Sabtu, 29 Ogos 2009

MAJLIS BERBUKA PUASA ANJURAN UMNO ZON 3




Musa Ajak Pemimpin Parti UMNO Dan BN Turun Padang Dekati Rakyat

BEAUFORT: Semua pemimpin Barian Nasional (BN) perlu turun padang bagi mendekati rakyat meskipun bukan di dalam bulan Ramadan. Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman berkata, mereka perlu mengubah tingkah laku kurang disenangi menyebabkan rakyat beralih memilih parti pembangkang menjelang pilihnarya akan datang.


Katanya, para pemimpin perlu ikhlas berjuang membela nasib rakyat bagi memastikan pembangunan secara berterusan dapat disalurkan. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Berbuka Puasa Umno Zon 3 membabitkan Umno bahagian Beaufort, Sipitang,Kimanis dan Papar di Masjid Jamek Kampung Kebatu dekat sini petang kemarin.  

Hadir sama di Majlis Tersebut Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Salleh Tun Said, Ketua Umno Bahagian beaufort Dauk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin Ketua Umno bahagian Sipitang Datuk Sapawi Haji Ahmad dan Ketua Umno bahagian Kimanis Datuk Anifah Haji Aman. 

Menurut Musa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah pemimpin perlu mengikis sifat angkuh jika ingin terus berkhidmat di kawasan sekali gus berusaha memperkasakan Umno dan Barisan Nasional (BN) di negeri ini. “ Jangan menunggu musim demam pilihan raya baru mendampingi rakyat menyebabkan parti ditolak masyarakat di sesuatu kawasan berkenaan. Sokongan rakyat begitu diperlukan bagi memastikan BN terus memerintah bagi membawa lebih pembangunan yang diperlukan di negeri ini” katanya.

Terdahulu ketika berucap di majlis yang sama Lajim berkata pendekatan berbuka puasa yang diamalkan Umno Sabah merupakan pendekatan terbaik demi mengwujudkan semangat setia kawan dalam kalangan ahli Umno serta Barisan Nasional (BN). Katanya, cara ini memudahkan para pemimpin berjumpa dengan rakyat disamping merealisasikan konsep satu Malaysia yang diihlamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Perdana Menteri memberikan Sabah merupakan antara contoh terbaik dalam merealisasikan konsep Satu Malaysia, justeru kita perlu bukan sahaja menjadi ikon namun dari masa ke semasa perlu terus mempertahankan perpaduan agar pelbagai program pembangunan untuk kepentingan rakyat Sabah mudah dilaksanakan” katanya.

Di majlis tersebut selain berbuka puasa bersama Rakyat Musa yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno turut menyampaikan sumbangan zakat fitrah kepada anak-anak yatim, fakir miskin, saudara baru dan menyampaikan sumbangan kewangan dari Yayasan Sabah untuk tabung Masjid Jamek Kampung Kebatu.


Selasa, 25 Ogos 2009

MAJLIS BERBUKA PUASA MASJID KG PALAKAT, SIPITANG‏





Bulan Ramadhan Bulan Penyatuan
SIPITANG: Ahli Dewan Undangan Negeri Sindumin, Haji Ahmad Haji Bujang menyatakan bahawa setiap lapisan masyarakat khususnya masyarakat Islam memartabatkan Ramadhan sebagai bulan penyatuan yang menjadi asas kepada kasih sayang, perpaduan, ikatan ukhuwah, kesatuan fikrah sekaligus mampu menamatkan pergeseran mahupun sengketa akibat perbedaan pendapat terhadap sesuatu isu mahupun parti. Beliau bercakap demikian sempena Majlis Berbuka Puasa dan Solat Tarawih anjuran Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan (YSZPS) di Masjid Kg Pelakat, Sipitang. "Elemen-elemen tawaduk, sabar, berbuat baik dan berjemaah setiap hari sudah tentu akan mencetus suatu gagasan umat untuk lebih maju di samping bermuhasabah diri, keluarga serta kelompok", tambahnya lagi. Beliau juga menyeru semua ahli jawatankuasa pengurusan masjid agar mempertingkat kemahiran urustadbir masjid dan surau agar mengurangkan kebergantungan terhadap kerajaan semata-mata.

