Isnin, 29 Jun 2009

Kem Motivasi UPSR SK Nyaris-Nyaris‏







Dunia Hari Ini Milik Orang Yang Berilmu 

Bongawan: " Dunia hari ini dan masa depan menjadi milik orang yang berilmu dan rajin berusaha memperbaiki diri ke arah kecemerlangan", demikian ujar Datuk Haji Karim Haji Bujang, Wakil Rakyat N23 Bongawan semasa merasmikan Program Motivasi Kecemerlangan UPSR SK Nyaris-Nyaris anjuran Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan dan PIBG Sk Nyaris-Nyaris di Pusat Latihan Binsulok baru-baru ini. Program perkhemahan selama 3 hari 2 malam tersebut disertai seramai lebihkurang 100 orang murid tahap dua serta calon-calon UPSR 2009. Beliau yang juga Pengerusi Sabah Ports Sdn Bhd menyeru para ibubapa agar mendahulukan agenda pendidikan dalam merencana dan membentuk institusi keluarga masing-masing dan dalam aspek bermasyarakat kearah mewujudkan sebuah negarabangsa yang berdayasaing, maju dan mendepani pembangunan sejagat tanpa rasa rendah diri. "Adalah menjadi suatu yang malang jika ibubapa serta keluarga menyerahkan secara total tanggungjawab membangunkan anak-anak kepada warga pendidik ataupun agensi kerajaan tanpa sekelumit rasa komitmen yang bernilai dalam menentukan kendiri dan sahsiah anak-anak", tambahnya lagi.

Dalam ucapan terdahulunya, Ketua Pentadbir Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan (YSZPS), Zulkhairi Haji Ismail mengajak para guru dan pentadbir sekolah untuk mencambah minda secara kontinuan kearah merealisasikan hasrat dan halatuju kerajaan menbangun modal insan terbilang dengan penglibatan semua lapisan ibubapa serta PIBG dan pihak berwajib. "Tiada sebarang halangan dan alasan yang boleh dikaitkan dalam membantutkan agenda pembangunan bangsa Malaysia yang berilmu serta bernilai tinggi dalam pasaran kerjaya masakini", tegasnya. 

Turut hadir dalam majlis tersebut Pengerusi PIBG, Mohd Zainal Haji Matali; Guru Besar Sk Nyaris-Nyaris, Bakar Haji Tahir; Pegawai Operasi YSZPS Papar, Mohd Fairuz Bin Haji Mohd Yussof; Pegawai Operasi YSZPS Kuala Penyu, Ganilin Haji Hasim; Penyelia Pendidikan Daerah Papar, Henry Kenneth; AJK PIBG dan ibubapa terbabit.


Khamis, 25 Jun 2009

Program Kecemerlangan UPSR 2009 Peringkat Daerah Papar








KEKALKAN MINDA KEJAYAAN DEMI CAPAI KECEMERLANGAN


PAPAR: Untuk menjadi insan cemerlang di era moden seperti hari ini, setiap diri pelajar itu tidak kira di peringkat manapun perlu mengekalkan minda kejayaan serta diperlengkap dengan disiplin dan jatidiri yang ampuh. Demikian seperti yang ditegaskan oleh Ketua Pentadbir Kumpulan Yayasan Sabah, Zon Pedalaman Selatan (YSZPS), Zulkhairi Haji Ismail semasa merasmikan Program Kecemerlangan UPSR 2009 Peringkat Daerah Papar di Dewan SMK Majakir Papar kelmarin yang dianjur bersama Kumpulan Yayasan Sabah, Pejabat Pelajaran Daerah Papar, Majlis Guru Besar Papar dan Biro Pendidikan UMNO Papar. "Tip untuk merangsang minda kejayaan ialah dengan menghidupkan imaginasi berterusan mengenai situasi kegembiraan seorang pelajar ketika menerima keputusan peperiksaan yang diikuti dengan peluang-peluang melanjutkan pelajaran yang terbuka luas, seterusnya memiliki kerjaya yang hebat, menjadi ikon dan 'rolemodel' terkenal serta mempunyai reputasi tinggi di zaman mereka", tambahnya lagi ketika memberi tip-tip kecemerlangan dalam ucapannya. Beliau juga menyeru semua generasi pelajar agar menjauhi segala perkara yang boleh memberi kesan tekanan serta perlu menjaga kesihatan yang sempurna sehinggalah hari terakhir peperiksaan. "Peranan ibubapa serta warga pendidik amat kritikal dalam menatang prestasi berterusan setiap anak didik mereka khususnya sepanjang tempoh peperiksaan. Kelangsungan tertib diri, kestabilan emosi, permakanan, persekitaran rumah dan sekolah perlu kondusif yang mana akhirnya pasti membuahkan hasil membanggakan", tegas beliau lagi.

