Selasa, 15 September 2009

KPSB DAN YSZPS GABUNG TENAGA ANJUR CSR







KPSB Dan YS Raikan Masyarakat Kimanis.

 

PAPAR: Seramai lebihkurang 250 orang penduduk sekitar Kg Brunei Kimanis diceriakan dalam Majlis Berbuka Puasa anjuran Kimanis Power Sdn Bhd (KPSB) dan Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan (YSZPS) di Masjid Imam Abdullah di Kg Brunei Kimanis semalam. Dalam majlis itu seramai 100 orang warga emas, anak yatim, ibu tunggal dan orang kurang upaya menerima sumbangan duit raya dan wang zakat yang disampaikan oleh Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif KPSB, M. Ali Hashim Mohammed.


Semasa menyampaikan ucapannya, M. Ali menyatakan bahawa KPSB merupakan sebuah syarikat usahasama Petronas dan Kumpulan Yayasan Sabah yang dalam rangka pembangunan sebuah pembekal tenaga yang diperbaharui berpusat di Kimanis sendiri. "Sebagai sebuah syarikat milik Petronas dan Yayasan Sabah, adalah menjadi harapan kami agar dalam tempoh berterusan semua masyarakat sekitar Kimanis dan kawasan berdekatan akan mendapat manfaat daripada pelbagai program CSR ataupun tanggungjawab sosial korporat syarikat yang sedang direncana dan bakal dilaksana secara berkala", tambah M. Ali.


Dalam ucapan aluannya, Pengerusi JKKK Kg Brunei, Haji Wahab Ajak menyatakan rasa kesyukuran dan keceriaan mewakili masyarakat kampung atas kehadiran seramai 30 orang ahli rombongan KPSB dan YSZPS sekaligus menyumbang kepada golongan memerlukan sempena sambutan Syawal yang bakal menjelang. "Mewakili penduduk Kg Brunei, kami merasa terharu atas kehadiran dan penganjuran program yang julung kalinya diadakan di kampung ini oleh syarikat utama negara dan negeri yang membuktikan wujudnya pembangunan seimbang antara fizikal dan sosial yang melimpahi penduduk setempat", kata Haji Wahab lagi.


Sementara itu semasa diwawancara Ketua Pentadbir YSZPS, Zulkhairi Haji Ismail memberitahu wartawan bahawa pada masa-masa akan datang di samping program-program sedia ada, YSZPS dan KPSB akan melaksana pelbagai program CSR berbentuk nilaitambah meliputi pendidikan, pembangunan komuniti, pembangunan kerjaya, pusat sumber, sukaneka, gotong-royong, keusahawanan mengikut keperluan semasa dan sudah tentunya akan melibatkan wakil-wakil rakyat dan pemimpin tempatan. "Penglibatan secara menyeluruh dalam penganjuran program seumpamanya kelak diharap mampu mewujudkan sebuah kerjasama dan persefahaman mantap sekaligus membawa kesan berganda kepada usaha peningkatan pembangunan komuniti setempat"ujar Zulkhairi.


Dalam majlis itu juga YSZPS menyampaikan peralatan masjid kepada pengurusan masjid manakala KPSB menyumbang kepada tabung masjid. Sebuah ceramah bertajuk 'Keistimewaan Ramadhan' turut disampaikan oleh Ustaz Khairuddin Yusupalla dalam program itu.


Antara yang turut hadir dalam program itu Ketua Perkhidmatan Sosial KPSB, Jainudin Haji Jabidin; Penasihat Undang-undang KPSB,  Asnol Affendi; Pengurus Kanan Projek KPSB, Anuar Sahat; Pegawai Tadbir Kanan YSZPS, Gulam Hassan Hapil; Pegawai Operasi YSZPS Papar, Mohd Fairuz B Hj Mohd Yussof; Ketua Unit Penyelidikan, Peter Jonnie Peter; Penyelia Pendidikan Daerah Papar merangkap Naib Ketua Pemuda Papar, Rosli Ibrahim; Imam Masjid, Haji Abdullah Daud dan warga YSZPS/KPSB yang lain.