Majlis yang dihadiri lebihkurang 250 jemaah itu turut menyaksikan penyerahan peralatan keperluan masjid sumbangan YSZPS bagi memenuhi keperluan ahli kariah masjid itu sendiri.

Turut hadir di majlis itu Ketua Pentadbir YSZPS, Zulkhairi Haji ISmail; Pegawai Tadbir Kanan YSZPS, Haji Gulam Hapil; Ketua RELA Sipitang, Kolonel Hasyim Abdullah; Pegawai Operasi YSZPS Sipitang, Lianard Ingging; Pegawai JHEAINS Sipitang, Ustaz Mohammad Hafiz; Ketua Unit Penyelidikan YSZPS, Peter Jonnie Peter, Pengerusi Masjid, Ustaz Md Ridzuan Kaplin; Pegawai Perikanan Sipitang, Jum Haji Abas; Pemaju Mukim Zon Mesapol, Abdul Madi Awang; Pengerusi JKKK, Jaidi Hj Johari dan warga YSZPS lain.

Ahad, 16 Ogos 2009

PROGRAM GOTONG ROYONG & SUMBANGAN DI PELAKAT SIPITANG‏



Pelajar Baru Asrama YS Dekatkan Diri Kepada Masyarakat
SIPITANG: Seramai 90 orang terdiri daripada pelajar-pelajar Asrama YS Daerah Sipitang, staf Pejabat Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan (YSZPS) beserta penduduk setempat telah mengadakan gotong-royong di kawasan rumah Makcik Kalas Kalat di Kampung Sg Buntu, Pelakat di sini baru-baru ini. Makcik Kalas yang uzur dan berada dalam keadaan daif mempunyai seorang suami yang tidak mempunyai sebarang pendapatan tetap dan 2 orang anak yang memerlukan perhatian. Atas rasa tanggungjawab dan sempena dengan minggu orientasi pelajar asrama, pihak YSZPS menggerakkan kerja amal ini dengan segera. Program yang berlangsung sepanjang hari itu diketuai oleh Ketua Unit Penyelidikan dan Pembangunan Maklumat YSZPS, Peter Jonnie Peter disertai oleh Penyelia Asrama, Aliman Pengiran Bujang; Pegawai Operasi YSZPS Menumbok, Pudin Ibrahim; Pengerusi JKKK Sg Buntu, Ismail Jumat, Pemaju Mukim Zon Mesapol, Abdul Madi Awang@Julak dan Pegawai Latihan YSZPS, Haidy Haji Othman.

Gerakerja khidmat sosial ini bertujuan sebagai serampang dua mata untuk memasyarakatkan pelajar asrama agar tidak berasa terasing dari keluarga dan komuniti setempat juga membentuk ikatan kesempunyaan antara mereka dan masyarakat luar asrama di samping membentuk sikap kepimpinan generasi muda, kata Peter Jonnie.

Di akhir gotong-royong, Peter Jonnie Peter turut menyampaikan sumbangan yang berupa peralatan dan barangan keperluan dapur kepada Makcik Kalas.


Sabtu, 15 Ogos 2009

PROGRAM PERKHEMAHAN JATIDIRI PELAJAR TAHUN 6 SK SURATI & SK LANGKAWIT 2009‏






Permuafakatan Sesama Warga Pendidik Dan Ibubapa Cetus Kecemerlangan - Rosnah

PAPAR: "Penggemblengan persefahaman dan kerjasama antara institusi pendidikan seperti sekolah, warga pendidik dan ibubapa mampu mencetus kecemerlangan berganda sama ada dari segi imej, prestasi kokurikulum, pencapaian dalam peperiksaan, pembangunan prasarana pendidikan, jatidiri pelajar dan mengangkat martabat masyarakat secara holistik", ujar Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Haji Abdul Rashid Shirlin semasa merasmikan Perkhemahan Motivasi Jatidiri Pelajar UPSR 2009 Sk Surati/Sk Langkawit anjuran Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman selatan (YSZPS) dengan kerjasama PIBG Sk Surati, PIBG Sk Langkawit dan Biro Pendidikan UMNO Papar di Sk Surati. Program 2 hari itu melibatkan seramai 90 orang calon UPSR 2009 dari kedua-dua buah sekolah terbabit.