Sementara itu, Pegawai Pelajaran Daerah Papar, Abidin Marjan memberi jaminan akan sentiasa memantau dan mempertingkat tahap keupayaan prasarana fizikal, program pengupayaan guru, permuafakatan PIBG, hubungan inter-agensi, kaunseling pelajar dan beberapa elemen semasa yang sering timbul. "Perkhidmatan proffesional dan empati golongan guru terhadap kerjaya dan anakdidik sudah tentu merupakan pematuhan kepada setiap akujanji yang dibuat demi menjamin pencapaian terbaik bidang pendidikan serta mampu melonjak pembangunan modal insan khususnya di daerah Papar" , tegasnya.

Program yang bermotokan "Permata Digilap Gemilang Dicari" tersebut disertai oleh seramai lebihkurang 250 orang calon UPSR 2009 yang berpotensi untuk mendapat 5A dari seluruh 52 sekolah rendah daerah Papar. Program itu diisi padat dengan bengkel pemantapan subjek teras Bahasa Melayu, English, Matematik dan Sains disampaikan oleh Rosita Nasri, Saumi Ahmin, Helen Gasat, Juliani Severinus, Peter Pakang dan Suliaman Muntiol. Antara yang turut hadir di majlis itu Pengerusi MGB, Mohd Zajih Haji Edinin; Naib Pengerusi Biro Pendidkan UMNO Papar, Mudin Haji Madin; Pegawai Operasi YSZPS Papar, Mohd Fairuz Haji Mohd Yussof; Pegawai Operasi YSZPS Kuala Penyu, Ganilin Hashim; Guru-guru Besar serta Ahli-ahli Jawatankuasa Biro Pendidikan UMNO Papar.


Selasa, 23 Jun 2009

Program Ready Tempur UPSR 2009





Gapai Kecemerlangan Bermula Di Peringkat Awal - PPD

BEAUFORT: Pegawai Pelajaran Daerah Beaufort, Salleh Haji Eddris menyeru kepada golongan pelajar agar berusaha dengan giat di peringkat awal tanpa menanti di saat-saat akhir dalam usaha menggapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan cita-cita. "Belajar tanpa cita-cita umpama merentasi hutan tanpa kompas, manakala memasang cita-cita tanpa belajar dan berusaha umpama berperahu di lautan tanpa dayung yang mana akhirnya membatasi kemajuan seseorang insan", demikian kata beliau semasa merasmikan Program Ready Tempur Calon-calon UPSR 2009 SK Pekan Beaufort anjuran Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan (YSZPS) melibatkan seramai 100 orang murid tahun 6.

Terdahulu daripada itu Ketua Pentadbir YSZPS, Zulkhairi Haji Ismail menyatakan komitmen bahawa Kumpulan Yayasan Sabah sentiasa bersedia dan bekerjasama dengan pelbagai jabatan serta agensi kerajaan mahupun NGO ke arah memastikan agar golongan pelajar memperoleh pendedahan dan latihan yang sesuai demi menjamin prestasi yang membanggakan dari tahun ke tahun.

Sementara itu dalam ucapan awal, Guru Besar SK Pekan Beaufort, Anas Haji Yussof mensasarkan pencapaian lebih 60% kelulusan dalam UPSR 2009. Ia merupakan 'target' peningkatan dramatik dengan kerjakeras pasukan pendidik serta ibubapa dalam pelbagai usaha membangunkan kecekapan anak-anak murid di SK Pekan Beaufort.