Rombongan YSZPS/KPSB bersama masyarakat Kg Brunei sehinggalah tamat solat sunat tarawih.

Ahad, 13 September 2009

PENYERAHAN SUMBANGAN KEPADA MASJID KAMPUNG PENGALAT BESAR


Untuk Keselesaan Beribadat

PAPAR: Ketua Pentadbir Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan, Zulkhairi Haji Ismail menyerahkan sebahagian daripada sumbangan peralatan masjid dan dana kepada Pengerusi Masjid Kg Pengalat Besar, Haji Jailani Raisin sempena Majlis Khatam Quran di masjid itu semalam. Acara ini merupakan sebahagian daripada Program Ziarah Ramadhan yang menjadi tradisi YSZPS setiap tahun sepanjang bulan puasa. 

Turut kelihatan dalam gambar ialah Pegawai Operasi YS Papar, Mohd Fairuz Bin Hj Mohd Yussof (kanan sekali), Pegawai Operasi YS Kuala Penyu, Ganilin Hasim (dua dari kanan) dan Pudin Ibrahim.


Jumaat, 11 September 2009

PENYAMPAIAN SUMBANGAN SEJADAH UNTUK SURAU SMAI PANTAI MANIS PAPAR‏


Sumbangan Berterusan

Pejabat Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan baru-baru ini talah menyumbangkan permaidani untuk kepada Sekolah Menengah Agama Islam Pantai Manis, Papar untuk kegunaan para pelajar di surau sekolah tersebut. Menurut Pengetua, Ustaz Hamdani Omar, sumbangan yang sedemikian rupa sekaligus menzahirkan peranan Yayasan Sabah yang merangkumi bukan sahaja menokoktambah program pendidikan dalam akademik tapi juga pembangunan sektor pendidikan agama. Beliau menerima sumbangan itu daripada wakil YSZPS selaku Pegawai Operasi YSZPS Papar, Mohd Fairuz Haji Mohd Yussof di pejabatnya di Pantai Manis. Turut hadir dalam majlis ringkas itu Pegawai Operasi YS Kuala Penyu, Ganilin Haji Hasim dan Pegawai Pelajaran dan Latihan, Haidy Haji Othman.


Khamis, 10 September 2009

ZIARAH RAMADHAN BULAN KEBESARAN‏




Tiada Penindasan Agama Dalam Ajaran Islam – Gulam


Papar : Sebagai sebuah agama yang syumul dan 'universal' sifatnya, agama Islam melarang sama sekali umatnya untuk menghina apalagi menindas agama lain serta penganutnya sekaligus adalah menjadi teras sesebuah negara Islam untuk memelihara kebebasan beragama dan beribadat. Demikian kata Wakil Rakyat Kawang, Datuk Haji Gulam Haidar Khan Bahadar semasa meraikan jemaah Surau Kampung Santing, Pengalat Besar kemarin. Majlis yang dianjurkan bersama oleh Pejabat Wakil Rakyat Kawang dan Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan (YSZPS) itu dihadiri seramai 120 orang penduduk sekitar.


"Sebagai sebuah negara majmuk dan berbilang budaya, Malaysia apalagi Sabah yang mempunyai lebih daripada 35 etnik menuntut agar setiap anggota masyarakat menghormati penganut agama lain serta menghormati peruntukan-peruntukan Perlembagaan Negara demi menjamin kemakmuran, kestabilan, kecemerlangan dan keutuhan negarabangsa. Sambutan perayaan keagamaan seperti rumah terbuka, pesta etnik, kunjung-mengunjungi mahupun pertukaran hadiah serta makanan yang berlaku sepanjang tahun menggambarkan bahawa rakyat negara ini menolak perpecahan dan permusuhan sesama etnik",tegasnya lagi.


Dalam majlis itu Gulam yang juga Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan turut menyampaikan sumbangan peralatan surau daripada Yayasan Sabah untuk kegunaan surau tersebut.


Turut hadir dalam majlis tersebut Ketua Pentadbir YSZPS, Zulkhairi Haji Ismail; Pengerusi Surau, Ustaz Haji Sotimin Sarun; Pegawai Operasi YS Papar, Mohd Fairuz B Hj Mohd Yussof; Pegawai Operasi YS Kuala Penyu, Ganilin Haji Hasyim; ahli-ahli jawatankuasa surau, ahli-ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Papar dan penduduk setempat.