Rosnah yang selaku Ahli Parlimen Papar dan Ketua Puteri UMNO Malaysia menggesa agar rangkaian kerjasama pintar ini diperkukuh dengan penglibatan Majlis Guru Besar, Pejabat Pelajaran Daerah, Majlis Kaunseling Daerah dan Permuafakatan PIBG Daerah dengan dibantu oleh agensi-agensi Kerajaan lain seperti Kumpulan Yayasan Sabah. Beliau juga memuji penglibatan langsung Biro Pendidikan UMNO Bahagian Papar dalam usaha memperkasa pendidikan bangsa selaras dengan penekanan yang diberi akhir-akhir ini dalam sektor pendidikan yang menuntut penglibatan semua pihak.

Sementara itu dalam ucapan aluannya, Ketua Pentadbir YSZPS, Zulkhairi Haji Ismail menawarkan diri secara peribadi untuk menjadi pakarujuk berkaitan halehwal kependidikan, panduan kaunseling dan kerjaya dengan hasrat menyumbang kepada pembangunan anak bangsa khususnya di luarbandar. "Setiap anggota masyarakat yang mempunyai latarbelakang profesional seharusnya membuka peluang dan ruang untuk memberi khidmatnasihat serta buah fikiran bernas sekaligus memungkinkan kewujudan sebuah masyarakat yang celik ilmu, berpendidikan, penyayang dan memiliki sifat nasionalisma", tambah Zulkhairi.

Sepanjang program 2 hari perkhemahan, para peserta dilibatkan dalam semua slot ceramah penghayatan, jatidiri, pengurusan masa, teknik peperiksaan dan pembentukan cita-cita luhur yang dikendalikan oleh tenaga pengajar setempat.

Hadir sama dalam majlis tersebut Pengerusi PIBG, Mokhtar Haji Yasin; Guru Besar SK Surati, Durahman Bakar; Guru Besar SK Langkawit, Ismail Haji Bidin; Pegawai Operasi YSZPS Papar, Mohd Fairuz Mohd Yussof; para ibubapa pelajar dan ahli-ahli jawatankuasa PIBG.

PROGRAM SEMINAR KEIBUBAPAAN & MOTIVASI UPSR 2009 SK BUANG SAYANG PAPAR‏





Pendidikan Anak Adalah Pelaburan Terjamin

PAPAR: "Pendidikan formal khususnya yang diterima oleh kanak-kanak di pelbagai peringkat merupakan pelaburan yang tiada taranya dan terjamin sepanjang hayat jika dijana dan diperkembang dengan sewajarnya", ujar Wakil Rakyat Pantai Manis, Datuk Abdul Rahim Ismail semasa merasmikan Seminar Keibubapaan dan Motivasi UPSR 2009 di Sk Buang Sayang anjuran Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan (YSZPS) dengan kerjasama PIBG Sk Buang Sayang dan Biro Pendidikan UMNO Papar.

Beliau juga turut menekankan kepada semua golongan ibubapa dan penjaga agar mempertingkat ilmu dan kemahiran keibubapaan sejajar dengan perkembangan semasa yang memperlihatkan kewujudan pelbagai masalah yang melanda golongan muda khususnya pelajar sekolah. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pemimpin Kemajuan Rakyat DUN Pantai Manis, Amri Haji Abu Bakar.