Program sehari itu dipenuhi dengan program latihtubi dan ceramah yang dikendalikan oleh Jailani Idris dari SMK Gadong; Juin Tannyuh, SK Menunggang; Hamidah Awang Damit, SK Lupak; Rosli Francis, SK St. John dan Nisah Nayan dari SK Klias Baru.

Turut hadir di majlis itu Pegawai Operasi YSZPS Beaufort, Latip Haji Taip; Pegawai Operasi YSZPS Sipitang, Lianard Ingging; Pegawai Operasi YSZPS Papar, Mohd Fairuz Bin Haji Mohd Yussof dan Pegawai Penyelidik YSZPS, Peter Jonnie Peter.


Sabtu, 20 Jun 2009

Bengkel Fardhu Kifayah dan Kepimpinan Masjid anjuran Kumpulan Yayasan Sabah ZPS





130 Sertai Bengkel Fardhu Kifayah Dan Kepimpinan YSZPS


KUALA PENYU: Seramai 150 orang yang terdiri daripada imam-imam, belia dan beliawanis dan surirumah menyertai Program Fardhu Kifayah dan Pengurusan Kepimpinan Masjid anjuran YSZPS di Masjid Kampung Mansud baru-baru ini. Program sehari itu dipenuhi dengan ceramah dan gerakerja yang dipimpin oleh Pegawai Dakwah Daerah Kuala Penyu, Zulkifli Narudin dan Imam Daerah Kuala Penyu, Kifli Haji Burut.

Dalam ucapan perasmiannya Ketua Pentadbir YSZPS yang diwakili oleh Ganilin Haji Hasim menyeru para peserta agar mempergunakan ilmu dan hasil kursus untuk sama-sama menyumbang kepada program pembangunan masyarakat setempat secara berterusan tanpa bergantung sepenuhnya kepada program-program tajaan kerajaan. "Dengan inisiatif secara kolektif seumpamanya adalah diyakini proses pemurnian masyarakat khususnya golongan muda akan berjalan secara teratur dan penuh komitmen sekaligus dapat mencegah daripada berlakunya gejala-gejala negatif di kalangan masyarakat", katanya lagi.

Antara yang turut hadi dalam program tersebut ialah Pengerusi Masjid, Haji Mustan Mata; Imam Kariah Kg Mansud, Misdeh Musran; Pengerusi Penganjur, Rahman Ali dan Pegawai Operasi YSZPS Papar, Mohd Fairuz Bin Haji Mohd Yussof.

Jumaat, 19 Jun 2009

Kem Motivasi UPSR Sekolah Contoh (Model CO) Kelompok 2, Zon Pekan Beaufort‏



250 orang sertai Kem UPSR Model CO.

Beaufort: Seramai 250 orang murid yang bakal menduduki peperiksaan UPSR 2009 sekitar daerah Beaufort mengikuti Kem Motivasi UPSR Bagi Sekolah Contoh (Model Co) selama dua hari baru-baru ini bertempat di SK Mempagar, Beaufort anjuran Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah Beaufort dan Biro Pendidkan Wanita UMNO Beaufort. Antara skolah-sekolah terbabit SK Mempagar, SK Lajau, SK St. Paul,SK Lumat dan SK Klias Baru.

Dalam ucapan perasmiannya, Wakil Rakyat Klias, Datuk Hajah Azizah Haji Mohd Dun menyeru kepada semua pelajar agar sentiasa mmemperbaharui tekad untuk mencapai kejayaan dalam setiap peperiksaan dan demi memenuhi cita-cita sendiri, ibubapa, para guru dan masyarakat ke arah mewujudkan generasi serba berilmu. "Golongan pelajar pada hari ini merupakan warganegara yang penuh keberuntungan kerana dilimpahi dengan pelbagai kemudahan terbaik samada dari aspek kemajuan prasarana, bantuan kewangan, uniform, buku teks, yuran percuma serta guru-guru yang cukup terlatih dalam bidang masing-masing di samping peluang melanjutkan pelajaran yang tidak terhad", tambah beliau yang juga Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah. Beliau juga memuji Pejabat Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan yang amat peka dalam mencambah program pembangunan sosiopendidikan khususnya di peringkat akar umbi di semua peringkat pendidikan.