Sejurus solat Maghrib berjemaah, rombongan Gulam beredar ke Masjid Kg. Pengalat Besar untuk solat Isyak dan Tarawih berjemaah bersama penduduk.

MAJLIS BERBUKA PUASA DI SURAU KAMPUNG SIAK, BINTUKA, BEAUFORT






YSZPS Tumpu Ceruk Kampung Ziarah Komuniti Sempena Ramadhan

Lumadan : Pejabat Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan terus perhebatkan memperkukuh ukhuwah dan menyemai perpaduan melalui ziarah Ramadhan. YSZPS seperti kebiasaannya menumpukan ziarah ke ceruk-ceruk kampung dan penempatan khususnya kawasan pedalaman. Baru-baru ini YSZPS meraikan masyarakat Kg Siak, Bentuka, Lumadan dalam Majlis Berbuka Puasa di masjid kampung tersebut. 


Majlis itu menjadi bertambah bermakna dengan kehadiran Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Haji Sapawi Haji Ahmad dan Wakil Rakyat Lumadan, Kamarlin Haji Ombi. Dalam majlis itu Sapawi turut menyampaikan sumbangan YSZPS yang berupa bahan bacaan dan keperluan masjid kepada pengerusi masjid. Beliau juga turut menyampaikan sebuah kerusi roda kepada seorang wanita kurang upaya. 


Turut hadir di majlis itu Pegawai Tadbir Kanan YSZPS, Haji Gulam Hapil; Pegawai Operasi YS Beaufort, Latip Haji Taip; Ketua Unit Penyelidikan YSZPS, Peter Jonnie Peter; Pegawai Operasi YS Sipitang, Lianard Ingging serta kakitangan sokongan YS yang lain.

Rabu, 9 September 2009

MAJLIS PENUTUPAN MINGGU SUAIKENAL ADYS SIPITANG 2009‏





Jadikan Tokoh-Tokoh Terbilang Sebagai Idola Untuk Capai Kecemerlangan

SIPITANG:  Seramai 40 orang pelajar Asrama Yayasan Sabah Sipitang (AYSS) telah  menerima wang saku masing-masing daripada Ketua Pentadbir Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan, Zulkhairi Haji Ismail dalam sebuah majlis ringkas sempena Penutupan Minggu Suaikenal Pelajar Asrama 2009 bertempat di AYS Sipitang baru-baru ini.

 

Semasa berucap dalam majlis sama, Zulkhairi menyeru semua penghuni AYSS supaya mempertingkat keazaman dan usaha dalam pembelajaran sehari-hari seterusnya menjauhi sama sekali perlakuan tidak berdisiplin agar tidak mencemar nama baik Yayasan Sabah sebagai penaja mereka. "Tiada gunanya kita diberi kemudahan sebaliknya tidak menghargai sama sekali kebaikan yang diperolehi melaluinya. Rasa berterimakasih harus ditanamkan dalam diri setiap pelajar dan ia hanya boleh dibalas dengan pencapaian cemerlang dalam pelajaran sehingga berjaya menjadi insan kamil dan berguna kepada bangsa, negara dan agama. Pelajar juga harus menjadikan tokoh-tokoh dunia dan tempatan yang mencapai kegemilangan sebagai idola mereka dalam mencapai kejayaan yang diimpikan", tegas Zulkhairi lagi.

 

Sepanjang Minggu Suaikenal sebelumnya, semua penghuni AYSS telah dilibatkan dalam pelbagai aktiviti termasuklah aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong membersih rumah OKU, kampung berdekatan, lawatan sambil belajar ke Kota Kinabalu termasuklah Ibu Pejabat Yayasan Sabah, Muzium, Kampus UMS dan beberapa tempat menarik di bandaraya. Di samping itu mereke juga dicungkil dengan pelbagai kreativiti dalam malam senibudaya yang dipersembahkan dalam kalangan sesama mereka dan warga YSZPS.