Sementara dalam ucapan aluannya, Ketua Pentadbir YSZPS, Zulkhairi Haji Ismail menggesa ibubapa serta ahli keluarga pelajar agar menjadikan agenda pembangunan pendidikan, pemantapan disiplin, pemurnian akhlak, penyusunan ekonomi keluarga dan rangsangan permuafakatan komuniti setempat sebagai strategi utama ke arah mewujudkan sebuah masyarakat yang seimbang dengan pembangunan infrastruktur dan ledakan teknologi maklumat masakini. " Demi kelangsungan cita-cita anak-anak dan harapan ibubapa secara keseluruhan, setiap lapisan masyarakat sama ada golongan guru, jiran, rakan sebaya, pemimpin komuniti, NGO, pertubuhan siasah, golongan pekerja harus berganding bahu dan sentiasa peka akan isu-isu sejagat yang menular dan sekaligus mencegah lebih awal daripada meresap ke dalam masyarakat , institusi sekolah juga harus dijadikan 'centre of excellence' dengan cara memulihara keadaan fizikalnya dan mengisinya dengan pelabagai program bersifat nilai tambah bukan sahaja bercorak akademik tapi juga yang berkaitan dengan kemasyarakatan", tambah Zulkhairi lagi.

Guru Besar Sk Buang Sayang, Mudin Haji Madin di awal ucapannya menyeru kepada semua ibubapa yang menerima pelbagai bantuan daripada pihak kerajaan dan agensinya agar memegang amanah tersebut dengan rasa syukur dan bertanggungjawab agar bantuan atau kewngan yang mereka terima dipergunakan semata-mata hanya untuk tujuan pembelajaran anak-anak tanpa sebarang kompromi.

Program sehari itu dipadatkan dengan ceramah yang menyentuh peluang pendidikan, motivasi, kemahiran keibubapaan dan bicara tokoh yang dikendalikan oleh motivator Jailani Haji Idris dari SMK Gadong, Beaufort; Mohd Fairuz Hj Mohd Yussof, YSZPS dan Mudin Haji Madin, Guru Besar Sk Buang Sayang. Seramai 250 orang ibubapa dan murid-murid tahun 6 menyertai program sepanjang hari itu yang turut menyaksikan penyampaian bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) kepada 95 orang murid.

Antara yang turut hadir di majlis itu ialah Pengerusi PIBG Sk Buang Sayang, Sulaiman Haji Ahmad; Pengerusi Penyelaras Program, Mintoh Asai, guru-guru dan kakitangan sekolah.


Jumaat, 14 Ogos 2009

PROGRAM MOTIVASI & TEKNIK MENJAWAB UPSR 2009 BAGI PELAJAR TAHUN 5 & 6 SK KELATUAN PAPAR‏








Guru Harus Bijak Gilap Potensi Anak Didik - Abidin

PAPAR: Warga pendidik khususnya di daerah Papar diseru agar kreatif dan bijak dalam mengenalpasti kecenderungan, minta, cita-cita dan potensi kendiri semua anak didik mereka demi menjamin pembentukan sahsiah pelajar yang bukan sahaja berjaya dalam bidang akademik malah cemerlang dalam kerjaya dan berguna kepada masyarakat. Demikian seru Pegawai Pelajaran Daerah Papar, Abidin Haji Marjan semasa merasmikan Program Motivasi Kecemerlangan UPSR 2009 SK Kelatuan baru-baru ini. Program anjuran bersama Pejabat Kumpulan Yayasan Sabah, Zon Pedalaman Selatan (YSZPS) dan SK Kelatuan tersebut melibatkan seramai 100 orang murid yang terdiri daripada calon UPSR dan murid tahun 4 dan 5 sekolah tersebut.

"Warga sekolah khususnya guru-guru harus melunaskan setiap akujanji perkhidmatan perguruan demi mencapai sasaran Kementerian sekaligus menaiktaraf prestasi kelulusan dalam peperiksaan utama tanpa meminggirkan aspek-aspek keluhuran budi, kaunseling, empati dan keutuhan disiplin pelajar sesuai dengan motto PPD Papar, Permata Digilap Gemilang Dicari". tambah Abidin lagi.