Terdahulu dalam ucapan aluannya, Ketua Pentadbir Kumpulan Yayasan Sabah, Zulkhairi Haji Ismail menegaskan betapa perilaku terpuji serta ketinggian akhlak dalam diri setiap pelajar merupakan elemen utama kearah melahirkan insan yang hebat dan dihormati. "Dalam zaman moden serta mencabar ini, tahap pendidikan dan disiplin menjadi pembolehubah berkesan dalam menentukan kejayaan seseorang insan di semua peringkat dan bidang yang diceburi. Tiada ruang dan peluang kepada mereka yang leka dalam mengejar ilmu pengetahuan dan kemahiran. Semuanya memerlukan pengorbanan daripada ibubapa, warga pendidik dan masyarakat sekeliling"tambah Zulkhairi lagi.

Sementara itu, Pegawai Pelajaran Daerah Beaufort, Salleh Haji Edris turut menyeru kepada golongan guru dan pengurusan sekolah agar menerokai kaedah yang lebih berkesan dan seiring dengan norma-norma tempatan dalam menangani permasalahan yang mereka hadapi khususnya dalam usaha mencapai peratusan kelulusan tertinggi setiap tahun tanpa berpandukan semata-mata kepada kaedah yang sedia ada.

Antara yang turut hadir di majlis tersebut ialah Guru Besar SK Mempagar, Mohd Noor Said; Guru Besar SK Lumat, Maad Awang; Guru Besar SK Klias Baru, Syed Jaafar; Guru Besar SK Lajau, Osman Maaruf; Penolong Kanan SRK St. Paul, Tadin Habin; Pegawai Tadbir Kanan Yayasan Sabah, Haji Gulam Hassan Hapil dan Pegawai Operasi YS Beaufort, Latip Haji Taip.


Ahad, 14 Jun 2009

PERKAMPUNGAN ILMU & PENGURUSAN JENAZAH MASJID AL-JARIAH


Kembali Kepada Fitrah Jaminan Untuk Makmur


PAPAR: Bagi menjamin sesebuah kehidupan manusia itu untuk menjadi makmur, aman dan saling hidup bermasyarakat, kita harus kembali merenung kepada fitrah suci kelahiran manusi aitu sendiri. "Sikap sebilangan bangsa, kumpulan dan individu yang begitu rakus, tamak, pentingkan diri sendiri, ganas malah suka mengadu domba di kalangan sesama rakan dan lawan adalah merupakan manifestasi yang wujud daripada kehilangan nilai-nilai manusiawi serta kegoyahan pegangan agama masing-masing", demikian ujar Ketua Pentadbir Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan (YSZPS) di Program Perkampungan Ilmu dan Pemantapan Fardhu Kifayah di Masjid Al-Jariah, kampung Buang Sayang di sini baru-baru ini. Beliau juga mengajak penduduk kariah setempat agar memperbaharui serta menjana semula fungsi masjid sebagai 'centre fo excellence' meliputi pusat sumber, pusat perpaduan, perpustakaan, pusat muammalat dan ekonomi. Di samping itu katanya, program ziarah di kalangan masyarakat sekitar kampung juga diperhebatkan bagi memperkukuh perpaduan di kalangan mereka.


Program dua hari itu merupakan anjuran Kumpulan Yayasan Sabah zon Pedalaman selatan dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Masjid Al-Jariah dan Belia Masjid Kampung Buang Sayang. Seramai 70 orang peserta yang terdiri daripada belia, pelajar dan penduduk sekitar menyertai program yang disulami dengan bengkel fardu kifayah, marhaban, berzanji, qiamullail, motivasi pendidikan, ceramah keibubapaan serta gerakerja masyarakat yang dikendalikan oleh Haji Jasimin Abdul Rashid, Haji Karim Haji Julai, Haji Karim Haji Mumin dan Sapli Haji Hassan.