 

Turut hadir di majlis tersebut Pegawai Tadbir Kanan YSZPS, Haji Gulam Hassan Hapil; Pegawai Operasi YS Sipitang, Lianard Ingging; Penyelia AYSS, Aliman Sani Pg Bujang; Ketua Unit Penyelidikan YSZPS, Peter Jonnie Peter; Pegawai Latihan YSZPS, Haidy Haji Othman dan warga YSZPS yang lain.

PROGRAM ZIARAH RAMADHAN SURAU KAMPUNG LUAGAN, SIPITANG








Sapawi Ajak Rakyat Garap Kesatuan Minda Melalui Premis Ibadat

 

SIPITANG: Setiap lapisan masyarakat khususnya umat Islam diseru agar mengoptimumkan fungsi masjid dan surau sebagai 'one-stop centre' dalam merangka pelbagai kegiatan berunsurkan pembangunan sahsiah, ummah mahupun negara.

 

"Premis ibadat seperti masjid dan surau bukan hanya tempat lepak golongan warga emas tetapi ia merupakan ruang yang terbaik serta mulia jika golongan muda dan belia turut aktif menyumbang idea serta tenaga ke arah perencanaan demi mencapai kecemerlangan di dunia mahupun di akhirat", tegas Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Haji Ahmad lagi.

 

"Permuafakatan dan kerinduan untuk memenuhi masjid/surau dalam bulan Ramadhan harus dikekalkan sepanjang masa kerana ia menjadi simbol kekuatan ummah itu sendiri" tambahnya.

 

Sapawi berkata demikian dalam Majlis Berbuka Puasa di Surau Kampung Luagan, Sipitang anjuran Pejabat Yayasan Sabah, Zon Pedalaman Selatan (YSZPS). Sempena majlis itu juga, Sapawi turut menyampaikan peralatan siaraya dan alat bantu mengajar sumbangan YSZPS kepada Pengerusi Masjid, Mustapha Haji Mamit. Beliau juga memberi jaminan bahawa surau baru akan dibina segera  di tapak berdekatan  dari surau sedia ada.

 

Turut hadir dalam majlis tersebut Ketua Pentadbir YSZPS, Zulkhairi Haji Ismail; Ketua Pemuda UMNO Sipitang, Hafeez Yamani Datuk Musa; Pegawai Kanan YSZPS, Haji Gulam Hapil; Pengerusi JKKK Luagan, Haji Jais Zam-zam, Imam Kariah, Diman Haji Johan; Pegawai Operasi Daerah Sipitang, Lianard Ingging serta warga YSZPS dan penduduk kampung Luagan.

Selasa, 8 September 2009

PROGRAM ZIARAH RAMADHAN KAMPUNG MANGGIS KUALA PENYU




Pemahaman Silang Budaya Menguntungkan Rakyat


KUALA PENYU: "Kefahaman konsep silang budaya serta amalan turun temurun nilai-nilai murni dan kasih sayang di kalangan multi-etnik di Sabah berjaya menzahirkan sebuah masyarakat yang hampir sempurna dari aspek perpaduan dan kekuatan politiknya", ujar Wakil Rakyat N26 Kuala Penyu, John Teo Mau Sing semasa berucap dalam Majlis Berbuka Puasa anjuran Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan (YSZPS) di Surau Kg. Manggis Kuala Penyu.


"Oleh itu amatlah penting dan menjadi tanggungjawab kita bersama menjunjung serta mempertahankan kemakmuran sedia ada untuk kepentingan semua dan generasi akan datang, amalan ziarah dan memperkukuh ukhuwah seperti yang dianjurkan oleh setiap agama perlu diteruskan tanpa mengira musim", tambahna lagi.


Seramai lebih 200 orang termasuk warga Kumpulan Yayasan Sabah hadir di majlis tersebut. John Teo juga turut menyampaikan sumbangan tikar permaidani daripada YSZPS kepada Pengerusi Surau, Harris Puasa. Beliau juga sempat meninjau sekitar kampung dan mengenalpasti keperluan penduduk setempat.