Sementara itu dalam ucapan aluannya Ketua Pentadbir YSZPS, Zulkhairi Haji Ismail turut menyeru kepada golongan ibubapa serta ahli keluarga pelajar agar meningkatkan kefahaman mengenai skil keibubapaan yang sesuai dengan keadaan semasa yang semakin mencabar. "Golongan ibubapa serta ahli keluarga pelajar harus juga peka akan peripentingnya kaedah kawalan, dorongan, bimbingan dan kasih sayang dalam tempoh pembelajaran anak-anak serta usia keremajaan mereka disebabkan wujud pelbagai pengaruh yang tidak sihat melanda bukan sahaja penduduk bandar malah kedesaan" ujar Zulkhairi.


Dalam program sama juga Guru Besar SK Kelatuan, Nining Yahya Haji Wahid turut merakamkan penghargaan kepada Kumpulan Yayasan Sabah yang sentiasa perihatin dalam usaha memperkenal beberapa pendekatan baru dalam setiap program anjuran mereka yang bersifat nilai tambah dan amat berkesan dalam merangsang pembangunan akademik dan sahsiah pelajar.

Sempena program itu, seramai 60 orang pelajar menerima sumbangan Kumpulan wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) yang disampaikan oleh Abidin, Nining dan Zulkhairi.

Program 2 hari itu diisi dengan ceramah kecemerlangan oleh Wahab Haji Menditar dari SMKA Limauan; Soumi Ahmin, SK Pekan Kinarut; Ismail Pani, SK Tanjung Aru 2; Yvan Hazel Jimis, SK Padang Berempah Sipitang dan Dayang Masniah Awang Piut, PPD Sipitang. Turut hadir di majlis itu Timbalan Pengerusi Pelaksana, Mohd Fairuz B Hj Mohd Yussof; Penolong Kanan Pentadbiran, George Abthonius dan para ibubapa.


SEMINAR TEKNIK MENJAWAB SRU PERINGKAT DAERAH MEMBAKUT 2009






Pelajar Lulusan SRU Miliki Kelebihan Dalam Sistem Meritokrasi
 
MEMBAKUT: Berdasarkan sistem meritokrasi dalam pendidikan khususnya dalam melanjutkan pelajaran, pelajar-pelajar yang mempunyai kelulusan tambahan dalam pendidikan agama seperti Sijil Rendah Ugama (SRU), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan kelulusan formal yang berkaitan mempunyai kelebihan untuk melepasi tahap kelayakan yang diperlukan. Demikian ujar Ketua Pentadbir Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan (YSZPS) semasa merasmikan Seminar Motivasi Kecemerlangan SRU 2009 Daerah Membakut. Program anjuran YSZPS dan unit Kurikulum Sekolah Agama Negeri (SAN) JHEAINS Daerah Membakut itu disertai oleh seramai 140 orang calon SRU dari 5 buah SAN sekitar Membakut. "Calon-calon SRU sebenarnya merupakan generasi pelajar yang luarbiasa kerana kemampuan mereka menduduki dua peperiksaan serentak dengan 16 subjek kesemuanya merangkumi 11 subjek SRU dan 5 subjek dalam peperiksaan UPSR pada tahun yang sama sekaligus membuktikan bahawa pelajar dwibidang ini mampu mencapai kecemerlangan berganda", ujar Zulkhairi lagi.

Sementara itu dalam ucapan awalnya, Pengerusi Unit Kurikulum SAN JHEAINS Daerah Membakut, Ustaz Ishak Haji Ali turut menekankan bahawa ilmu ugama dapat membentuk insan yang gemilang dari segi sahsiah, jatidiri, ketrampilan dan kerjaya. "Kesedaran ibubapa moden hari ini akan peripentingnya elemen agama diterapkan dalam peringkat awal pendidikan mendorong kepada permintaan untuk diwujudkan lebih banyak lagi institusi pendidikan Islam sama ada seawal prasekolah, rendah dan menengah. Pada masa yang sama, kebajikan para pendidik sekolah agama dan prasarana mengnainya perlu dipertingkatkan oleh pihak pemerintah ataupun melalui sumbangan pelbagai agensi kerajaan", tambahnya.
 
