mengenalpasti pasaran dan klien yang sentiasa berubah-ubah dan berkembang sesuai dengan tuntutan fesyen semasa serta trend pemakaian tudung. "Tumpuan pasaran tidak seharusnya berkisar dalam kalangan pengguna seharian ataupun pelanggan awam malah tuntutan pemakaian tudung dalam sektor persekolahan, uniform anggota penguatkuasa dan keselamatan, badan-badan korporat, ahli-ahli premis ibadat dan sektor sukan juga perlu diterokai kerana pasarannya yang bersifat tetap dan berterusan permintaannya', tambah Zulkhairi lagi. Beliau juga menyeru para peserta agar membentuk jaringan usahawan sesama mereka demi mewujudkan skala ekonomi yang mantap.

Bengkel tiga hari itu dikendalikan oleh pakar jahitan tudung dan tekstil dari Kuala Lumpur, Arnie Abdul Hamid, pemilik butik tempatan Nani Mohamad Yasin dan Siti Jaiyana Asmah.

Turut hadir di majlis itu Pegawai Operasi YSZPS Papar, Mohd Fairuz Haji Mohd Yussof, Pegawai Latihan YSZPS, Haidy Haji Othman, Pegawai Penyelidik YSZPS, Peter Jonnie Peter dan Pegawai SPPKW Mardiana Yassin.

Rabu, 7 Mac 2012

PENYERAHAN SET KOMPUTER - SUI KAMPUNG KUALA PAPAR

Zulkhairi menyampaikan sumbangan set komputer kepadakepada Guru Besar SAN Kampung Kuala, Papar, Ustaz Mat Husain Botok


Sekolah Agama Harus Setanding Dengan Sekolah Kebangsaan - Zulkhairi

PAPAR - Sekolah aliran agama harus memartabaatkan kemudahan, imej serta pencapaian mereka setaraf dengan sekolah kebangsaan seiring dengan tuntutan semasa yang menjurus kepada pendidikan pelbagai bidang di negara ini. Demikian kata Ketua Pentadbir Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan. Zulkhairi Haji Ismail semasa menyerahkan sebuah set komputer kepada Guru Besar Sekolah Agama Islam Negeri Sabah (SAN) Kampung Kuala, Papar, Ustaz Mat Husain Botok baru-baru ini.

" Pihak PIBG dan warga pendidik di SAN harus mempertingkat kerjasama dalam merancang, menyedia dan menghasilkan suasana pendidikan kondusif di setiap institusi mereka. Kemaajuan ICT yang begitu pantas harus dimanfaatkan seoptimum boleh agar segala ilmu, pengajaran serta tadbirurus sekolah memberi manfaat menyeluruh kepada warga sekolah mahupun masyarakat setempat', tambahnya lagi. Turut hadir menyaksikan penyerahan sumbangan YSZPS itu ialah Naib Pengerusi PIBG SAN Kuala, Samsul Angun dan Pegawai Operasi YSZPS Papar, Mohd Fairuz Haji Yussof.

Sementara itu, Ustaz Husain merakamkan penghargaan warga SAN Kuala kepada Zulkhairi dan YSZPS atas sumbangan yang tidak putus-putus kepada sekolah termasuklah penganjuran program pembangunan akademik dan sahsiah pelajar. Beliau juga menyeru pelbagai pihak agar sama-sama mencambah fikiran dan turut menyumbang kepada pembangunan sekolah demi menjamin pembentukan sebuah masyarakat yang syumul dan berketrampuilan dalam pelbagai peringkat.