Turut hadir dalam majlis itu Ketua Pentadbir YSZPS, Zulkhairi Haji Ismail; Pegawai Kanan YSZPS, Haji Gulam Hapil; Pegawai Operasi Kuala Penyu, Ganiin Haji Hasim; Ketua Unit Penyelidikan YSZPS, Peter Jonnie Peter; Ketua Kampung Manggis, Haji Mohammad Kassim dan Imam Kariah, Ramli Juhdi.

 

Jumaat, 4 September 2009

PROGRAM ZIARAH RAMADHAN








Amalan Ziarah Ramadhan Kunci Persaudaraan Berterusan

KUALA PENYU: Sudah menjadi tradisi agensi utama Kerajaan Negeri seperti Kumpulan Yayasan Sabah saban tahun menggerakkan beberapa program kemasyarakatan semata-mata atas kewajiban sosial (CSR) di seluruh pelusuk negeri Sabah melalui Pejabat-pejabat Kumpulan di setiap zon. Kelmarin seramai 18 orang warga Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan (YSZPS) yang turut disertai beberapa ahli NGO telah melakukan ziarah ke Kampung Mansud dan Kampung Gimbad di daerah Kuala Penyu. Program yang bermula seawal jam 3 petang diketuai oleh Ketua Pentadbir YSZPS, Zulkhairi Haji Ismail. Program 5 dalam 1 itu meliputi ziarah, penyampaian bantuan, pengutipan data, program berbuka puasa dan tarawih serta bersama pemimpin.

Rombongan YSZPS bermula dengan ziarah ke rumah warga emas Pahat Juan di Kg Mansud. Pahat 66 tahun merupakan bekas staf Yayasan Sabah yang mengalami ketidakupayaan anggota serta tidak mampu berjalan. Beliau merakamkan rasa kesyukuran atas kunjungan rombongan yang kebetulan diketuai oleh rakan sekerjanya dalam satu Bahagian yang sama. Di kesempatan itu, Zulkhairi turut menyampaikan sumbangan berupa barangan makanan dan duit raya. Pahat yang tinggal sebatang kara kebiasaannya dijenguk dan dibantu oleh anak-anak saudaranya yang tinggal berdekatan.
 
Sejurus selepas itu, rombongan ziarah singgah ke rumah Makcik Pisah Mokti di Kg Gimbad. Pisah 85 tahun menghidap sakit kaki sejak sekian lama dan memerlukan kerusi roda untuk bergerak. Bingkas hasil kajian awal, YSZPS menyumbangkan sebuah kerusi roda dalam pada hari itu. Suasana di rumah Makcik Pisah agak sayu atas kunjungan dan 'hadiah raya' yang sekian lama diharapkan.

Sewaktu diwawancara, Zulkhairi menyatakan perlaksanaan program yang bercorak nilai tambah seumpamanya amat sinonim dengan falsafah Kumpulan yang didasari keperihatinan dan berjiwa rakyat, malah ia seiring dengan gagasan 1 Malaysia yang mensasarkan keperluan rakyat terbanyak didahulukan sekaligus pencapaian sesebuah institusi atau organisasi itu dapat dinilai oleh rakyat sendiri. "Program seumpamanya juga diharap memberi ruang dan peluang kepada rakyat jelata untuk bersama dengan agensi kerajaan dan paling utama setiap pemimpin yang turut hadir dapat merasai suara dan nadi rakyat secara terus untuk diberi perhatian", tambah Zulkhairi lagi.

Di hari yang sama juga, Zulkhairi turut menyerahkan secara simbolik sebuah perigi serbaguna untuk kegunaan penduduk sekitar Kg Gimbad. Perigi yang dilengkapi dengan sebuah ruang mand dan bilik air merupakan salah satu sumbangan Kumpulan Yayasan Sabah khusus untuk penduduk luarbandar yang menantikan pembangunan.