Di majlis itu juga, YSZPS turut menyumbangkan beg sekolah kepada setiap orang pelajar di samping sijil penyertaan. Turut hadir di majlis tersebut Guru Besar SAN Kg Pimping, Hajah Aziziah Haji Binsin; Guru Besar SAN Pekan Membakut, Hajah Naidi Haji Mumin; Guru Besar SAN Kg Binsulok, Siti Aidah Awang Abas, Pengerusi PIBG SAN Pekan Membakut, Haji Wahab Haji Baharuddin, Pegawai Operasi YSZPS Beaufort, Latip Haji Taip; Pegawai Operasi YSZPS Membakut, David Yuntalla dan Imam Daerah, Haji Kassim Mantaha.


Khamis, 13 Ogos 2009

KEM MOTIVASI UPSR SK MANDAHAN PAPAR DENGAN KERJASAMA KYSZPS SESI 2009‏




Ibubapa Perlu Elakkan Tekanan Anak-Anak Dalam Tempoh Peperiksaan

KIMANIS: Seramai 80 orang calon UPSR dan murid tahun 4 serta tahun 5 SK Mandahan mengikuti Kem Motivasi UPSR 2009 anjuran Pejabat Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan (YSZPS) di sekolah tersebut. 

Dalam ucapan perasmiannya, Ketua Pentadbir YSZPS menyeru para ibubapa agar memantau dan memastikan bahawa dalam tempoh hari-hari terakhir menghadapi peperiksaan, anak-anak mereka perlulah dipersiapkan secukupnya dengan kemantapan moral, kesihatan fizikal dan ketersediaan sepenuhnya untuk menghadapi peperiksaan UPSR. "Dalam tempoh itu juga, para ibubapa dan penjaga perlu memastikan anak-anak mereka tidak berada dalam sebarang unsur-unsur tekanan hasil daripada perkara remeh yang berlaku dalam keluarga dan persekitaran. Dengan persefahaman yang baik antara didikan guru serta asuhan ibubapa, tiada yang mustahil untuk melihat anak-anak murid Sk Mandahan berjaya mencapai kecemerlangan sekaligus memecah kebuntuan untuk mencapai keputusan 5A dalam peperiksaan UPSR 2009", gesa Zulkhairi.

Turut hadir di majlis itu ialah Asmat Bakar, Penolong Kanan 1; Hasbi Selamat, Pengerusi PIBG; Sukar Selamat Ngadiran, Ketua Kampung Mandahan; Pegawai Operasi YSZPS, Mohd Fairuz Bin Hj Mohd Yussof; Pegawai Operasi YSZPS Kuala Penyu, Ganilin Hasim serta ibubapa peserta dan guru-guru.


Rabu, 12 Ogos 2009

SEMINAR KECEMERLANGAN UPSR PERINGKAT ZON PEKAN KUALA PENYU 2009‏





150 Murid Dari 9 Buah Sekolah Rendah Sertai Motivasi Di Kuala Penyu

KUALA PENYU: Seramai 150 murid calon UPSR 2009 dari sembilan buah sekolah sekitar Kuala Penyu mengikuti Seminar Kecemerlangan UPSR Peringkat Zon Pekan Kuala Penyu anjuran Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan bertempat di SK Pekan Kuala Penyu.

Menurut Pegawai Operasi YSZPS Kuala Penyu, Ganilin Haji Hasim selaku wakil Ketua Pentadbir YSZPS, penganjuran program yang bersifat nilai tambah seperti ini mampu melonjak prestasi atau pencapaian kelompok murid dalam peperiksaan yang diduduki sekaligus merapatkan jurang peratusan kelulusan antara bandar dan luarbandar. "Berbekalkan dedikasi sepenuhnya dari pihak guru ditambah lagi dengan galakan sebahagian ibubapa serta dokongan dari agensi kerajaan secara konsisten, sudah tentu ia akan membawa impak yang lebih besar", katanya lagi.

Turut hadir di program itu, Pengerusi Pengelola program, Johnny Teo Choon Nee; Wakil PPD, Awangku Mahmuud Pg Haji Ahmad; Pegawai YSZPS daerah Papar, Mohd Fairuz Haji Yussof, para ibubapa dan golongan pendidik yang lain.


