Isnin, 4 Januari 2010

PENYAMPAIAN SURAT TAWARAN MENGIKUTI PROGRAM PENDIDIKAN MENENGAH DI SEMENANJUNG MALAYSIA


Kejutan!

Hadiah Tahun Baru...! Zulkhairi menyampaikan Surat Tawaran Pendidikan kepada Nurlyana sambil diperhatikan oleh Abidin dan Chok Yee Ting (tengah), Nining Yahya, Zaidi dan Fairuz.

Harapan Keluarga....! Adik Nurlyana menunjukkan Surat Tawaran Kemasukan ke Tahun Satu di Perlis yang disampaikan oleh Zulkhairi sambil diperhati oleh Abidin, Chok Yee Ting, Nining Yahya, Fairuz, Zaidi dan ahli keluarganya yang lain

Ahli keluarga adik Nurlyana

Bergambar kenangan bersama keluarga adik Nurlyana


Kesempitan Hidup Bukan Halangan Untuk Cemerlang

PAPAR: Kesempitan hidup Nurlyana Chok Yee Ting dari Kg. Kelatuan, Papar bukannya halangan baginya untuk mencapai kejayaan dalam pelajaran. Bapanya Chok Yee Ting tidak boleh melakukan kerja berat kerana menghidapi barah paru-paru dan mereka bergantung harap semata-mata kepada hasil menoreh getah neneknya serta jualan kuih-muih ibunya. Ini terbukti dengan kejayaan Adik Nurlyana mendapat 5A dalam UPSR 2009 dan sekaligus menjadi murid cemerlang sekolahnya Sk Kelatuan yang terletak lebihkurang 15km dari pekan Papar. Nurlyana juga berjaya menjadi murid contoh di sekolahnya kerana di samping berjaya dalam akademik, beliau juga aktif dalam kegiatan kokurikulum dan menjadi salah seorang pelajar cemerlang peringkat daerah Papar.


Kejayaan Nurlyana dalam UPSR juga sekaligus membolehkan beliau berjaya dipilih sebagai salah seorang peserta Program Penghantaran Pelajar Menengah Yayasan Sabah bagi kemasukan 2010.


Kelmarin Nurlyana dan keluarganya dikejutkan dengan kehadiran rombongan Ketua Pentadbir Yayasan Sabah, Zon Pedalaman Selatan (YSZPS), Zulkhairi Haji Ismail ke rumah mereka untuk menyerahkan Surat Tawaran dari Yayasan Sabah dan Kementerian Pelajaran untuk meneruskan pengajian Tingkatan Satu di salah sebuah sekolah elit di Utara Semenanjung Malaysia iaitu Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra di Kangar, Perlis.


Menurut Zulkhairi, program YS yang berjalan sejak sekian lama itu telah berjaya melahirkan insan yang berjaya dalam pendidikan masing-masing dan menjawat jawatan tertinggi dalam pelbagai bidang sama ada dalam sektor awam mahupun swasta. Program seumpamanya juga berjaya memupuk integrasi nasional sekaligus amat relevan dengan konsep 1 Malaysia. Antara pelajar awal yang telah berjaya hasil program itu ialah Datuk Dr Yaakub Haji Johari, Ketua Eksekutif SEDIA yang juga merupakan anak jati Papar.


Sementara itu Pegawai Pelajaran Daerah Papar, Abidin Marjan yang turut serta dalam kunjungan tersebut menyatakan bahawa pencapaian UPSR 2009 bagi seluruh daerah Papar berjaya menunjukkan peningkatan dari segi kualiti kelulusan subjek. Ini adalah berkat program gerakgempur yang berterusan hasil daripada kerjasama total pelbagai pihak seperti Kumpulan Yayasan Sabah yang mendasari program-program motivasi, perkhemahan dan teknik menghadapi peperiksaan kepada pelajar serta ibubapa. Mulai tahun 2010, Abidin yakin dan percaya bahawa prestasi pencapaian peperiksaan di semua peringkat akan lebih baik dengan pengenalan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang menyentuh bidang pendidikan secara langsung di samping beberapa gerakerja seperti Bai'ah Guru-guru Besar dan Pengetua, program-program nilaitambah yang lain serta pemantauan berterusan pihaknya.


Turut serta dalam kunjungan itu ialah Guru Besar Sk Kelatuan, Nining Yahya Haji Wahid; Pegawai Operasi YS Papar, Mohd Fairuz B Hj Mohd Yussof; Ketua Unit Kaunseling PPD Papar, Pengiran Zaidi Pengiran Fauzi dan Pegawai Latihan YSZPS, Haidy Haji Othman.


Dalam kunjungan itu, Abidin turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada Nurlyana bagi meringankan persediaan beliau ke Perlis nanti.