Di akhir program, rombongan ini disertai oleh Wakil Rakyat N26 Kuala Penyu, John Teo Mau Seng. John semasa menyampaikan ucapannya memuji Kumpulan Yayasan Sabah yang sentiasa mendahului kepentingan rakyat dengan penganjuran pelbagai program yang amat berkesan dan dapat dirasai sendiri oleh rakyat khususnya di kawasan pedalaman. "Kehadiran warga Yayasan Sabah yang bertenaga dan membawa sekali bersama mereka sumbangan dan harapan penduduk luarbandar mebuktikan bahawa kepelbagaian etnik serta kepercayaan di Sabah ini bukanlah penghalang untuk kita berganding tangan mendepani hari-hari mendatang. Kepimpinan kerajaan BN Sabah sudah tentu berusaha setiap masa untuk membawa pembangunan yang seimbang demi kesejahteraan rakyat", ujarnya bersemangat.

Semasa menunggu iftar, John Teo turut menyampaikan sumbangan YSZPS yang berupa barangan dapur kepada beberapa orang mualaf di perkarangan Masjid Kg Gimbad. Beliau juga turut berbuka menjamu juadah bersama masyarakat Islam yang diraikan oleh YSZPS.

Turut hadir dalam rombongan dan program itu Pegawai Tadbir Kanan YSZPS, Haji Gulam Hapi; Pegawai Operasi Kuala Penyu, Ganilin Haji Hasyim; Ketua Unit Penyelidikan/ICT YSZPS, Peter Jonnie Peter; Pengerusi JKKK, Jifnih Ajang; Ketua Kampung, Haji Moin Atar; Pengerusi Komuniti Bestari Kg Mansud, Rahman Ali serta warga YSZPS.



Selasa, 1 September 2009

MAJLIS BERBUKA PUASA & PENYAMPAIAN ZAKAT DI SURAU AN-NUR KAMPUNG LAUT PAPAR‏






Kemakmuran Malaysia Jadi Kayu Pengukur Keamanan Global - Rahim

PAPAR: Kemakmuran Malaysia yang sekian lama dipupuk oleh segenap lapisan rakyat dan pemimpin yang silih berganti menjadi kayu pengukur yang tiada tolok bandingnya oleh kebanyakan negara di dunia khususnya negara ketiga dan sedang membangun. Oleh itu sebagai rakyat bertanggungjawab setiap anggota masyarakat perlu memelihara dan mempertahankan keadaan ini dan diperturunkan kepada generasi rakyat Malaysia di masa akan datang. Demikian kata Wakil Rakyat Pantai Manis, Datuk Rahim Ismail semasa menghadiri Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Zakat Fitrah anjuran Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan (YSZPS) di Surau An-Bur Kampung Laut semalam. "Mengisi dan mempertahan kemerdekaan negara pada masa ini dan akan datang bukannya tanggungjawab mudah dan terletak semata-mata di bahu pemerintah tetapi juga menjadi amanah kita semua. Amalan dan kewajiban bermasyarakat dan beribadat dalam bulan Ramadhan perlu diteruskan sepanjang masa, jangan sampai kita berputih mata jika asyik bertelagah kedaulatan negara akan runtuh sepertimana negara-negara yang dicerobohi di mana untuk beribadat di bulan Ramadhan serta berkumpul di masjid, nyawa menjadi pertaruhan", tambahnya Rahim dengan tawaduknya.

Sempena majlis itu juga, Rahim yang juga Ketua Umno Bahagian Papar turut menyampaikan sumbangan dana oleh YSZPS kepada Surau An-Nur. Seramai lebih 60 orang fakir, warga emas, ibu tunggal, OKU dan anak yatim turut menerima wang zakat fitrah dalam majlis tersebut. Turut hadir Pegawai Daerah Papar, Iman Ali; Ketua Pentadbir YSZPS, Zulkhairi Haji Ismail; Pengerusi JKKK, Hamdan Haji Matarip; Ketua Kampung, Haji Matasan Awang Lampoh; Pegawai Kanan YSZPS Haji Gulam Hapil; Pegawai Operasi YSZPS Papar, Mohd Fairuz Bin Haji Mohd Yussof; Pegawai Pembangunan Masyarakat Pantai Manis, Haji Awang Tuah serta warga YSZPS dan penduduk setempat. Rombongan YSZPS juga turut menunaikan solat Isyak dan Tarawikh berjemaah bersama ahli kariah Kampung Laut.