Selasa, 11 Ogos 2009

SIRI JELAJAH KAMPUNG YSZPS
































KONSEP 1 MALAYSIA BOLEH DITERAP DALAM SEMUA SEKTOR

KUALA PENYU: Seramai 50 orang warga Kumpulan Yayasan Sabah dari pelbagai Bahagian dan Jabatan telah menyertai Program Khidmat Masyarakat 1 Malaysia anjuran Pejabat Kumpulan Yayasan Sabah, Zon Pedalaman Selatan (YSZPS) bertempat di Kampung Tempurong, Kuala Penyu selama 3 hari 2 malam. Program kemasyarakatan yang diketuai oleh Ketua Pentadbir YSZPS, Zulkhairi Haji Ismail itu turut melibatkan masyarakat dari Kampung Seliku, Kampung Kaukung dan Kampung Tempurong sendiri.

Menurut Zulkhairi Haji Ismail, Kampung Tempurong dipilih sebagai lokasi kedua selepas Kampung Long Pasia, Sipitang dalam siri Jelajah Kampung dalam Zon Pedalaman Selatan. "Program Khidmat Masyarakat 1 Malaysia ini disasarkan kepada masyarakat luarbandar di mana infrastruktur setempat berada ditahap paling asas serta memerlukan pendedahan kepada isu-isu terkini terutamanya yang menyentuh pendidikan, kekeluargaan, kesihatan, alam sekitar dan isu-isu semasa yang lain. Program seumpamanya diyakini dapat menerapkan konsep 1 Malaysia secara terus di samping menyumbang kepada pembangunan minda serta memupuk kerjasama baik inter-agensi di Sabah. Ini terbukti dengan penyertaan langsung daripada Jabatan Kesihatan, Pejabat Pelajaran Daerah, Sekolah, Perpustakaan, Jheains, RELA dan NGO dalam beberapa slot sepanjang program itu dilaksana. Di samping itu disebabkan Kampung Tempurong berpotensi menjadi lokasi homestay, melalui aktiviti keluarga angkat dijangka dapat merangsang keupayaan sekelompok keluarga untuk menjadikan homestay sebagai punca pendapatan baharu", tambah Zulkhairi. 

Antara Bahagian dan Jabatan dari Kumpulan Yayasan Sabah sendiri yang terlibat termasuklah Bahagian Sumber Manusia dan Perkhidmatan Korporat, Bahagian Komunikasi Korporat, Kolej Yayasan Sabah, Bahagian Konservasi dan Alam Sekitar, Pejabat YS Zon Pantai Barat Selatan, Bahagian Perkapalan, Persatuan Pekerja Wanita YS, Pancaragam Cakerawala dan warga YSZPS sendiri sebagai tonggak program.

Sepanjang tempoh tersebut beberapa aktiviti dilaksanakan antaranya Seminar Keibubapaan, Klinik UPSR, Taklimat Kesihatan, Bengkel Homestay, ceramah agama, sukan Rakyat, sukaneka, acara kanak-kanak, gotong-royong, persembahan senibudaya, pertandingan karaoke, senamrobik, tayangan wayang gambar, temuduga terbuka Kolej Yayasan Sabah, bengkel pencinta alam, keluarga angkat, kenduri sekampung, penyerahahan sumbangan beg sekolah, anugerah murid cemerlang dan ziarah warga tua.

Sementara itu semasa berucap merasmikan acara gotong royong, Wakil Rakyat Kuala Penyu, John Teo memuji usaha Kumpulan Yayasan Sabah dalam usaha memasyarakatkan konsep 1 Malaysia secara amat efisyen yang dipenuhi dengan pelbagai pengisian aktiviti yang bersifat nilai tambah khusus untuk rakyat Malaysia di Sabah. "Program perkampungan seumpama ini perlu diperhebatkan bukan sahaja bertumpu di sesebuah daerah malah ke seluruh pelusuk negeri Sabah kerana di luar sana terdapat ratusan ribu masyarakat pedalaman yang masih terkebelakang dalam arus pembangunan dan perkembangan maklumat semasa", gesa John Teo.

Manakala Pengerusi Gerakan Daya Wawasan Kampung Tempurong, Awang Bongsu Haji Dollah turut merakamkan rasa bangga dan terimakasih kepada Kumpulan Yayasan Sabah kerana memilih kampung mereka sebagai lokasi program. "Program perkampungan ini merupakan julung kali dan pertama kali diadakan seumpamanya oleh sebuah agensi utama kerajaan dengan pasukan yang ramai dengan melaksana pelbagai aktiviti yang amat baik dan berguna untuk membangunkan masyarakat kampung kami dan kejiranan berdekatan. Ini menandakan bahawa kerajaan khususnya Kerajaan Negeri Sabah tidak pernah meminggirkan kami daripada arus kemajuan. Pembinaan jalan masuk ke kampung-kampung sekitar sini membuktikan janji Barisan Nasional terlaksana jua", ujar Awang Bongsu.

Sempena program itu juga, Ahli Parlimen Beaufort, DSP Haji Lajim Ukin turut menyumbang sejumlah peruntukan untuk membaiki astaka sedia ada semata-mata untuk memastikan perlaksanaan program berjalan dengan sempurna. Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan menyatakan sokongan penuh ke atas setiap program yang membawa manfaat langsung kepadsa rakyat.

Dua orang warga tua telah menerima ziarah daripada Persatuan Pekerja Wanita Kumpulan Yayasan Sabah yang diketuai oleh Pengerusinya Hajjah Rosmawati Haji Lasuki yang turut menyampaikan bantuan berupa barangan keperluan dapur dan selimut kepada Sairah Amat, 92 tahun di Kampung Tempurong dan Umbi Edim 78 tahun di Kampung Kaukang. Rosmawati dipetik sebagai berkata bahawa program jelajah kampung dan daerah ini merupakan 'benchmark' kepada komitmen Kumpulan Yayasan Sabah dalam usaha menokoktambah usaha kerajaan negeri untuk membangunkan rakyat Malaysia di Sabah khususnya mereka yang berada di luarbandar tanpa mengira peringkat umur, kaum dan agama. "Adalah menjadi obligasi sosial berterusan oleh Kumpulan Yayasan Sabah melalui pelbagai program bercorak pembangunan sosiobudaya, sosioekonomi dan sosiopendidikan yang dilaksana di pelbagai peringkat dan secara tidak langsung ia mendedahkan semua warga YS akan peripentingnya keseimbangan modal insan dari segi keperibadian dan perlaksanaan tanggungjawab serta penyampaian perkhidmatan" tegas beliau.

Antara penceramah yang terlibat dalam program itu ialah Kaunselor Osman Sidek dari Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Penyu; Pakar Motivasi Tempatan, Jailani Haji Idris; Koordinator Program Homestay ZPBS, Linda Anthony; Pengurus Kelab Pencinta Alam Sabah, Jimmy Omar; Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Penyu, Bahrin Matzin; Pegawai Pemasaran Kolej YS, Rasly Suhaibul; Pegawai Tadbir Kanan YSZPS, Haji Gulam Hassan Hapil dan Pegawai Operasi YS Kuala Penyu, Ganilin Haji Hasim.

Sepanjang program itu, seramai 90 orang murid Sk Tempurong termasuk prasekolah dan tadika menerima sumbangan beg sekolah dan seorang murid cemerlang menerima hadiah berupa sebuah basikal dan sijil penghargaan daripada Ketua Pentadbir YSZPS. Di samping itu acara pertandingan mewarna menarik penyertaan 50 murid tahap satu dan tadika.

Dalam program gotong-royong, pihak YSZPS menyumbang pembinaan sebuah plak tanda dwibahasa asal-usul Kampung Tempurong dan sebuah mesin pemotong rumput kepada JK GDW. 

Manakala Jabatan Kesihatan Daerah Kuala Penyu turut menyampaikan taklimat penjagaan kesihatan khususnya berkenaan dengan wabak Influenza A H1N1 dan cara-cara pengawalannya.